Tuesday, May 29, 2018

Al-hamdulillah, ‘Muslim Spiderman’ Panjat Bangunan Selamatkan Budak Di Paris



Seorang Muslim diangkat sebagai hero Paris dengan jolokan ‘Muslim Spiderman’ apabila bertindak berani memanjat bangunan setinggi empat tingkat untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak Sabtu lalu.


Menurut Alarabiya, Mamoudou Gassama bertindak memanjat bangunan tanpa memikirkan risiko atau keselamatan dirinya apabila dia menyedari seorang kanak-kanak empat tahun sedang berpaut di balkoni perumahan di Perancis.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 8 malam waktu tempatan memaparkan pemuda dari Mali itu memanjat satu tingkat hingga ke satu tingkat sebelum mencapai tangan kanak-kanak itu sekali gus berjaya menyelamatkan nyawa kanak-kanak terbabit dari bahaya.
Orang ramai yang berada di kawasan berkenaan sempat merakam aksi menakjubkan itu dan bertepuk tangan selepas kanak-kanak terbabit berjaya diselamatkan.
Sebaik sahaja anggota bomba tiba di tempat kejadian, kanak-kanak tersebut telah berjaya diselamatkan.
“Mujur ada seseorang yang benar-benar cergas dan memiliki keberanian luar biasa untuk memanjat serta menyelamatkan kanak-kanak berkenaan,” kata jurucakap bomba.
Sementara itu, Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo memberi pujian menerusi laman sosial Twitter kepada Mamoudou Gassama

“Tahniah kepada Mamoudou Gassama atas keberaniannya yang menyelamatkan nyawa anak itu. Saya dengan senang hati bercakap dengannya hari ini melalui telefon untuk mengucapkan terima kasih kepadanya.” kata Datuk Bandar Paris tersebut menerusi Twitter.
Tambah Hidalgo lagi, lelaki tersebut baru sahaja tiba di Paris itu beberapa bulan lalu dan ingin memulakan kehidupannya di sini.
“Dia menjelaskan kepada saya bahawa dia tiba dari Mali beberapa bulan yang lalu berkeinginan membina hidupnya di sini.
“Tindakannya sebagai wira itu adalah satu contoh untuk semua warganegara di sini dan bahawa bandar Paris sangat mengalu-alukan kedatangannya untuk menetap di Perancis,” ujarnya lagi.
Media Perancis melaporkan, bapa kepada kanak-kanak tersebut telah ditahan polis akibat meninggalkan anaknya seorang diri dalam rumah ketika dia keluar membeli makanan. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails