Sunday, May 13, 2018

Berhenti Mengarut, Ambiga Gesa PKR. Kerana Pertikai Pelantikan Menteri Kanan..




KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi NGO Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan mengkritik PKR ekoran tindakan Rafizi Ramli yang mempertikaikan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik tiga menteri kanan dari PPBM, DAP dan PAN.
Naib Presiden PKR itu dalam kenyataannya kepada Malaysiakini sebelum ini mendakwa pengumuman pelantikan tiga menteri itu dilakukan tanpa perbincangan dengan PKR dan tidak mendapat restu parti itu.
“Keputusan dibuat tanpa penyertaan kami (dalam perbincangan). Dia ‘melanggarnya’…proses perbincangan yang sepatutnya, tidak berlaku,” kata Rafizi.
Mengulas lanjut pertikaian itu, Ambiga menggesa PKR menghentikan segera tindakan berkenaan.
“PKR tolong hentikan karut-marut ini.
“Saya sokong sepenuhnya pelantikan oleh perdana menteri. Tolong dahulukan negara berbanding hal lain. Rakyat sendiri berbuat demikian!” katanya.
Semalam Mahathir melantik Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu diangkat menjadi Menteri Pertahanan dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik ke jawatan Menteri Dalam Negeri.
Bagaimanapun selepas pengumuman tersebut, Rafizi menerusi kenyataan di laman Twitter dan blognya mendakwa pengumuman Mahathir itu belum muktamad kerana tidak mendapat persetujuan konsensus dalam Pakatan Harapan.
“KEADILAN beranggapan perbincangan masih berjalan dan pengumuman yang dibuat tidak muktamad; dan
“Sebarang keputusan mengenai apa-apa perlantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti di dalam Pakatan Harapan,” katanya. – SuaraTV

No comments:

Post a Comment