Tuesday, May 08, 2018

Ciri-ciri Calon PRU14 Wajib Ditolak. -Presiden PPMM.




BERIKUT ADALAH TRANSKRIP UCAPAN PRESIDEN PERSATUAN PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM), DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR, DI HIMPUNAN DEKLARASI PIMPINAN NGO ISLAM SEMPENA PRU14

Alhamdulillah pagi ini kita dapat berkumpul untuk menzahirkan pendirian kita sebagai NGO Islam.

Ada yang berkata kepada saya, NGO Islam ini macam lalang. Kejap sokong parti A, kejap sokong parti B.

Sebenarnya kita bukan lalang, tetapi kita melihat sesuatu itu dari mata helang. Kita melihat dari atas dan mempunyai agenda yang lebih tinggi dan lebih besar lagi iaitu memartabatkan Islam, meletakkan Islam di tempat yang sebenarnya.

Islam itu yang paling tinggi, dan tidak ada apa-apa yang lebih tinggi daripada Islam.

Ada juga orang kata saya ini bercelaru, pemikiran bercelaru, kadang sokong sana, kadang sokong sini.

Kita bukan NGO yang bercelaru, kita NGO yang menggarap tindakan yang baru supaya kita dapat melihat orang Islam yang bertakwa, beriman akan duduk di Parlimen, akan duduk di DUN-DUN, mereka mewakili kita untuk memartabatkan Islam.

Itu ketegasan kita sebagai NGO Islam. Walaupun kita selalu bercakap NGO ini bersifat apolitical, ia tidak bermakna kita memisahkan diri kita sepenuhnya daripada parti Islam. Kitalah penggarap tindakan yang dilakukan parti-parti Islam. Kitalah yang sepatutnya menunjuk arah kepada parti-parti supaya melihat kepada kehendak kita, bukannya kita yang ditunjuk arah oleh parti-parti politik, kita tertawan dengan parti politik, tidak.

Tetapi tindakan kita seharusnya, kitalah yang menawan parti-parti politik supaya mereka mngikut telunjuk kita. Inilah tugas kita di dalam PRU ini untuk kita zahirkan kepada parti politik, kalau mereka tidak mahu meletakkan Islam sebagai satu cara hidup, Islam sebagai Addeen, kita perlu tolak mereka.


Tuan-tuan sekalian.

Saya ingat lagi dalam Parlimen ke-13, apabila pihak membentangkan Akta 164 yang kali kedua, menarik balik seksyen 88A, mengenai unilateral convertion, iaitu hak untuk mengislamkan anak-anak oleh orang muallaf yang di bawah 18 tahun. Apa yang DAP cakap di dalam Parlimen?

Dia kata, kenapa tarik balik Seksyen 88A ini? Kenapa tak bincang dengan DAP? Kalau kerajaan bincang dengan DAP, DAP akan setuju untuk kekalkan Seksyen 88A ini.

Apa maksudnya?

Maksudnya kalaulah itu satu perkara itu berpihak kepada orang bukan Islam, kalau suatu perkara itu akan merendah-rendahkan Islam, pihak yang bukan Islam ini sanggup bersama-sama, sanggup bersatu untuk meneruskan agenda mereka.

Tetapi kita orang Islam, berpecah-pecah. Tidak meletakkan Islam di tempat yang paling atas sekali, tidak meletakkan Islam sebagai parameter utama di dalam kita melakukan sesuatu tindakan. Ini masalah kita dan kita NGO Islam, perlulah menzahirkan dengan jelas kepada calon-calon yang bertanding nanti, dan kita juga perlu menzahirkan dengan jelas kepada ahli-ahli kita, siapakah yang perlu kita pangkah, undi pada 9 Mei akan datang.

  • KITA PERLU TOLAK calon-calon tanpa mengira parti mana mereka bertanding yang bersifat anti-Islam.
  • KITA JUGA PERLU TOLAK calon-calon yang mengatakan ‘apabila pramugari memakai pakaian menutup aurat, mereka merupakan orang yang cacat otak’. Ada Ahli Parlimen yang kata macam ini.
  • KITA JUGA PERLU TOLAK orang yang mempromosikan murtad. Mengatakan orang Islam bebas untuk murtad, itu hak di dalam Perlembagaan. Sedangkan kalau kita baca betul-betul Perlembagaan Persekutuan, tidak akan pun hak tersebut diberikan secara mutlak sebagaimana yang mereka hendaki.
  • KITA JUGA PERLU MENOLAK orang yang menentang peningkatan bidang kuasa mahkamah syariah di dalam undang-undang jenayah syariah (RUU355) yang mereka tolak. Kita perlu tolak calon-calon sebegini.
  • KITA JUGA PERLU TOLAK orang yang mempromosikan hak perlindungan untuk bersekududukan tanpa mengira mereka orang Islam atau tidak Islam. Ini calon tempat saya, orang Islam, dia kata tak kisah orang Islam, bukan Islam perlu diberikan hak perlindungan walaupun mereka ini bersekedudukan. Duduk sama-sama, tak kahwin, tak ada masalah. Ini yang perlu kita tolak.
  • KITA JUGA PERLU TOLAK calon-calon yang mengatakan JAKIM tidak berperlembagaan. Sebab apa kalau JAKIM tidak berperlembagaan, JAKIM dimansuhkan, di mana ia wadah kita di peringkat kebangsaan untuk mempromosikan Islam itu sendiri. Kita faham memang ada kelemahan di pihak JAKIM, tetapi itu tidak bermakna kita perlu menghapuskan JAKIM. Kitalah perlu bersama-sama dengan JAKIM untuk memperbaiki JAKIM untuk memperlihatkan Islam itu adalah suatu yang indah, kitalah yang perlu bersama JAKIM untuk menentukan di mana arah tuju Islam di negara kita.
  • KITA JUGA PERLU TOLAK orang yang menggadai akidah anak-anak muallaf. Kalau kita lihat pada tahun 1950, seorang ibu atau bapa apabila memeluk agama Islam, automatik anaknya beragama Islam, tetapi undang-undang dipinda. Pada tahun 1990an, apabila salah seorang memeluk Islam, daftar dulu anak menjadi Islam. Ketika ini mereka mahukan kalau salah seorang anak muallaf memeluk agama Islam, perlu kedua-dua ibu dan bapa juga memberi kebenaran untuk memeluk Islam. Kita bersifat regresif, bukan progresif di dalam isu-isu Islam. Ahli-Ahli Parlimen dan DUN sebeginilah kita tidak mahu. Kita mahu orang yang tidak menentang agama Islam kalaupun dia bukan beragama Islam.
  • KITA JUGA HARUS MENOLAK orang yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik. Ada syor-syor, cadangan-cadangan sebegini yang dikemukakan. Raja-raja Melayu adalah benteng terakhir orang Islam, orang Melayu. Kalau benteng terakhir itu telah punah, telah terhapus, maka kita sudah tidak ada apa-apa lagi untuk menahan kita daripada mempertahankan agama kita sendiri.

Ramai juga Ahli Parlimen dan ADUN pada sesi lepas, yang mengatakan moral policing tidak perlu ada. Dosa peribadi adalah hak peribadi. Itu antara orang tersebut dan Tuhan. Jadi undang-undang jenayah syariah seperti khalwat, berzina dan sebagainya tidak perlu diadakan, dia kata. Sebab orang Islam itu self discipline, dia kata. Orang Islam tidak melakukan kesalahan. 

Tetapi bagaimana kita nak mendidik orang Islam daripada tidak melakukan kesalahan sekiranya Oktoberfest berleluasa, sekiranya hiburan berleluasa, sekiranya didikan dalam agama Islam juga dihadkan. Undang-undang sebegini perlu ada untuk mengawal umat Islam supaya kita menjalankan Islam itu sebagai cara hidup kita. Tapi apabila isu-isu moral policing ini sudah tidak ada, sudah pasti agama Islam itu sendiri dari semasa ke semasa akan lebih jauh lagi dari hati umat Islam. Jadi calon-calon yang mengatakan moral policing ini tidak perlu ada, dosa peribadi kerajaan tidak perlu campur, perlulah juga kita tolak.

Ada juga yang mengatakan bahawa Islam perlu disamaratakan dengan agama-agama lain. Perlembagaan Persekutuan menyatakan dana awam hanya boleh diberikan kepada institusi-institusi Islam sahaja. Tidak disebut di dalam Perlembagaan dana awam boleh diberikan kepada agama-agama lain. tetapi oleh kerana mereka ingin samakan agama Islam dengan agama-agama lain, maka mereka mengatakan bahawa perlu dihapuskan keistimewaan-keistimewaan Islam di dalam Perlembagaan, di dalam undang-undang. Orang sebegini kita tidak harus letakkan mereka di Parlimen dan DUN.
  • KITA JUGA TOLAK calon-calon yang menabur fitnah merata-rata. Kita tolak calon-calon yang mengamalkan rasuah kerana rasuah akan meningkatkan kos sara hidup kita.
  • KITA JUGA MENOLAK calon-calon yang mementingkan kroni-kroni mereka sahaja.

9 Mei 2018 adalah penentuan yang penting, kita tidak mahu ahli-ahli politik menjadi penghalang kepada usaha-usaha NGO Islam untuk memartabatkan Islam. Kita perlu bijak memilih yang manakah calon-calon yang perlu kita hantar mewakili kita di Dewan Rakyat dan DUN.

9 Mei kita perlu tentukan calon-calon yang dipilih itu adalah calon-calon yang mewakili Islam. Apabila kita tekankan calon-calon mewakili Islam, itu tidak bermakna kita menzalimi dan mengabaikan hak-hak sah orang bukan Islam, kerana dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri telah menjamin legitimate rights of non Malays and non muslims.

Malah hak-hak tersebut lebih jelas dinyatakan dalam Islam tentang hak-hak minoriti bukan Islam di dalam negara Islam. Hak tersebut lebih banyak berada di dalam undang-undang Islam berbanding di dalam Perlembagaan tetapi dengan syarat mereka perlulah menjadi kafir zimmi bukannya orang kafir yang menentang agama Islam.

Sekian, terima kasih. 

DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR 
Presiden PPMM.

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

No comments:

Post a Comment