Wednesday, May 23, 2018

Halalal Thaiyiban -Ahmad Yakob MB K'tan


USTAZ DATO' AHMAD YAKOB 
Siri Tafakkur dan Tafaqquh Juz 6


RENUNGAN hari ini sekitar perbincangan ayat berkaitan pengharaman bangkai, darah, daging babi dan perkara lain yang memudaratkan manusia.
Allah S.W.T melarang keras daripada memakan perkara yang memudaratkan dan menamakan perkara tersebut sebagaimana dalam firman-Nya:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَنْ تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ۚ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ ۗ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِإِثْمٍ ۙ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٣)
"Diharamkan kepada kamu memakan bangkai (binatang yang tidak disembelih), darah, daging babi, binatang-binatang yang disembelih kerana yang selain daripada Allah, haiwan yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) serta yang disembelih atas nama berhala. 

Dan diharamkan juga kamu merenung nasib dengan undian anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu. Oleh itu, janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. 

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu serta Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Ma'idah: 3]
Hasil carian imej untuk Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi 
Islam sangat mementingkan pegambilan makanan yang halal dan bersih. Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi menjelaskan dalam kitab beliau;Halal dan Haram Dalam Islam bahawa terdapat hikmah terlalu besar kenapa Allah mengharamkan kepada manusia bangkai, darah dan daging babi.

Bangkai disifatkan sebagai binatang yang kematiannya tidak disebabkan oleh sembelihan manusia. Secara naluri, bangkai dipandang sebagai sesuatu yang kotor dan tidak sesuai dengan kehormatan manusia memakannya.
Islam mengharamkan pemakanan darah kerana ia boleh memudaratkan. Saintis Islam terkenal, Prof Dr Zaghlul Al-Najjar menyebut bahawa darah dapat menularkan penyakit serius seperti HIV yang masih dianggap sebagai penyakit yang terlalu sukar diubati.
Dalam kandungan darah yang telah terdedah, terdapat pelbagai jenis gas bebas dan terlarut yang terkandung dalam plasma darah serta berkemungkinan tinggi terdapat virus yang hidup atau mati, bakteria dan parasit. Pemakanan darah ini sudah pasti akan memberi kesan tidak baik terhadap kesihatan manusia.
Begitu juga dengan daging babi, pegambilannya sebagai makanan boleh menjejaskan kesihatan. Dalam Journal of Virology 1997, dilaporkan kajian yang dilakukan oleh 12 orang Pakar Sains yang dipimpin oleh Dr Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin, menunjukkan pada kerongkong babi terdapat sel-sel yang mampu merubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang berbahaya.

Mengikut kajian itu juga, virus binatang yang biasanya tidak menjangkiti manusia akan bertukar menjadi kuman yang berbahaya dan boleh menjangkiti serta membunuh manusia selepas melalui perubahan di dalam tubuh babi. Jika manusia turut memakan babi, maka virus ini boleh menjangkiti pemakan tersebut dan boleh membahayakan kesihatannya.

Pilihlah makanan yang halal, thoyyibat dan tidak menjejaskan kesihatan tubuh badan. Ia sangat penting di bulan Ramadan ini, supaya ibadah kita tidak terjejas dan puasa yang ditaklifkan dapat disempurnakan dengan turut memperolehi kadar kesihatan yang baik kepada tubuh badan.

Selamat berpuasa, semoga beroleh ketakwaan.
Hasil carian imej untuk Ahmad Yakob MB K'tan
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
06 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 22/5/2018

No comments:

Post a Comment