SINGAPURA – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memaklumkan kepada Singapura bahawa prosiding tidak diteruskan dalam dua kes dikemukakan Malaysia terhadap republik itu berhubung Penghakiman asal pada 2008 dalam kes membabitkan kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, menurut Kementerian Luar Singapura.
Dalam kenyataan di sini, hari ini, kementerian itu berkata bahawa Malaysia telah memaklumkan kepada ICJ pada 28 Mei, 2018 bahawa ia tidak akan meneruskan prosiding yang dimulakannya sebelum ini.
“Singapura memaklumkan kepada ICJ pada 29 Mei 2018 bahawa ia bersetuju dengan permohonan Malaysia untuk tidak meneruskannya.
“Sebelum itu, Peguam Cara Malaysia telah menulis surat untuk memaklumkan kepada Peguam Negara Singapura berhubung hasrat Malaysia untuk tidak meneruskan prosiding itu dan Peguam Negara Singapura telah menjawab bagi memaklumkan akan persetujuan Singapura,” kata kementerian itu.
Kes pertama membabitkan permohonan Malaysia bagi semakan semula Penghakiman asal ICJ mengikut Perkara 61, Statut ICJ, yang difailkan pada 2 Feb, 2017.
Kes kedua membabitkan permohonan Malaysia bagi interpretasi Penghakiman asal ICJ mengikut Perkara 60, Statut ICJ, yang difailkan pada 30 Jun, 2017.
Dalam surat bertarikh 29 Mei, 2018, kenyataan itu berkata ICJ memaklumkan kepada Malaysia dan Singapura bahawa Mahkamah telah merekodkan untuk tidak diteruskan, dengan persetujuan Pihak-Pihak, prosiding yang dimulakan pada 2 Feb, 2017 dan 30 Jun, 2017 oleh Malaysia terhadap Singapura, dan mengarahkan supaya kes itu dikeluarkan daripada Senarai Mahkamah. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment