Sunday, May 27, 2018

Ikhlas Siasat 1MDB Atau...? - Seng Giaw



KERAJAAN diminta berhenti mempolitikkan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika benar-benar ikhlas mahu menyelesaikannya.
Veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, jika hendak menentu siapa yang salah atau siapa yang betul, maka lakukanlah siasatan dengan telus mengikut lunas undang-undang.
“Kalau hendak menyiasat, siasatlah senyap- senyap dan fokus. Semasa dalam siasatan tidak boleh buat kenyataan, panggil sidang media dan kemudian membuat tuduhan kepada pihak-pihak tertentu.
“Dalam siasatan ada prosedur. Seandainya ada pihak yang didapati bersalah semasa siasatan, dakwa atau lakukanlah pertuduhan kepadanya supaya yang dituduh dapat diadili di mahkamah.



“Bukannya setiap hari panggil sidang media dan dedahkan apa yang kononnya disiasat. Itu bukan siasatan tetapi hendak berpolitik, ada agenda lain. Siasatan dan sidang media adalah berbeza,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tegas Seng Giaw, kempen untuk pilihan raya sudah selesai lebih dua minggu berlalu, lantaran itu, mana-mana pemimpin yang dipilih tidak perlu terlalu terbawa-bawa budaya berpolitik kerana sudah menjadi pemerintah.
“Pilihan raya sudah berakhir, sudah dipilih jadi tadbirkan negara ini dengan cekap berdasarkan kedaulatan undang-undang,” tambahnya.
Menurutnya, berpolitik sepanjang masa dan mempolitikkan semua isu tidak mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang unggul seperti yang uar-uarkan.
Ini terbukti apabila pasaran saham negara jatuh semalam dan hari ini berikutan kebimbangan yang dicetuskan oleh situasi politik di negara ini.
“Kalau banyak cakap, asyik hendak buat siaran berita seperti sekarang hingga menjejaskan nama dan reputasi negara, maknanya tidak sayang kepada Malaysia. Mereka ini hanya sayang pada diri sendiri sahaja,” ujarnya.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 11:45 PM

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails