Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga suami kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Oleh Menteri-Menteri Persekutuan di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Anggota Kabinet yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang memuaskan boleh digugurkan dan digantikan dengan ahli Parlimen lain yang lebih layak, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini.
Katanya, urusan melantik menteri-menteri Kabinet bukanlah satu tugas mudah dan pastinya tidak akan ada Kabinet yang sempurna serta tidak sunyi daripada kritikan orang ramai.
“Memang tidak ada perfect Cabinet. Sentiasa ada saja cacat celanya. Kita pilih macam mana pun ada orang tak puas hati. Yang saya pilih ni pun saya tahu ramai yang tak puas hati. Tapi nak satisfy everybody (puaskan hati setiap orang) pun tak mungkin.
“Jadi kita akan cuba. Kalau (prestasi) tidak satisfactory (memuaskan), kita kena gugur dan kita pilih lain. Tetapi kita kena bagi peluang supaya ramai orang baharu masuk (menyandang jawatan dalam Kabinet) dan wanita pula, tuntutan mereka kita kena ambil kira. Jadi, tak mudah mengisi jawatan Kabinet,” katanya.
Beliau bercakap selepas upacara mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia 13 menteri Kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.
Dr Mahathir berkata, beliau kini boleh mengadakan mesyuarat Kabinet walaupun masih ada lagi jawatan menteri yang belum diisi.
Menurutnya, jumlah akhir menteri Kabinet mungkin akan mencecah 28 orang setelah ditambah wakil daripada Sabah dan Sarawak.
Diminta mengulas mengenai kritikan sesetengah pihak terhadap pemilihan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, Dr Mahathir berkata: “Dia seorang professor, seorang intelektual, dan seorang lulusan bidang agama tetapi bahasa Inggerisnya baik.
“Kita kalau pilih yang lama saja ataupun yang ada ‘connection’ saja pun tak boleh juga. Kita kena bagi kat orang lain... kita cuba.
“Tapi ramai daripada menteri yang kita pilih tidak ada pengalaman. Jadi kita kena ada bantuan daripada pakar,” tambahnya.
-Bernama
No comments:
Post a Comment