Tuesday, May 22, 2018

Isu 1MDB: Orang Tun M Siasat Najib. Mana Janji S/Siasatan Diraja?



MASIH jelas kedengaran beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji konon mereka akan menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja yang benar-benar bebas dan adil jika dapat memerintah negara ini.

Sudah tentu, seperti begitu banyak gula-gula yang ditabur kepada rakyat, janji manis berkenaan juga berjaya menarik perhatian ramai.
Namun, setelah berjaya mendapat kuasa, janji itu tinggal janji, apa yang dilihat kini adalah penubuhan sebuah pasukan petugas khas sahaja.
Penubuhan pasukan tersebut sebenarnya sangat jauh berbeza dengan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pada tahun 2015.
Ketika itu beliau bersetuju dengan saranan supaya ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat skandal 1MDB.
Beliau ketika itu menegaskan, anggota suruhanjaya itu perlu dipilih oleh rakyat, bukan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya bersetuju dengan syarat ahli royal commission ini tidak dipilih oleh Najib, dipilih oleh rakyat melalui apa saja badan NGO yang ada, mereka pilih dan jadi anggota royal commission.
“Sekarang ini dia sudah suruh Audit Negara dan PAC buat pemeriksaan, saya khuatir pemeriksaan ini akan ambil masa dua tahun setengah, sampai pilihan raya.
“Bila pilihan raya datang, masih dipimpin oleh Datuk Seri Najib sebab belum selesai jawapan dari badan-badan ini selepas dua tahun.
“Kalau kita ada royal commisssion ok lah, jangan suruh saya jadi anggota royal commission sudah lah,” katanya menjawab soalan peserta program Bicara Negarawanketika itu.
Ironi, apa kita lihat pada hari ini adalah amat jauh sekali dengan apa yang dipersetujui oleh Mahathir, 92, atau para pemimpin PH yang lain.
Nyata sekali yang dilaksanakan bukan Suruhanjaya Siasatan Diraja seperti dicanang penuh keyakinan dalam ceramah politik PH sebelum PRU14 yang lalu.
Pasukan petugas baru ini diketuai bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.
Sekali pandang sahaja ramai kalangan kita boleh tahu mereka semua adalah orang Mahathir sendiri.
Dahulu rakyat tidak percaya dengan hasil siasatan berkaitan 1MDB kerana konon ia dilakukan oleh pasukan yang ditafsir ramai sebagai orang Najib.
Persoalanya sekarang, andai siasatan dilakukan pasukan petugas khas yang baru, hasilnya akan dikatakan sebagai menyebelahi Mahathir pula kerana semua yang ada dalam pasukan itu adalah orang yang setia dengan beliau.
Mudah cakap, orang Mahathir menyiasat Najib, boleh percaya ke hasil siasatan mereka nanti? Untuk berlaku adil kepada semua pihak dan penyokong kedua-dua belah, suruhanjaya siasatan diraja adalah jalan penyelesaian yang terbaik.
Dengan cara ini, apa jua pun hasil siasatan 1MDB tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Suruhanjaya berkenaan menjawab terus kepada Yang di-Pertuan Agong.
Apabila mereka dilantik secara rasmi oleh Seri Paduka Baginda, maka mereka juga tidak akan ada masalah untuk melakukan siasatan waima di luar negara.
Apa sahaja cadangan dan keputusan akhir suruhanjaya tersebut perlu diikuti semua pihak kelak. Andai ada salah laku, suruhanjaya berkenaan boleh mengarahkan tindakan diambil ke atas Najib.
Pada masa ini, kegagalan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja yang benar-benar bebas akan ditafsir rakyat sebagai ketakutan kerajaan sekarang untuk mencari kebenaran.
Bayangkanlah andainya pihak suruhanjaya bebas seperti itu mendapati tidak ada sebarang salah laku dalam 1MDB. Masa tu apa lagi modal yang tinggal untuk PH nak kenakan Najib dan kerajaan terdahulu?
Ketika itu makin ramai akan bercakap PH menang kerana fitnah semata-mata. Namun, untuk mengelakkan persepsi seumpama itu, maka masih belum terlambat untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.
Berpegang lah pada janji-janji sebelum pilihan raya umum lalu dan jangan dituduh menipu semata-mata untuk mendapatkan undi. Itu tidak elok untuk imej PH.
Pasukan petugas khas yang dianggotai oleh orang-orang Tun tidak akan membantu menyelesaikan apa-apa kekusutan berhubung 1MDB.
Justeru, penyelesaian yang adil untuk semua pihak harus diambil. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

Post a Comment