Wednesday, May 23, 2018

“Jangan Tunduk Desakan Islam Liberal” -Presiden PINTA

Mohd Zahid Mahmood


KUALA LUMPUR – Kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) diharap tidak tunduk pada sebarang ‘suara’ yang membawa kepada gaya hidup Islam liberal.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd Zahid Mahmood, berkata pemimpin Islam di negara ini wajar mengetepikan perbezaan ideologi dan fahaman politik dalam menangani ancaman serta musuh yang ingin mengubah Malaysia seperti negara Barat.
“Suara yang cenderung kepada liberalisme dan tidak mendokong agama sebelum ini memang sering kedengaran, tetapi kita khuatir ia semakin meruncing.
“Kita memang menolak gerakan seperti ini, justeru diharapkan pemimpin Islam seluruh negara bersatu untuk meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Sejak kebelakangan ini, media melaporkan wujud desakan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dihapuskan secepat mungkin, kononnya demi kesejahteraan negara.
Suara sumbang oleh segelintir pihak itu turut menuntut supaya operasi yang membendung kegiatan khalwat dalam kalangan umat Islam dihentikan kerana dikatakan bercanggah dengan hak asasi manusia.
Sementara itu, Mohd Zahid berkata, PINTA yang dianggotai hampir 700 institusi tahfiz, membabitkan kira-kira 70,000 pelajar di seluruh negara, malam ini mengadakan solat hajat perdana dan doa selamat.
Mengambil keberkatan Ramadan, katanya, ia bertujuan untuk mendoakan supaya kasih antara pemimpin Islam di Malaysia saling bertaut, sekali gus memadam kebencian yang mungkin timbul angkara pelbagai perkara sebelum ini.
“Kita doa, insya-Allah pemimpin Islam dilindungi daripada fitnah didalangi anasir yang ingin melagakan umat Islam supaya terus berpecah dan lemah,” katanya.
Mengulas hasrat kepada kerajaan, Mohd Zahid berharap, peruntukan kewangan untuk memperkasa institusi tahfiz tidak terkubur, sebaliknya terus disalur dan ditambah mengikut keperluan semasa.
Katanya, sengketa yang mungkin timbul angkara politik harus diketepikan supaya pelbagai inisiatif mengangkat martabat pendidikan dan keselamatan institusi tahfiz dirintis kerajaan terdahulu diperkukuhkan.
“Kami harap segala bajet yang diluluskan sebelum ini, merangkumi peruntukan untuk menaik taraf aspek keselamatan dan pendidikan tahfiz tidak disekat, sebaliknya terus disalur serta ditambah,” katanya. – BH ONLINE


No comments:

Post a Comment