Sunday, May 27, 2018

'Jari kanan saya OK'. Raja Norsharina Sedia Beraksi..


Al-hamdulillah, berhoki dan bertudung.

SUKAN
PERTAHANAN negara, Raja Norsharina Raja Shabuddin mengesahkan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan jari tangan kanan dan bersedia beraksi pada pusingan pertama Siri Hoki Dunia di Singapura bermula 23 Jun hingga 1 Julai depan.

Dalam kempen Trofi Juara-Juara Asia di Korea Selatan minggu lalu, tonggak berusia 27 tahun itu terpaksa menerima tiga jahitan di jari tangan kanannya selepas terkena bola ketika tumpas 3-1 kepada China dalam aksi kedua kumpulan.

Akibat insiden itu dia terpaksa berehat untuk perlawanan menentang Jepun sebelum beraksi semula dalam keadaan jari masih berjahit semasa tumpas kepada India 3-1 dan sekali lagi 2-0 kepada China dalam aksi perebutan tempat ketiga.

“Setakat ini, jari manis dan jari telunjuk tangan kanan saya sudah pulih, jahitan pun sudah dibuka, memang masih ada sedikit kesan bengkak tetapi saya sudah berasa selesa,” kata Raja Norsharina.
“Sebelum ini di Korea untuk dua perlawanan terakhir saya beraksi dalam keadaan kurang selesa kerana takut jahitan terbuka.”

Malah Raja Norsharina yang dianggap tonggak penting di bahagian benteng berpuas hati dengan keseluruhan prestasinya di Korea Selatan.

“Memang berpuas hati, tetapi masih ada ruang untuk terus meningkat terutamanya dari sudut bertahan.
“Saya juga gembira dengan potensi yang ditunjukkan pemain muda yang membuktikan mereka bukan lagi penumpang dalam pasukan dan saya pasti jurulatih (Dhaarma Raj Abdullah) akan pening kepala untuk memilih 18 pemain terbaik untuk ke Singapura,” katanya.

Siri Hoki Dunia di Singapura yang turut membabitkan Hong Kong, Kazakhstan, Thailand, Indonesia, Malaysia dan tuan rumah adalah kejohanan pembuka tirai bagi kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.




Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 8:51 PM

No comments:

Post a Comment