Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mendahului barisan menteri mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia. Foto: Bernama
KUALA LUMPUR : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mendahului barisan 13 menteri mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di ibu negara.
Kesemua jemaah menteri baru yang mengangkat sumpah di Istana Negara itu dilantik pada Jumaat.
Turut hadir menyaksikan istiadat ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Upacara yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara itu bermula jam 5.45 petang sejurus keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda berdua.
Upacara bermula dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Dr Wan Azizah selaku Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga.
Acara penyerahan surat cara pelantikan serta melafaz sumpah jawatan dan taat setia bagi menteri dijalankan secara berkumpulan seramai tiga orang.
Kumpulan pertama yang mengangkat sumpah adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.
Kumpulan kedua adalah Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, Rina Harun sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar serta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Kumpulan ketiga melafaz sumpah jawatan dan taat setia adalah Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan serta Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Manakala kumpulan keempat yang mengangkat sumpah adalah Salahuddin Ayub sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Kulasegaran V. Murugeson sebagai Menteri Sumber Manusia dan Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan.
No comments:
Post a Comment