KUALA LUMPUR, 27 Syaaban 1439H, Ahad – Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengenai pelantikan tiga portfolio kanan dalam Kabinet kerajaan yang belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan itu adalah pandangan peribadi semata-mata.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pendirian parti adalah sama dengan kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerajui kerajaan baharu Persekutuan.
“Itu pandangan dia (Rafizi) kita harus menghormatinya, tapi pada akhirnya dalam jemaah ini melihat kepada keputusan parti dan keputusan rasmi itu telah dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“…dan saya yakin proses ini akan berjalan dengan baik, cukup kondusif dan kita mahu ia mestilah memenuhi aspirasi rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat Parlimen Gombak di Dataran Greendwood, di sini, hari ini.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari, ADUN Gombak Setia, Hilman Idham dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.
Semalam, Rafizi menerusi laman rasminya Rafiziramli.com berkata perbincangan rundingan jemaah menteri termasuk tiga portfolio kanan dalam kerajaan iaitu Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
Rafizi berkata ia susulan ketiadaan wakil PKR di dalam mesyuarat dan semasa pengumuman pelantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan itu.
Mohamed Azmi, yang juga Menteri Besar Selangor, berkata parti itu akan meneruskan perbincangan dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengenai senarai penuh anggota Kabinet kerajaan.
Mengenai barisan exco kerajaan negeri Selangor, Mohamed Azmi berkata senarai 10 nama yang akan mengangkat sumpah esok untuk menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) telah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,’katanya.
Menurutnya, majlis angkat sumpah akan diadakan pada 2 petang esok.
“Kita akan melihat beberapa muka baharu esok. Saya percaya in adalah pasukan yang mantap dan kami akan terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat di Selangor,” katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment