Tuesday, May 15, 2018

Kita Masih Tergantung Tanpa Kerajaan



Hari ini sudah memasuki hari ketujuh, Pakatan Harapan berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke 14. Hari ini juga merupakan hari ke empat, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh. Namun, sehingga kini, masih belum ada kepastian, apakah hala tuju kerajaan selepas ini.
Dalam sidang media yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir sejak menjadi Perdana Menteri, beliau telah menyasarkan sebanyak 10 kementerian sahaja yang akan wujud di bawah pentadbiran baru Pakatan Harapan. Tiga nama telah diumumkan iaitu Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan manakala Presiden PAN, Mohamad Sabu dilantik sebagai Menteri Pertahanan. Bagi Tan Sri Muhyiddin Yasin pula, beliau dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru.

Ironinya, sehingga kini, masih ada suara-suara dari dalam PKR sendiri yang seolah-olah tidak mengiktiraf perlantikan berkenaan. Sebagai contoh, Rafizi Ramli yang begitu lantang mempersoalkan kewajaran lantikan berkenaan. Dia mendakwa, Tun Dr Mahathir tidak berbincang langsung dengan PKR berhubung lantikan berkenaan dengan alasan, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dilihat tidak hadir semasa pengumuman berkenaan dibuat.

Timbul persoalan besar sekarang, apa hala tuju kerajaan sekarang dengan tidak ada sebarang nama diumumkan secara sah menjawat-jawatan menteri yang menjaga beberapa portfolio negara? Berapa lama lagi harus perlu ditunggu oleh semua rakyat Malaysia untuk mengetahui siapa yang akan mengetuai beberapa jabatan yang ada kena mengena dengan rakyat?

Kita harus faham, sesebuah kerajaan berfungsi bukan berpusat kepada seorang individu semata-mata. Ianya peru melibatkan satu kumpulan yang dilantik sebagai menteri untuk mengetuai jabatan masing-masing dan seterusnya membentuk kabinet yang akan menentukan hala tuju negara. Namun dalam kes ini, nama-nama orang penting dalam kerajaan baru ini masih lagi tergantung. Negara tidak akan dapat berfungsi dengan baik jika bersandarkan kepada tiga nama ini semata-mata.

Malah, pelabur asing juga turut ternanti-nati, siapakah yang akan mereka perlu berurusan dengan kerajaan baru hari ini. Andai ini kekal tergantung, walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad ada mengeluarkan kenyataan untuk menamakan menteri kabinetnya dalam minggu ini, besar kemungkinan ekonomi negara bakal terganggu. Malah, urusan dua hala Malaysia dengan negara luar juga bakal tergantung sehingga semua masalah ini dapat diatasi.

Tidak ada seorangpun rakyat Malaysia mahu sebuah negara yang tidak stabil. Justeru, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah, menyegerakan nama-nama menteri kabinet kerajaan baru hari ini sebelum sebarang perlaksanaan lain dibuat. Seperti yang digariskan diatas, negara tidak akan dapat berfungi dengan baik jika hanya seorang sahaja yang menguruskan negara. (PRU14.TV)

1 comment:

  1. teruknya pengetahuan kamu. asyik mimpi pas sj. itu la jadinya. kesumat tak habis2.

    ReplyDelete