Monday, May 28, 2018

Patuh GST Kadar Sifar Atau Berdepan Tindakan Tegas




PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi amaran kepada peniaga untuk mematuhi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar bermula 1 Jun ini atau berdepan tindakan tegas.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata pihaknya boleh mengambil tindakan terhadap peniaga yang ingkar di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.
Katanya KPDNKK juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan pematuhan dalam kalangan peniaga.
“Jika selama ini sesuatu barang itu berharga RM100, pada 1 Jun nanti kami ingin melihat harga yang ditawarkan peniaga adalah RM94 (selepas ditolak 6 peratus),”katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau turut meminta pengguna memeriksa resit setiap kali membuat pembayaran bagi memastikan peniaga mematuhi pelaksanaan GST pada kadar sifar.
Mohd Roslan berkata ini kerana, tanda harga di rak barangan dan harga pada resit mungkin berbeza berikutan wakil persatuan peniaga memaklumkan kepada KPDNKK pada sesi taklimat 25 Mei lepas bahawa mereka memerlukan lebih masa untuk menukar semua tanda harga terutamanya di pasar raya besar.
“Pada 1 Jun nanti mungkin tanda harga masih RM100, ini kami benarkan, cuma apabila pengguna membayar nanti pastikan pada resit harga adalah RM94.
“Pengguna perlu berhati-hati dan pastikan pada resit (GST) kosong peratus, bukan lagi SR (standard rated) 6 peratus. Kalau masih ada, mereka boleh laporkan kepada JKDM atau KPDNKK,” katanya.
Mohd Roslan berkata orang ramai boleh menyalurkan aduan kepada KPDNKK antaranya menerusi 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) di talian 03-80008000, talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) di 03-88826088/6245, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau emel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my.
Ditanya mengenai tempoh yang diberikan kepada peniaga untuk menukar tanda harga, katanya wakil persatuan tersebut meminta tempoh dua hingga tiga bulan, namun kementerian akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat.
Mohd Roslan berkata sejak minggu lepas, KPDNKK telah menggerakkan pegawainya di seluruh negara untuk memantau dan mengumpul data harga semasa barangan dengan GST 6 peratus untuk dibandingkan dengan harga sifar GST pada 1 Jun depan.
Mengulas isu kenaikan harga barangan yang tular baru-baru ini, Mohd Roslan berkata ia adalah situasi biasa setiap kali awal Ramadan berikutan permintaan tinggi dalam pasaran.
“Bagaimanapun, kami dapati ketika ini keadaan telah kembali normal bagi barangan seperti ayam, daging dan sayur. Bagi sayur ia juga bergantung kepada bekalan dan keadaan cuaca,” katanya.
Ditanya mengenai skim kawalan harga musim perayaan bagi sambutan Aidilfitri, katanya KPDNKK bercadang untuk melaksanakan skim itu pada 8 Jun nanti.
Mengenai aktiviti penguatkuasaan, Mohd Roslan berkata sejak Januari hngga April lepas, KPDNKK telah merekodkan 1,194 kes hasil pemeriksaan terhadap 183,395 premis di seluruh negara dengan nilai rampasan berjumlah RM882,192 dan kompaun RM180,430. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment