Tuesday, May 29, 2018
Pelancongan Islamik, Tingkat Sektor Pelancongan.
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu pimpinan PAS sedang menyiapkan pelan induk untuk menjadikan Terengganu hab pelancongan berciri Islamik, kata Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Katanya ia menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing ke Terengganu terutama dari Timur Tengah, China dan Barat.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri yang baharu tidak akan melakukan perubahan drastik terhadap apa-apa program pelancongan yang telah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu malah ia akan ditambah baik.
“Sebelum ini ramai pelancong asing termasuk dari Timur Tengah dan negara-negara Barat datang ke negara ini tetapi tidak ramai dari kalangan mereka yang berkunjung ke Terengganu.
“Sedangkan jika mereka mahu melihat kebudayaan masyarakat Melayu Islam di sini, keindahan pantai, pulau-pulau kita yang menarik, Terengganu sepatutnya menjadi pilihan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama para penggiat industri pelancongan negeri di sini, malam tadi.
“Ini yang kita akan fokuskan nanti, bagaimana kita nak tonjolkan kapasiti pelancongan yang kita ada dapat alihkan tumpuan mereka ke Terengganu agar sektor pelancongan kita lebih maju sekali gus dapat menjadi penyumbang peningkatan ekonomi negeri dan masyarakat,” katanya.
Pada majlis itu Ahmad Samsuri mewakili negeri Terengganu menerima Anugerah Destinasi Mesra Muslim daripada Universal Crescent Standard Centre (UCSC) dengan kolaborasi Universiti Teknologi Mara.
Menyentuh kebimbangan masyarakat bukan Islam mengenai pelaksanaan pelan induk itu, Ahmad Samsuri berkata mereka tidak perlu khuatir kerana ia turut mengambil kira sensitiviti semua kaum di negeri ini dengan tidak mengenepikan kepentingan masyarakat bukan Islam.
“Itu hanya persepsi apabila segelintir pihak mengatakan sektor pelancongan tidak ada kaitan dengan Islam…tetapi di bawah pentadbiran PAS sama ada di Terengganu atau Kelantan, kita mempunyai tanggungjawab memperkenalkan bahawa dalam sektor ini Islam dijadikan sebagai ‘guideline’ (garis panduan) bagi menentukan aspek mana yang boleh dan tidak bercanggah dengan Islam (dalam sektor pelancongan).
“Pada peringkat awal mungkin mereka akan rasa pelik, tapi lama-lama selepas dapat penjelasan ia tidak menimbulkan masalah kepada pelancong bukan Islam terutama dari negara Barat,” katanya.
Mengulas cakap-cakap sebelum pilihan raya umum lepas kononnya operasi panggung wayang akan dihentikan jika PAS menjadi kerajaan, beliau memberi jaminan operasi panggung wayang tidak akan dihentikan malah akan dikaji bagaimana ia dapat ditambah baik. – BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment