Tuesday, May 29, 2018

PH Ikut Budaya UMNO, Lantik Tokoh Kalah Sertai Kabinet.


Kelantan dan Terengganu memilih untuk tidak memihak kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu yang menyaksikan gabungan diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan menawan Putrajaya.

Malah, beracanggah dengan jangkaan awal, HARAPAN gagal memenangi satu kerusi pun di kedua-dua negeri berkenaan. Di dewan undangan negeri (DUN) Kelantan dan Terengganu, yang tinggal dan terselamat cuma PAS dan Umno.

Justeru muncul polemik mengenai sejauh mana Dr Mahathir - selaku perdana menteri - perlu melantik wakil dari negeri itu untuk dibawa ke dalam jemaah menteri.

Semalam, pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan melontarkan cadangan dengan mengemukakan tiga nama untuk diangkat sebagai menteri atau timbalan menteri.

Sambil menelaah cadangan itu, Malaysiakini berkesempatan mendapat pandangan daripada dua penganalisis politik tempatan yang memberi pandangan berbeza dalam persoalan berkenaan.

Bagi Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi, sebaik-baik menteri yang dilantik, merek aperlu bertitik tolak daripada kemenangan dalam pilihan raya.

Banyak calon lain

Kata ahli akademik Universiti Malaya itu, melantik tokoh parti yang kalam dalam PRU menyertai kabinet adalah bawaan budaya Umno yang tidak baik untuk dicontohi.

"Ramai lagi calon lain yang menang boleh diangkat dan diketengahkan sebagai bakat baru dalam kabinet.
"Jika pelantikan indiviu yang tewas dilakukan juga, maka calon yang menang seolah-olah dinafikan haknya dalam dunia demokrasi.
"Banyak calon dari negeri lain boleh diberikan ganjaran dengan lantikan sebagai ahli kabinet kerana prestasi negeri itu jauh lebih baik," katanya kepada Malaysiakini.

Dr Mahathir mengumumkan secara berperingkat jemaah menterinya selepas mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong pada 10 Mei lalu.

Selain Dr Mahathir sebagai menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi timbalannya, 10 orang pemimpin HARAPAN turut diberikan portfolio masing-masing.

Lantikan lain akan dibuat selepas ini. Putrajaya menetapkan sasaran melantik 25 orang menteri dan mungin menambahnya sehingga had maksimum 30 orang. Saiz kabinet semasa zaman Datuk Seri Najib Razak ialah 35 orang.

Menteri jadi penghubung

Awang Azman berkata, berdasarkan prestasi semasa Dr Mahathir mungkin boleh melihat kepada bekas calon HARAPAN untuk DUN Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz, untuk dipertimbangkan bagi mewakili Kelantan.

"Ini kerana walaupun Nik Omar kalah, dia berjaya melonjakkan imej Islam sederhana di mata rakyat Malaysia dan memberi kesan terhadap kemenangan HARAPAN di negeri-negeri lain," katanya.

Namun, kata Awang Azman, banyak pertimbangan lain yang perlu diteliti dan perdana menteri tidak boleh tunduk kepada rayuan-rayuan bersifat emosi daripada mana-mana pihak.

Menurut Awang Azman pemilihan tokoh yang salah untuk menduduki jawatan menteri hanya akan menyebabkan krisis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Kesannya, kata beliau, HARAPAN boleh menjadi gabungan parti yang rapuh.
(MINDARAKYAT)

No comments:

Post a Comment