Sunday, May 27, 2018

Tarbiah Pasca Kemenangan. -Presiden PAS




الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

  • "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami (Allah) berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat, memberi zakat, mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Al-Haj: 41)

Isi kemenangan lebih payah dari mencapai kemenangan.
Walaupun kita kuasai negeri Terengganu, tetapi kita tidak kuasai negara. Namun, kuasa yang terbatas itu tetap mesti diisi.
Untuk menjadi sebuah negeri, ada lima syarat - tanah, rakyat, pemimpin, perlembagaan, kedaulatan.
Tahap kita sekarang ialah menguasai kerajaan negeri, di bawah konsep persekutuan (federalisme), terhad, tapi ada perkara yang kita boleh buat, tanpa merencatkan perjuangan dan matlamatnya.
Menurut kaedah fiqh:
ما لا يدرك كله، لا يترك جله
  • 'Perkara yang tidak didapati semuanya, tidak ditinggalkan sebahagiannya'

Allah berfirman:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
  • "Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah semampu kamu." (At-Taghabun: 16)

Justeru, kita masukkan ciri-ciri kemenangan Islam dalam negeri yang kita kuasai. Pada tahun 1999, kita letakkan Qur'an, Hadis, Ijmak, Qias sebagai Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu.
Dalam ayat pertama tadi, Allah sebut, pertamanya dirikan solat.
Kerajaan yang dibentuk mesti ada hubungan dengan Allah atau disebut kerajaan Rabbaniyah. Sheikh Ali An-Nadawi, seorang tokoh ulama menyebut sebagai negara hidayah (mendapat petunjuk), bukan jibayah (memungut hasil cukai), tanpa menafikan hasil untuk negara penting.
Inilah rahsianya Allah mulakan Islam lahir di Mekah, lembah tanpa tanaman. Islam meletakkan jadual yang diatur oleh Allah, bermula dengan pembangunan manusia dahulu. Perkara ini tiada dalam agama yang lain. Allah turunkan Quran di Mekah, prosesnya berterusan hingga tegak negara Islam di Madinah.
Solat, bukan sahaja ketika mahu mengerjakan solat, tetapi mengaitkan dengan seluruh hidup manusia. Solat dikaitkan dengan Allah, ada perkara dosa pahala, termasuk dalam pentadbiran, termasuk dalam ucapan kita:
الحمد لله رب العالمين
  • Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.

Perkaitan inilah yang menjadikan sebuah negara itu mendapat berkat dari Allah.
Allah berfirman:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
  • "Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami (Allah) akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan." (Al-A'raf: 96)

Istilah berkat tiada dalam agama lain, hanya ada dalam Islam.
Kita perintah Kelantan selama 28 tahun. Kita dapat tangani isu rakyat, di mana sifat iman dan taqwa ditanam walaupun hasil negeri kurang, sehingga Kelantan dapat dipertahan. Terengganu masih belum sampai ke tahap seperti Kelantan.
Diisebut dalam ayat itu: iqamatussolati (mendirikan solat), bukan mendirikan masjid sahaja. Allah berfirman:
انَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
  • "Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk." (At-Taubah: 18)

Tanggungjawab kita ialah memakmurkan masjid. Nabi dirikan masjid yang menjadi institusi mengilmukan insan. Apabila manusia ada ilmu yang memimpin mereka, maka tarbiah melalui masjid akan diberi keberkatan.
Perkara kedua ialah zakat. Ia mengajar konsep ekonomi dalam Islam, di antaranya harta tidak beredar di kalangan orang kaya sahaja.
تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
  • Zakat diambil dari orang kaya di kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang miskin di kalangan mereka. (Riwayat Bukhari)

Konsep nisab (kadar tertentu) berlaku dalam aspek ekonomi secara umum. Hasil lain juga boleh dikenakan zakat menurut pendapat ulama dalam mazhab yang lebih luas.
Konsep cukai di kalangan bukan Islam seperti jizyah (cukai kepala), kharaj dan usyur juga boleh dikenakan. Apabila bentuk ini dibuat, maka tiada (cukai yang zalim seperti) GST, tol, atau bentuk penswastaan.
Kerajaan tidak boleh berniaga dengan rakyat. Apa yang berlaku, kerajaan juga berniaga dengan rakyat. Berlakulah inflasi. Kita juga diperkenalkan dengan welfare state (negara kebajikan). Islam bukan sahaja kebajikan, tetapi berkebajikan.
Perkara berikutnya dalam ayat di atas ialah amar makruf (suruh yang baik). iaitu dakwah ilassolah, mengajak kepada keharmonian, dengan ucapan, tulisan, amalan. Begitu juga dengan cegah mungkar. Ini melibatkan bidangkuasa kerajaan negeri, melibatkan kerajaan dan rakyat juga berperanan.
Nabi SAW bersabda:
من رأى منكم منكرًا، فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان
  • Sesiapa di kalangan kamu melihat satu perkara mungkar, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Rakyat diajar untuk mencegah mungkar. Kita didik rakyat supaya bersama dengan kerajaan dalam menjalankan tugas ini.
Di akhir ayat itu Allah menyebut: "Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."
Ini menunjukkan adanya muhasabah di sisi Allah. Kita meyakini bahawa pemerintah yang adil berada di bawah naungan Arasy Allah. Ia disebut sebagai golongan pertama dari 7 golongan dalam sebuah hadis, yang mendapat naungan Allah.
Cabaran luaran pula ialah kita menghadapi golongan Ahzab (Pakatan kumpulan yang berbeza). PAS menang di Kelantan dan Terengganu bersendirian (walaupun berada dalam Gagasan Sejahtera). Ujian Ahzab, di mana semua kumpulan yang tidak setuju dengan Islam menghadapi kita. Kepungan ini menambahkan iman kita kepada Allah.
Kuasa dunia tidak bersama dengan Islam. Parti Islam, Masyumi, pernah menang di Indonesia, namun dikalahkan. Parti Islam di Algeria pernah menang, juga dijatuhkan. Begitu juga Mesir (yang melihat kebobrokan rejim tentera yang sangat zalim, menjatuhkan Mursi).
Kita tidak gopoh dalam pemerintahan, menjadikan kita boleh berterusan dengan Islam. Pemerintahan kita bukan seperti cara Taliban atau ISIS. Kita perintah ikut jadual, kita berjaya Insya Allah.
Intisari ucapan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam Tamrin Qiadi PAS Terengganu.
Catatan:
Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek
Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu.
Jumaat 25 Mei 2018, Kuala Terengganu - HARAKAHDAILY 26/5/2018

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails