PETALING JAYA – Kejayaan luar biasa Pas untuk mengekalkan pentadbirannya di Kelantan, selain merampas Terengganu dan memenangi 18 kerusi Parlimen bukan sahaja menafikan ramalan awal parti itu akan kecundang habis-habisan, malahan ia telah membuka mata ramai penganalis.
Nanyang Siang Pau dalam ruangan editorialnya berkata, tiada orang lagi yang akan memandang rendah Pas dengan kejayaan yang dicapainya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Walaupun hasrat Pas untuk menjadi ‘King Maker’ tidak kesampaian, tetapi ia tetap menjadi parti paling berpengaruh di Pantai Timur.
“Tiada siapa pun dapat menafikan bahawa parti ini akan mengukuhkan lagi pengaruhnya pada masa akan datang.”
Nanyang Siang Pau berpendapat, rasa “bosan” pengundi Melayu terhadap UMNO dan Pakatan Harapan yang “saling mengorek luka masing-masing” dan ketaatan Pas kepada perjuangan Islamisasi telah membawa kepada kemenangan Pas.
Penganalisis Oriental Daily, Yang Shan Yong pula berpendapat, dua watak utama dalam PRU-14 ialah “Hadi dan Hathir” merujuk kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri baharu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Walaupun Dr. Mahathir lebih mahir kali ini dan berjaya memenangi PRU-14, tetapi malangnya masa tidak berpihak kepada pemimpin berumur 93 tahun ini.
“Berlainan dengan Dr. Mahathir, Abdul Hadi hanyalah berusia 71 tahun dan ada 22 tahun lagi jika beliau mahu aktif dalam politik sehingga 93 tahun.” kata penganalisis itu yang membayangkan masa depan yang cukup baik buat Abdul Hadi dalam politik Malaysia. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment