SELEPAS 12 hari berkuasa, rakyat Malaysia khasnya umat Islam tentu ada tertanya-tanya apakah jemaah Kabinet di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad langsung tiada menteri hal ehwal agama.
Persoalan cepumas itu bertambah menarik apabila Perdana Menteri tersebut ketika mengumumkan pembentukan 10 kementerian utama pada 11 Mei lalu, langsung tidak sebut kewujudan portfolio khusus berkaitan perihal Islam.
Walhal sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lepas, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO memang ada jawatan menteri sedemikian dan diletakkan terus di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Penyandang terbabit bertanggungjawab terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ditubuhkan sejak 1997 dan menggantikan Bahagian Hal Ehwal Islam JPM yang wujud ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Namun, nasib masa depan agensi berkenaan kini terumbang-ambing apabila tiada menteri dilantik untuk tugas itu dan lebih malang, ia juga tidak disebut Mahathir, 92, ketika mengumumkan senarai 13 menteri pada 18 Mei lalu.
Ketua kerajaan dengan usia tertua di dunia itu sebaliknya memuktamadkan portfolio Kewangan, Dalam Negeri, Pertahanan, Ekonomi, Pendidikan, Pembangunan Luar Bandar, Pengangkutan serta Komunikasi dan Multimedia.
Manakala portfolio Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Tenaga Manusia pula ‘memadamkan’ senarai asal iaitu Luar Negeri dan Kerja Raya.
Ketiadaan Menteri Agama sebenarnya sudah dapat ‘dihidu’ banyak pihak apabila julung kali dalam sejarah Majlis Tilawah dan Hafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-60 di ibu negara pada 12 Mei lalu tiada kelibat Mahathir!
Acara tahunan berprestij itu yang lazim dibuat menjelang bulan Ramadan, langsung tidak dihadiri perdana menteri atau timbalannya tetapi cuma ada Yang di-Pertuan Agong dan Ketua Pengarah Jakim sebagai tetamu kehormat.
Apakah program itu tidak begitu penting bagi Mahathir padahal beliau sendiri baharu sahaja mengangkat sumpah jawatannya sebagai perdana menteri yang ketujuh di hadapan Seri Paduka Baginda di Istana Negara pada 10 Mei.
Kegagalan Mahathir hadir majlis rasmi itu sendiri sudah memberi gambaran awal layanan kerajaan PH terhadap usaha pemerkasaan syiar Islam sementelahan ia langsung tidak disebut dalam manifesto mereka bagi kempen PRU.
Secara umum, jika Perdana Menteri benar serius mahu angkat martabat Islam sebagai agama Persekutuan sebagai mana termaktub dalam perlembagaan negara, sewajarnya menteri terbabit sudah pun ada angkat sumpah semalam.
Malangnya isu agama yang menjadi tunjang kehidupan Melayu dan membentuk majoriti penduduk Malaysia seolah-olah dipinggirkan dengan Mahathir sebaliknya lebih fokus kepada portfolio bersifat duniawi berbanding ukhrawi.
Apakah ini kes terlepas pandang atau memang disengajakan? Untuk rekod, secara kebetulan PH yang turut disertai DAP memang terkenal sejak dulu lagi memiliki imej ‘kurang mesra’ kepada agenda melibatkan kepentingan Islam.
Ramai pemimpin dan penyokong parti itu diketahui lantang menentang usaha kerajaan BN sebelum ini dalam isu hal ehwal Islam antaranya penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil dan pembinaan gereja di kawasan Melayu.
Bahkan mereka mempopularkan amalan bertentangan Islam termasuk pertahan individu murtad, gerakan liberal seperti bebas sentuh anjing, pesta arak, kegiatan LGBT selain persoal suara azan, agihan zakat dan hijab di hotel.
Mereka juga biadab mendesak agar kerajaan hapus institusi mahkamah syariah, sekolah tahfiz, pendidikan Islam dalam kurikulum kebangsaan, sistem perbankan Islam, sijil halal dan lebih dahsyat ialah mansuh Jakim itu sendiri.
Bagi kelompok ini, isu agama dianggap sekat kebebasan hak asasi manusia. Justeru ketiadaan jawatan menteri agama dalam Kabinet PH secara tidak langsung memberi bayangan bagaimana nasib Islam di bumi Malaysia.
Mungkin masih belum lagi terlewat untuk Mahathir mengumumkan penyandang jawatan itu tetapi persoalannya, adakah PH ketandusan calon yang berwibawa selain berlatar belakang agama bagi mengisi portfolio tersebut?
Setakat ini, umat Islam termasuk penyokong PH melihat setiap tindakan Mahathir dan jika beliau gagal dalam isu pelantikan menteri agama, ia bakal jadi tanda tidak baik kepada imej negara kita sendiri. – Mynewshub.cc/HAA
1 comment:
Pegangan Mahathir terhadap agama begitu nipis.. lihat apa yg dia buat terhadap Hasmah mengenai larangan bertudung.
Post a Comment