Seandainya satu kaji selidik dilakukan sekarang untuk membandingkan populariti antara Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim, siapakah yang lebih popular di kalangan rakyat Malaysia?
Dari pengamatan secara kasar, kemungkinan besar jawapannya Mahathir. Penampilan susuk tubuh berusia 92 tahun ini dalam tempoh 48 jam sejak malam pengiraan undi amat mengagumkan – sehingga ramai terpaksa akur bahawa Mahathir memainkan peranan penting untuk menjayakan peralihan kuasa yang bersejarah di tanah air ini.
Mahathir menyempurnakan misi yang digalasnya. Beliau berjaya menarik sokongan pengundi Melayu, yang menolak Najib Razak, barangkali juga Umno-BN, tetapi pada masa yang sama masih ragu-ragu dengan kedudukan Melayu dan Islam seandainya rejim yang memerintah untuk 61 tahun ini ditumbangkan. Kemudian, dengan kewibawaan dan pengaruh yang ditinggalkannya dalam sistem sepanjang zaman pemerintahannya, peralihan kuasa kerajaan persekutuan berlaku tanpa halangan pasukan keselamatan, dan juga tanpa pertumpahan walaupun satu titisan darah.
Padahal, tidak ramai yang menaruh harapan tinggi bahawa reformasi sistem atau institusi akan terlaksana bawah pemerintahan Mahathir. Ini menjelaskan mengapa idea “PM sementara untuk tempoh dua tahun” diketengahkan sebagai penyelesaian untuk meredakan penolakan penyokong tradisional pembangkang terhadap Mahathir sebelum ini. Perhitungannya, Mahathir menawan Putrajaya untuk membuka pintu agar agenda reformasi dilaksanakan oleh Anwar selepasnya.
Bagaimanapun, Mahathir yang berusia 92 tahun ini mempercepatkan langkahnya untuk menjana agenda reformasi sebaik sahaja mengambil alih tampuk kuasa. Menteri-menteri kabinetnya kini berjanji untuk mengkaji pemansuhan atau pindaan akta-akta yang dikatakan mencabul demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan. Beberapa langkahnya dilihat agak ke depan, misalnya bertegas untuk melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara, yang mencungkil pertikaian dan ketegangan dengan pihak istana. Mahathir menarik balik keputusannya untuk merangkap jawatan menteri pendidikan selepas ditegur, memberi gambaran bahawa Mahathir 2.0 bukan lagi diktator yang kita kenali dari tahun 1981 hingga 2003.
Anwar dibebaskan lebih awal dari jangkaan ramai, malah diberi pengampunan penuh yang meleraikan segala kekangannya untuk bergiat dalam politik. Dengan kata lain, Mahathir dilihat telah menepati janjinya dan ini sedikit sebanyak menghakis kesangsian penyokong Anwar terhadapnya. Malah, Mahathir mengambil beberapa langkah untuk menyahut keperluan pengundi, misalnya menurunkan kadar GST kepada sifar mulai 1 Jun 2018, sebelum ia boleh dimansuhkan mengikut saluran perundangan.
Langkah demi langkah diambil Mahathir untuk membina momentum sokongan terhadap dirinya.
Malah penyokong Anwar yang menolaknya sebelum ini, atau sekurang-kurang meragui keikhlasannya, kini mula menerima tokoh yang pernah dijadikan simbol kezaliman pada zaman Reformasi. Populariti Mahathir melonjak secara mendadak, sehingga sebarang kritikan terhadap beliau di laman sosial, akan dibanjiri dengan komen-komen untuk mempertahankan Mahathir.
Sentimen ini juga dirasai apabila media Internet, The Malaysian Insight menjalankan satu undian sama ada Mahathir harus dikekalkan sebagai PM selepas dua tahun. Ada yang “tidak kisah”, malah dirasakan Mahathir amat diperlukan. Justeru itu, tidak keterlaluan seandainya dikatakan Mahathir sebagai PM ketujuh lebih “berkuasa” daripada Mahathir sebagai PM keempat, kerana beliau kini bukan sahaja menguasai jentera negara, tetapi juga menawan hati rakyatnya.
Setelah menyaksikan perkembangan sedemikian, beberapa persoalan ditimbulkan. Tatkala penyokong Anwar mulai menerima kepimpinan Mahathir, apakah penyokong Mahathir juga menerima Anwar di sebaliknya? Seterusnya, dengan kuasa dan sokongan yang tergenggam dalam tangan Mahathir, apakah jaminan bahawa tampuk kuasa akan diserahkan kepada Anwar selepas tempoh dua tahun?
Dilema Anwar
Persoalan ini dilontarkan bukan untuk melaga-lagakan kedua-dua orang tokoh, atau penyokong mereka. Kita perlu bersikap matang untuk memahami bahawa sesungguhnya wujud persaingan antara Mahathir dengan Anwar, yang tidak semestinya negatif dalam politik.
Hakikatnya, Anwar yang ditetapkan sebagai “PM-in-waiting” sebelum PRU14, kini hanya mampu menunggu. Malah Anwar akan kelihatan gelojoh, seandainya tergesa-gesa untuk menonjolkan cita-citanya. Sudah tentu Anwar akan disindir, diperli dan diejek, “Mahathir sibuk menyelamatkan Malaysia dari muflis, Anwar pula sibuk ingin merampas kuasa”. Suasana politik sedemikian semestinya tidak memihak kepada Anwar.
Dari sudut Anwar, sudah tentu beliau terkesan dengan perubahan sedemikian, sama ada dari penyokongnya mahupun rakan seperjuangannya. Untuk tempoh dua dekad kebelakangan sejak tahun 1998, Anwar-lah pemimpin politik yang paling banyak berkorban untuk pendemokrasian Malaysia.
Hampir 10 tahun beliau meringkuk bersendirian di sebalik tirai besi. Beliau dibelasah, dikurung, diaibkan, dan keluarga beliau menanggung derita. Keputusan PRU14 pada malam 9 Mei 2018, sungguhpun bukan dikecapi melalui pimpinan Anwar, tetap sebagai hasil yang dituai daripada gerakan Reformasi yang tercetus lantaran pengorbanan dan kepimpinan Anwar Ibrahim.
Ironinya, seorang “bekas diktator” yang telah melakukan kerosakan terhadap sistem demokrasi dan institusi negara untuk 22 tahun sepanjang beliau memegang tampuk kuasa sebagai PM, kini dinobatkan sebagai ikon reformasi. Bukan untuk menafikan sumbangan Mahathir dalam PRU14, tetapi apa yang dilakukan oleh Mahathir sekadar “memperbetulkan kesalahan” yang dilakukannya sebelum ini. Kedudukannya dalam sejarah harus diletakkan pada tempat yang betul, tidak lebih dan tidak kurang. Masalah sekarang adalah beliau dilambung dengan pujian yang terlalu tinggi, menutup segala kebobrokan yang dilakukannya dalam tempoh 22 tahun.
Anwar kelihatan gagal menyesuaikan diri dalam senario politik yang baru ini. Beliau tercari-cari kedudukannya tetapi tidak kena pada tempatnya. Keresahan ini mudah dibaca. Dari segi sejarah, jikalau Mahathir diperingati sebagai “bapa reformasi”, apakah gelaran untuk Anwar kelak? Apatah lagi, dalam politik yang sarat dengan pelbagai kemungkinan, apakah kuasa akan diserahkan kepada Anwar selepas dua tahun?
Hakikatnya, kelebihan sentiasa memihak kepada mereka yang memegang kuasa. Dengan kuasa sebagai PM, Mahathir boleh melantik menteri kabinetnya, lantas menentukan jatuh naik puak-puak yang tertentu dalam parti Anwar. Ia akan menambah tekanan kepada Anwar ketika mengimbangi fraksi-fraksi dalaman PKR, yang sudah terkenal dengan pergelutan kuasa yang meruncing. Dengan kedudukan sebagai PM, Mahathir boleh memastikan parti komponen seperti DAP dan Amanah, beransur-ansur berkiblatkan kepimpinannya. Tiada mekanisme untuk menentukan bagaimana kuasa perdana menteri diwarisi. Maka ia akan berakhir dengan tikam-menikam, di depan mahupun di belakang tabir.
Senario terkini meletakkan Anwar dalam keadaan serba salah. Dalam perhubungan saling bersaing ini, langkah proaktif Anwar akan dibaca sebagai “tidak sabar untuk mencabar Mahathir”, tetapi seandainya Anwar tidak berwaspada dengan langkah Mahathir, atau memalapkan sinaran dirinya, beliau mungkin disabotaj, mengulangi sejarah terlepas peluang untuk mengambil-alih kuasa sebagai perdana menteri.
Realiti ini agak pahit untuk Anwar. Manusia mudah memaafkan insan yang memperbetulkan kesilapan terdahulunya (tidak kira betapa besar dosanya); tetapi senang menghukum insan yang melakukan kesilapan di hujung usianya sungguhpun insan tersebut mungkin berbudi dan berjasa sepanjang hayatnya. Anwar perlu berhati-hati untuk mengatur langkah politiknya agar tidak dilihat sebagai batu penghalang kepada “reformasi” yang ingin dilaksanakan Mahathir. Anwar kini umpama terperangkap dalam lumpur, semakin kuat dia melonjakkan dirinya ke atas, semakin tenggelamnya ke bawah.
Anwar perlu memijak kepada sesuatu, yang tidak lain tidak bukan, partinya PKR. Ada yang berpandangan bahawa PKR sebenarnya tidak berkembang dalam suasana yang sihat sejak penubuhannya pada 4 April 1999. Anwar sebagai pemimpin tertinggi dipenjarakan, pergelutan kuasa fraksi dalaman yang ketara, organisasi akar umbi yang lemah dan sebagainya, menyebabkan parti ini dilihat rapuh sungguhpun menawan paling banyak kerusi berbanding rakan komponennya dalam Pakatan Harapan. Anwar akan gagal untuk memimpin PH seandainya beliau gagal memimpin PKR.
Ini era baru di mana PH bukan lagi pembangkang. Anwar dan PKR tidak lagi memiliki kelebihan untuk memainkan peranan “menyatukan parti komponen”. Kuasa dan kepentingan yang akan menyatukan gandingan parti politik.
Malah saya terbaca seruan agar Anwar menumpukan masanya untuk memperkukuhkan PKR dalam tempoh ini. Apakah jiwa, matlamat dan falsafah perjuangan parti ini? Bagaimana mekanismenya dibina untuk menguruskan pergelutan fraksi, supaya persaingan kuasa dalaman menjadikan kedua-dua pihak lebih matang dan cekap?
Mahathir tidak sempat melengkapkan falsafah politiknya, beliau sedang meleraikan Mahathirisme yang diasaskan Mahathir 1.0. “Reformasi” yang sempat dilaksanakan Mahathir sekarang adalah agenda yang dibincangkan “pembangkang” sebelum ini, sebagai reaksi kepada pemerintahan Umno-BN – tanpa disokong hujah dan falsafah yang mendalam.
Namun Anwar Ibrahim memiliki syarat untuk melengkapkan Anwarisme-nya demi Malaysia 2.0, lebih-lebih lagi selepas Umno semakin hilang di bumi ini. Anwar harus yakin bahawa dirinya telah menempah kedudukan moral yang tinggi sebagai negarawan yang berkorban untuk pendemokrasian Malaysia. Kedudukan Anwar boleh dilonjakkan lebih tinggi seandainya Anwar meninggalkan falsafah politik “Anwarisme” untuk generasi Malaysia akan datang.
LIM HONG SIANG
bekas editor Merdeka Review
1 comment:
Tulisan ini utk mengalih pandangan spy tdk berlaku peralihan kuasa kpd anwar. Memang DAP berharap Anwar dlm penjara spy next man in power ikut seniority ialah LKS selepas PAS bersendirian. Selain Anwar, Wan Azizah kurang mampu menyaingi LKS. Azmin masih mentah lg. Saingan LKS ialah TGHH dan Anwar Ibrahim. DAP memang suka Mahathir atas faktor usia, yg dikira usia yg cupus.
Tambahan skrg apa2 tindakan DAP, tiada bantahan dr Mahathir.
Post a Comment