VIENNA: Kerajaan berhaluan kanan Austria merancang menutup tujuh masjid dan mengusir sehingga 40 imam dalam apa yang dikatakan tindakan 'permulaan' menolak ideologi pelampau Islam dan kumpulan agama dibiayai pihak asing.
Kerajaan pakatan, sekutu konservatif dan nasionalis, berkuasa tidak lama selepas krisis pendatang di Eropah dengan janji menghalang satu lagi kemasukan dan menyekat manfaat pendatang serta pelarian baharu.
Ketika memegang jawatan terdahulu sebagai Menteri Bertanggungjawab Terhadap Integrasi, Canselor Sebastian Kurz meneliti kelulusan tegas 'Undang-undang berkaitan Islam' pada 2015.
CANSELOR Sebastian Kurz. - Foto Reuters
Undang-undang itu melarang pembiayaan asing kepada kumpulan agama dan mewujudkan tanggungjawab buat masyarakat Islam supaya memiliki 'pandangan asas positif terhadap Austria dan penduduknya.'
"Masyarakat selari Islam dari segi politik dan kecenderungan radikal tiada tempat dalam negara kami," kata Kurz dalam sidang media menggariskan keputusan kerajaan berdasarkan undang-undang itu.
Austria, negara dengan 8.8 juta penduduk, memiliki 600,000 penduduk Islam, kebanyakannya dari Turki atau keluarga berasal dari negara itu.
Kerajaan dalam satu kenyataan berkata, satu komuniti yang menguruskan sebuah masjid di ibu kota ini, dipengaruhi 'Grey Wolves,' kumpulan nasionalis belia Turki, akan ditutup kerana beroperasi secara haram.
Tambahnya, sebuah kumpulan Arab Islam yang menguruskan sekurang-kurangnya enam masjid, juga akan ditutup.
"Ini hanya satu permulaan," kata Naib Canselor nasionalis, Heinz-Christian Strache dalam sidang media diadakan empat anggota kabinet.
Menteri itu berkata, sehingga 60 imam milik ATIB, kumpulan Islam rapat dengan kerajaan Turki, akan diusir dari negara itu atau dinafikan visa atas alasan menerima bantuan dana asing. - Reuters
Masjid ditutup
No comments:
Post a Comment