Tuesday, June 12, 2018

Beri PH Ruang, Masa Tunaikan Janji – Wan Azizah


KUALA LUMPUR – “Beri kami ruang dan masa untuk tunaikan janji,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengenai pelaksanaan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) selepas berjaya membentuk kerajaan susulan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).


Menyedari PH kini ‘diserang’ pembangkang yang menuntut janji-janji PRU14 dilaksanakan segera, Dr. Wan Azizah berkata kerajaan sedang berusaha melunaskan segala janji.
Katanya PH baru sebulan mengambil alih pentadbiran negara, dan masih mempunyai masa terutama dalam menunaikan 10 inisiatif yang dijanji dilaksanakan dalam 100 hari pemerintahan.
“Kita perlukan pembangkang yang baik untuk semak dan imbang, tetapi ini baru 30 hari, ada 70 hari lagi.
“Jadi kita ada sedikit ruang…ada 70 hari lagi, sabar dan tunggu. Insya-Allah kita akan tunaikan sedaya upaya yang kita boleh,” katanya dalam temu bual denganBernama.
Bagaimanapun, Dr. Wan Azizah berkata beberapa inisiatif telah mula dilaksanakan seperti kadar sifar peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang kemudiannya akan dimansuhkan pada sesi pertama sidang Dewan Rakyat tahun ini.
“Harga petrol RON95 stabil dan tidak diapungkan, jadi lain-lain kita usahakan supaya pengauditan dilakukan dan bagaimana kita mengurus kerajaan itu telah berjalan dan boleh dilihat,” katanya.
Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya juga sedang berusaha merealisasikan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah.
“Cuma pada masa ini, ada kekangan sedikit kerana Seksyen 51 Peraturan KWSP, tidak memberikan ruang pengambilan dua peratus daripada 11 peratus caruman suami kepada isteri yang tidak bekerja. Ini kita cuba mengatasinya,” katanya.
Jelas beliau, PH membuat janji-janji berdasarkan anggaran maklumat yang diperoleh sebelum memenangi PRU14 pada 9 Mei lepas.
Namun, katanya, setelah mengambil alih Putrajaya, barulah mereka menyedari situasi sebenar kewangan dan kelompongan tadbir urus kerajaan sebelum ini.
Antara 10 janji 100 hari PH yang lain termasuk mengembalikan semula subsidi minyak secara bersasar; menangguhkan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi individu berpendapatan bawah RM4,000; menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda dan menyamaratakan gaji minimum. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment