Tuesday, June 05, 2018

Dr M Lantik Menteri Tanpa Restu PKR -Rafizi



Susulan pembentukan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), tokoh gabungan itu, Rafizi Ramli, tanpa disangka-sangka mendapat maklum balas ramai pihak berikutan dakwaannya bahawa pelantikan pemimpin tertinggi BERSATU, DAP dan AMANAH sebagai menteri kanan dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa rundingan dengan PKR.

Hari ini, Rafizi mempertahankan tindakannya itu, berkata peranannya untuk memastikan pihak eksekutif mesti menggunakan prinsip sama yang diterima pakai oleh Majlis Presiden HARAPAN dalam pembuatan keputusan, lapor wawancaranya dengan BFM.

Beliau berkata kesemua empat parti itu ialah rakan kongsi yang sama tarafnya dalam kerajaan sebagaimana juga kedudukan mereka dalam Majlis Presiden HARAPAN dan oleh itu peraturan pembuatan keputusan berdasarkan persetujuan bersama dan memastikan keterlibatan semua pihak mesti dikenakan.

"Kita perlu memastikan asas dan prinsip kita dapat dilaksanakan sejak dari awal lagi. HARAPAN dibina sejak tahun 1998 (berdasarkan) satu konsensus, perjanjian dan keterangkuman.

"AMANAH jauh lebih lemah dulu, berbanding PKR atau DAP ketika kami memulakan HARAPAN, tetapi kami memberi AMANAH kedudukan dan taraf yang sama dalam pembuatan keputusan.

"Oleh itu, sesiapa yang mengetuai kerajaan HARAPAN mesti membenarkan sikap inklusif dan rundingan dalam membuat keputusan. Penting untuk mengingatkan hal itu sejak dari mula lagi," katanya.

Dua hari selepas pilihan raya pada 9 Mei lalu, timbul ketegangan mengenai pelantikan kabinet awal kerana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang masih dalam penjara ketika itu, tidak boleh menyertai mesyuarat berkenaan.

Akhirnya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pantas membentuk kabinet sebelum 14 Mei, mengumumkan empat menteri kabinet pertamanya itu yang dilaporkan tanpa mendapat restu PKR itu.

Rafizi kemudiannya mengkritik hal ini yang mencetuskan kecaman dari netizen yang menuntut beliau membenarkan Mahathir menjalankan tugasnya tanpa gangguan. Ahli Parlimen Subang Wong Chen yang selepas itu mempertahankan Rafizi, telah mendapat kira-kira 10,000 komen pada laman Facebooknya, yang kebanyakannya kritikal.

Dalam wawancara BFM itu, Rafizi mencadangkan golongan kelas menengah bandar kelihatan sedang dalam suasana kegembiraan melampau yang hadir tiba-tiba dan menjadi penyokong setia "seratus peratus" kepada HARAPAN, sehinggakan tidak boleh menerima sebarang percubaan untuk mengkritik kepimpinan gabungan itu.

Kesetiaan kelas menengah Malaysia


"Masalah dengan rakyat Malaysia golongan kelas menengah umumnya adalah kamu cenderung memberikan kesetiaan seratus peratus dan kesetiaan terhadap apa yang kamu mahu percaya.

"Hanya kerana golongan kelas menengah Malaysia memberikan sokongannya kepada kerajaan HARAPAN, tidak bermakna kami tidak boleh mempersoalkan hal itu dan tidak mempunyai perbezaan pendapat," katanya.

Rafizi berkata agak mudah untuk mengkritik pendapat pihak lawan, tetapi sukar untuk menyediakan semak dan imbang.

Kelas pertengahan, kata Rafizi, menjadi golongan yang paling sukar untuk diyakinkan kerana sikap meninggi diri terhadap mereka yang berada di luar zon selesa mereka.

"Hanya kerana kamu tinggal di Bandar Utama atau Taman Tun. Kamu fikir orang di luar lingkaran keselesaan kamu tidak bijak seperti kamu.

"Selama dua atau tiga tahun yang lalu, saya sering meyakinkan kelas menengah Malaysia bahawa para pengundi di luar kelompok bandar mereka sebenarnya tahu apa yang perlu dilakukan untuk negara ini.

"Pada masa lalu, kelas menengah Malaysia juga yang selalu mengatakan'kita tidak boleh mengubah kerajaan', 'rakyat Malaysia terlalu bodoh', 'orang Melayu tidak peduli terhadap rasuah', 'orang Melayu boleh dibeli dengan RM100' .. .

"Sebetulnya, kelas menengah Malaysia yang merasakan (HARAPAN) tidak mempunyai rancangan untuk mengambil alih kerajaan kerana BN akan melakukan berbagai perkara secara tidak demokratik.(Soalan) Bagaimana dengan rampasan kuasa, bagaimana dengan MKN (Majlis Keselamatan Negara)," katanya.

Beliau berkata pentadbiran HARAPAN perlu berhati-hati bagi mengelakkan ketidakpuasan hati orang Melayu yang masih belum merasa yakin dengan persekitaran baru jika kadar pembaharuan terlalu cepat itu dan akan menggusarkan mereka.

"Sekiranya terdapat satu ancaman besar terhadap pembaharuan yang kita cuba lakukan ini adalah kita terlalu tidak sensitif terhadap rasa tidak terjamin Melayu dan kegusaran Melayu.

"Bahawa kita boleh mengasingkan orang Melayu di luar zon selesa kelas menengah di kawasan bandar. Itu boleh mendorong (sokongan) mereka ke arah Umno dan PAS," katanya.

Beliau berkata trend penduduk Malaysia menunjukkan populasi Melayu akan terus berkembang sebagai blok mengundi terbesar.

"Sekiranya kamu tidak cukup berhati-hati, kamu akan membuat kumpulan pengundian terbesar di Malaysia merasakan mereka diketepikan dan merasa terancam, maka kamu boleh menjangkakan keadaan yang lebih buruk.

"Selepas PRU14 lalu, tiada lagi perkara seperti cara tertentu bagaimana corak pengundian sesuatu kumpulan. Mereka boleh mengubah sokongan berdasarkan apa yang mereka fikir baik bagi mereka," katanya.
MINDARAKYAT

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails