Friday, June 08, 2018

Israel, Palestin Berbalah Kerana Messi



SUKAN
BAITULMAQDIS: Persatuan bola sepak Israel dan Palestin saling tuduh menuduh berikutan pembatalan perlawanan pemanas badan Piala Dunia antara negara Yahudi itu dengan Argentina di Baitulmaqdis.
Israel menuduh Palestin sebagai 'menakutkan bola sepak' apabila menyatakan ancaman mereka menyebabkan bintang Barcelona, Lionel Messi dan pasukannya membatalkan perlawanan persahabatan terakhir mereka sebelum Piala Dunia.
Palestin sebaliknya menafikan dakwaan itu apabila menegaskan Argentina menarik diri daripada perlawanan itu kerana menyedari Israel menggunakan kehadiran mereka untuk kepentingan politik.
Perlawanan itu dibatalkan semalam selepas kempen dilakukan Palestin susulan pertukaran perlawanan itu ke Baitulmaqdis.
"Kami berdepan ketakutan bola sepak daripada Persatuan Bolasepak Palestin dan presidennya (Jibril Rajoub)," kata Rotem Kamer dari Persatuan Bolasepak Israel.
Beliau menuduh mereka mengugut pemain dan keluarga mereka, tanpa menunjukkan sebarang bukti.
"Kami melihat tindakan itu sebagai melampau dan tidak boleh diterima," kata Kamer, menambah aduan rasmi akan dihantar kepada badan induk bola sepak dunia, FIFA.
Rajoub kemudiannya berterima kasih kepada Argentina atas pembatalan itu dan berharap mereka akan menjuarai Piala Dunia.
"Apa yang berlaku semalam adalah kad merah daripada semua kepada Israel supaya mereka faham mereka hanya berhak menganjurkan atau bermain bola sepak dalam sempadan yang ditetapkan pihak antarabangsa,' katanya.
Perlawanan di Baitulmaqdis ditentang keras penduduk Palestin yang menduduki bahagian timur bandar itu, namun kemudian dihalau Israel untuk menjadikannya ibu negara mereka yang baru.
Perlawanan itu pada mulanya dijadualkan di Haifa namun dipindahkan susulan tekanan Menteri Sukan Israel, Miri Regev. - AFP

No comments:

Post a Comment