ANEH… Lebih sebulan Ahmad Faizal Azumu angkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang ke-12 pada 12 Mei lalu, namun isu kesahihan ijazah ADUN Chenderiang ini terus diperkatakan netizen.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak itu sebelum ini pernah mendakwa konon hanya berserah kepada rakyat bagi menilai status sebenar Ijazah Kajian Perniagaan di Edith Cowan University, Perth, Australia yang dimilikinya.
Kenyataan agak berdolak-dalik itu mencetuskan persoalan cepumas mengenai kejujuran bos Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak tersebut untuk jawab terus isu secara profesional dan bukan beri jawapan yang tergantung.
Apalah salah mengakui sekadar alumni Sekolah Menengah Anderson di Ipoh sebagai mana bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah tidak malu statusnya cuma lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Lagipun ia bukanlah satu bentuk penghinaan terhadap dirinya malah boleh dianggap kejayaan besar sekali gus bukti pelajar lulusan SPM pun mampu menjadi menteri besar menewaskan ramai calon lain yang ada ijazah berjela-jela.
Hakikatnya sehingga sekarang Ahmad Faizal, 48, sengaja memilih untuk membiarkan isu ijazah dirinya berlalu begitu sahaja dengan harapan agar rakyat jelata khasnya penyokong tegar PH melupakan kes kontroversi tersebut.
Demi memelihara imej bersih, profesional dan berintegriti PH negeri Perak, sewajarnya bekas pegawai khas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ini perlu mengesahkan kelulusan akademiknya itu secara telus.
Isu ijazah mantan panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas ini mula dibangkitkan seorang penulis laman blog Anak Perak di Perantauan, Ahmad Jamali Sepihie sebelum tular dalam kalangan pengguna media sosial negeri tersebut.
Ia menarik perhatian apabila ramai kalangan mereka yang mengenali beliau secara dekat sejak sekian lama turut persoal kesahihan ijazah itu setelah agensi berita rasmiBernama melaporkan kelulusan akademik Ahmad Faizal.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, PH menang majoriti tipis dengan dapat 29 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak manakala Barisan Nasional (BN) sekadar 27 kerusi dan PAS pula hanya tiga kerusi.
Keputusan itu menyaksikan tiada mana-mana parti raih majoriti mudah 30 kerusi untuk bentuk kerajaan negeri, namun kemelut berakhir selepas dua ADUN BN khianat menyertai PH. – Agensi/Mynewshub.tv/HAA
No comments:
Post a Comment