Wednesday, June 13, 2018

Kambing Berperaturan. Mana Yang Tak Ikut Antara 2 Di Bawah?

Kambing


“KAMBING ini dilatih setiap hari, sebab itu mereka faham apabila saya arah masuk ke dalam van selepas meragut rumput di kawasan lapang,” kata Md. Amin Rahim, penternak di Kampung Petagas.

Gelagat lebih 40 ekor kambing beratur masuk ke dalam sebuah van sebelum dibawa pulang oleh tuannya menarik perhatian orang ramai terutama pelancong yang berada di kawasan lapang di depan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sehingga rakaman video berkenaan tular di laman sosial baru-baru ini.
Md Amin, 63, berkata, setiap hari dia akan membawa kambingnya itu ke lokasi yang terletak tidak jauh dari rumahnya menaiki van bermula jam 3 petang sehingga 6 petang.
“Ini rutin harian saya sejak 2016 selepas kambing itu mula membiak sehingga mencecah lebih 40 ekor.
“Disebabkan kawasan halaman rumah tidak ada ruang yang luas, saya bawa semua kambing ini menggunakan van ke kawasan lapang yang ada rumput, sama ada di sini atau Tanjung Aru untuk diberi makan.
“Semua kambing saya biasanya ikut arahan, kalau disebut perkataan ‘naik’ sambil saya halau, mereka akan mula beratur masuk satu demi satu ke dalam van untuk pulang,” katanya yang pernah bekerja sebagai pemandu teksi.
Menceritakan semula bagaimana dia mula menternak kambing itu, Md Amin berkata ia bermula dengan lima ekor kambing yang dibelinya dari sebuah kampung di Beaufort pada 2012.
“Biasanya saya cuma ambil makanan untuk semua kambing ini tetapi sejak makin banyak membiak, saya sudah tidak mampu dan terpaksa beli sebuah van untuk angkut semua kambing ini diberi makan di kawasan lapang,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan kambingnya itu semakin banyak, dia terpaksa mengurangkan jumlah kambing yang diternaknya kerana tiada siapa yang dapat membantu menguruskannya.
“Saya terpaksa menjualnya kepada orang ramai terutamanya untuk tujuan kenduri atau majlis aqiqah supaya jumlahnya dapat dikurangkan.
“Biasanya permintaan meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha untuk dijadikan korban dan setakat ini saya sudah jual lebih 10 ekor dan tiga lagi sudah ditempah.
“Hasil jualan kambing ini juga saya gunakan untuk perbelanjaan harian keluarga dan kos menternak haiwan ini selain digunakan untuk membeli van terbabit,” katanya.
Walaupun begitu katanya, dia masih lagi menjaga semua kambing itu kerana berasa seronok walaupun terpaksa bekerja keras terutamanya ketika mahu mendapatkan makanan untuk ternakannya itu.
“Kalau hujan, saya terpaksa meredah hujan bagi mendapatkan bekalan rumput segar untuk diberi makan kepada ternakan.
“Disebabkan rasa tanggungjawab dan tidak mahu haiwan ternakan lapar, saya tidak kisah kalau terpaksa meredah hujan untuk mendapatkan rumput,” katanya. – BH ONLINE
Hasil carian imej untuk najib & Mahathi
Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Mana  yang tak ikut peraturan antara 2 kumpulan yang bertarung dalam  kes 1MDB kini? Belum ada keputusan resmi, walaupun satunya seolah-olah terhukum. 
Oh kambing, bertuahlah nasibmu, kalau begini??


1 comment:

  1. kamping tu dengau kata tuannya...manusia banyak yang degil..macam-macam hal dia buat..itu ,ini ,begitu,begini..he he..mbekkk..

    ReplyDelete