Thursday, June 28, 2018

Kekalkan Subsidi Dan Bantuan Petani, Nelayan -Ir Hj Khairil Nizam.



SEKTOR pertanian, asas tani dan perikanan negara perlu diperkukuhkan kembali ke arah jaminan keselamatan makanan dan pertumbuhan ekonomi, sekali gus mengurangkan pergantungan import makanan. Maka, pemerkasaan sektor tersebut memerlukan dukungan komprehensif dari semua tenaga terlibat.
Kerajaan terutamanya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, perlu menggerakkan agenda yang meneguh agar sektor tersebut berada di kedudukan terbaik; sejajar keperluan semasa dan latar belakang sedia ada negara ini. Tidak lagi membiarkan sektor ini berada pada stigma "Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang".
Selain memperkasakannya dengan kebaharuan teknologi dan keluasan pasaran yang menguntungkan, kerajaan juga perlu menangani pihak-pihak terlibat dalam sektor ini. Terutama golongan petani dan nelayan selaku 'pemain utama' yang sekian lama diabai dan dimangsakan oleh pelbagai pihak dan kepentingan.
Tidak sekadar mengekang golongan Kapitalis yang sering memonopoli dan mengaut kekayaan, sebaliknya kesantunan terhadap para petani dan nelayan wajar dilakukan. Atas penghargaan atas kegigihan membanting tulang empat kerat dan mencurah keringat mereka, subsidi dan bantuan kepada mereka tidak harus dihentikan.
Bahkan, kerajaan pada ketika ini sewajarnya menimbangkan inisiatif yang akan memberdayakan lagi golongan ini supaya kekal dan maju. Ia juga agar menjadi suntikan buat para petani dan nelayan untuk 'istiqamah berjuang' di sebalik pelbagai cabaran serta ketidaktentuan melanda 'sektor tawakal' ini.
Tindakan menghentikan subsidi dan bantuan sedia ada hanya menambahkan beban golongan yang sememangnya berpendapatan rendah ini, bahkan boleh menjadi satu kezaliman. Ia turut akan membantutkan aktiviti sektor ini sekali gus merencatkan sumbangannya kepada ekonomi serta memenuhi keperluan asasi negara.
Selaras Dasar Pandang Ke Timur oleh peneraju tertinggi kerajaan dengan menjadikan Jepun sebagai contoh, maka sewajarnya pembangunan pertanian di negara Matahari Terbit itu juga diambil. Tidak semata-mata kejayaan industri teknologi tingginya, sebaliknya pertanian unggul Jepun boleh diterapkan di negara ini.
"Sejahtera Bersama Islam"

"Mara Menuju Cita"

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 27/6/201


2 comments:

Anonymous said...

setakat buat karangan je lah..

Anonymous said...

Apa itu.....kebaharuan teknologi...?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails