Wednesday, June 13, 2018

Menyedihkan, Sambut Aidilfitri Di Khemah Sabah.



DI saat umat Islam bergembira mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri, puluhan keluarga di Sabah harungi detik pahit apabila hanya khemah sahaja menjadi tempat pilihan beraya pada tahun ini.

Lapor Harian Metro, lebih 50 keluarga di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, dekat Tawau, cekal menghadapi ibadah puasa yang hanya berbaki beberapa hari sahaja sebelum menjelang syawal walaupun banyak cabaran yang ditempuh termasuk keselesaan tempat tinggal dan keadaan cuaca.
Namun, keadaan tersebut telah lali bagi mereka dan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun diakui serba kekurangan.
Mereka hanya mendiami khemah yang disediakan pihak berkuasa susulan kejadian kebakaran yang berlaku 1 Julai tahun lalu yang memusnahkan kediaman mereka.
Sehingga kini, mereka masih menunggu bantuan dari kerajaan dan berharap tawaran kediaman menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada mereka dapat dilaksanakan.
Sebahagian besar hidup dalam keadaan susah umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan tidak mampu membina semula rumah atau menyewa.
Seorang penduduk Jausi Mohamad, 49, yang tinggal bersama suami dan lima anak di khemah itu berkata, mereka tidak dapat melupakan saat ini dalam hidup mereka kerana pertama kali mengharungi Ramadan dan bakal menyambut raya dalam sebuah khemah.
“Tiada juadah istimewa ketika berbuka puasa atau bersahur. Saya hanya sediakan makanan apa yang kami mampu dan syukur anak-anak juga tidak cerewet kerana mereka tahu dan faham keadaan sekarang tidak sama seperti sebelum ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ahirah Amirul, 33, memberitahu bahawa kehidupan yang sedia ada buat mereka mengajar diri erti reda dan bersukur dengan nikmat yang diberi walaupun adakalanya sedikit tertekan tinggal di dalam khemah yang sempit dan tidak selesa.

AHIRAH AMIRUL, MENYEDIAKAN JUADAH BERBUKA PUASA DI DALAM KHEMAH PENEMPATAN SEMENTARA MANGSA KEBAKARAN KAMPUNG HIDAYAT BATU 4, JALAN APAS, TAWAU.

Suaminya yang bekerja sebagai buruh binaan tidak mampu membeli peralatan dan barang-barang persiapan menjelang Aidilfitri ini.
“Saya sedih apabila setiap kali empat anak yang masih bersekolah kerap bertanyakan baju baharu untuk dipakai sempena Hari Raya yang bakal tiba.
“Mereka bagaimanapun akur dengan keadaan ketika ini selepas suami memujuk mereka supaya lebih fokus pada pelajaran,” rintihnya.
Berikutan itu, Penyelaras Persatuan Kebajikan Anak Leluhur Negeri Sabah, (PERKALAS), Kahar Hussien berharap bantuan barangan keperluan harian selain juadah berbuka dapat disalurkan meringankan sedikit beban mereka sepanjang Ramadan ini.
“Sebelum ini, hampir setiap bulan kami (PERKALAS) sebagai sebuah organisasi sukarelawan kerap melawat dan menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran berkenaan.
“Kita juga berharap pihak berkaitan terutama kerajaan dapat bertindak segera dan membela nasib mereka dengan menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa,”katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran terbabit.
Terdahulu, kejadian kebakaran yang berlaku melibatkan seramai 1,500 orang menyebabkan penduduk di Kampung Hidayat tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah.
Kehidupan puluhan keluarga di Sabah ini mengajar kita mengenal erti bersyukur dalam nikmat dan rezeki yang diberikan kepada kita.  MYNEWSHUB.CC/MIZE

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails