Friday, June 15, 2018

Negara Muslim Tanpa Islam? -Presiden, DPIM.



Saya mula menulis artikel ini dalam penerbangan pulang ke tanah air setelah 16 hari berada di New Zealand. Saya berkesempatan bukan sahaja melawat ibu negara Auckland, berceramah dan bertemu komuniti Islam di sana, malah juga berkereta ke sebahagian pulau utara, iaitu ke Rotorua dan Semenanjung Coromandel, diikuti ke timur utara, melancong ke Paihia dan Bay of Islands. 

Ini adalah lawatan kelima saya dan setiap kali ke New Zealand, tidak dapat mengelak daripada membandingkan kehidupan di sana, iaitu sebuah negara kecil berlandaskan tamadun Barat, dengan negara Islam lebih besar seperti Arab Saudi dan Mesir, (yang secara kebetulan baru juga lepas saya lawati), mahu pun dengan kehidupan di tanah air sendiri.

Negara Islam tanpa Muslim!

Bagi saya, paling mengagumkan ialah kesungguhan dan kegigihan warga New Zealand menjaga kebersihan dan memelihara keindahan seluruh negara pulau ini. Kejayaan hebat mereka secara langsung menjadi identiti New Zeaaland, menzahirkan kemakmuran dan kesejahteraan hidup berlandaskan tamadun Barat.

Pasti ramai berpendapat iklim dan keindahan alam semula jadi faktor utama membuatkan New Zealand indah permai. Namun, perhatikan keadaan di beberapa negara berlandaskan tamadun Islam.

Sekalipun tidak kurang dengan keunikan dan keindahan alam semula jadi pantai, sungai, hutan dan padang pasir, bukit dan gunung, malangnya kebanyakannya tidak dijaga dan dipelihara. 

Hal ini berlaku di Mesir, termasuk di sekitar kesergaman ciptaan sejarah manusia seperti Piramid. Namun ingatan saya dalam melawat ke Piramid dicemari kenangan bau busuk najis kuda dan unta, selain debu pasir dan sampah sarap merata mencemar indera. Bukan sahaja di Mesir, malah dapat dilihat di tanah air.

Ia merosakkan keindahan dan keunikan pembangunan di Malaysia, seperti Cameron Highlands dan Bukit Fraser. Demikian juga kita saksikan di negara Islam kaya seperti di Arab Saudi dan lainnya.

Kebanyakan keindahan semula jadi dan tempat bersejarah terbiar, kotor, dan jika dibangunkan, dengan kaedah mencemar pandangan, tidak teratur dan rendah nilai kecantikan estetika.

Jika semua ini berlaku di dunia Islam, sesungguhnya ia satu tragedi besar sejarah dan satu “penderhakaan” terhadap falsafah hidup sebagai Muslim. Kerana umat Islam adalah umat sepatutnya lebih sedar dan peka terhadap peranan mereka sebagai khalifah melindungi alam semesta kejadian Tuhan.

Sekitaran hidup umat rata-rata kotor dan banyak yang jijik lagi tercemar setelah dirosakkan “perbuatan tangan manusia” tanpa batasan dan kepedulian. Sebahagian kerosakan berlaku berpunca kemiskinan melata berpanjangan tanpa pembelaan; sementara kepimpinan umat pula dirasuk pembolotan dan penyalahgunaan kuasa melampau mengutamakan kepentingan sempit dan serong peribadi  hingga abaikan amanah  khalifah kepemimpinan.

Semua ini buat saya teringat kenyataan seorang ulama besar Islam pada akhir abad ke-19, Muhammad Abduh, yang sangat tajam dan mendesak umat Islam perbaharui kehidupan.

Sekembali daripada melawat Eropah Muhammad Abduh pernah menyatakan: “Aku pergi ke Barat dan melihat Islam, tetapi tidak berjumpa Muslim; aku pulang ke Timur berjumpa ramai Muslim, tetapi tidak melihat Islam.” Perasaan sama seperti ini tersentuh di hati sanubari dan menusuk ke minda saya seluruh perjalanan di New Zealand.

Budaya bersih, kehidupan jernih

Hari ini ramai Muslim cepat mengkritik dan mencemuh Barat; ada yang langsung menuduh menyalahkan Barat atas segala kelemahan umat Islam. Memang Barat banyak melakukan dosa dalam sejarah manusia, dan menerusi dominasinya terhadap umat bukan Barat, banyak melakukan penganiayaan dan kezaliman.

Namun bukan tangan Barat sahaja  merosakkan dunia, kerana tangan pemimpin Islam juga banyak mencemarkan kehidupan umat Islam sendiri. Perhatikan sahaja kekejaman pemerintahan Arab pra-revolusi 2011 di bawah rejim Zainalabidin Ali di Tunisia, Hosni Mubarak di Mesir dan Muammar Gaddafi di Libya.

Perhatikan juga bagaimana negara berlandaskan tamadun Barat, sekalipun kecil seperti New Zealand, bebas daripada kerosakan dan pencemaran kehidupan bermasyarakat, juga sangat bersih dan penduduknya sangat prihatin tentang kebersihan.

Semua bandar kecil dan besar di New Zealand; sepanjang lebuh raya, jalan, juga lorong; sampai ke seluruh pelosok desa, pantai, sungai, pulau, bukit dan gunung; semuanya terjaga bersih dan indah dilihat.

Bandingkan keadaan ini dengan negara Islam di mana-mana. Gambaran sebaliknya akan kita dapati, sekalipun kebersihan satu anjuran asasi Islam yang juga nikmat hidup yang sewajarnya dimanfaatkan dan dibudayakan sebelum kita boleh menjernih dan memurnikan kehidupan sebagai umat terbaik atau “khaira ummah”.

Paling menarik perhatian, saya perhatikan di New Zealand tidak ramai pekerja pembersihan  penguasa tempatan berbanding Malaysia. Sekalipun sampah-sarap di rumah rata-rata dipungut seminggu sekali, sekitaran masih terjaga bersih.

Kerja pembersihan berimpak besar turut dilakukan pasukan pembersih sukarela awam, termasuk kanak-kanak, yang bekerja terus menerus membersih dengan serius, dedikasi dan dengan cara tersusun dan berorganisasi.

Ia juga dijadikan tanggungjawab peribadi amalan setiap penduduk, dilengkapi undang-undang dan peraturan yang tegas dikuatkuasakan.  Jelas sekali, penjagaan kebersihan berkesan dan berjaya diintegrasi setelah dibudayakan masyarakat New Zealand.

Paling ketara, tandas awam hampir semuanya sangat bersih, sehingga seolah-olah dapat dirasai kebersihannya. Malangnya ini jarang sekali didapati di negara Islam. Setiap kali kita gunakan air dari sumber kemudahan awam di New Zealand, terutama untuk berwuduk atau bersuci, kita pasti merasa lebih yakin kebersihannya berbanding keadaan di majoriti negara Islam.

Keselesaan dan keselamatan kehidupan di New Zealand juga nyata lebih terjamin. Pasti terdapat insiden jenayah pecah rumah, rompakan, dan lainnya; namun tidak sampai tahap membimbangkan dan mengancam kehidupan masyarakat. Antara buktinya: Tingkap dan pintu rumah di New Zealand banyak menggunakan kaca, tanpa dicacatkan jaring besi keselamatan.

Tidak seperti di Malaysia di mana majoriti penduduknya terpaksa tinggal dalam rumah umpama banduan dalam penjara:  Rumah terpaksa dipagar; pintu dan tingkap dirantai dan dimangga; seluruh rumah digrill dan dikawal penggera. Itupun, penghuninya masih tidak dapat tidur lena!

Binatang dan haiwan juga terlindung dan lebih selamat di New Zealand. Saya pernah bertemu anggota pasukan penyelamat haiwan, lengkap peralatan dan kereta menyelamat, termasuk ambulan khas untuk haiwan!  Langsung teringat membaca mengenai kehidupan umat Islam di puncak kegemilangan tamadun Islam lebih lima abad dahulu.

Terdapat catatan dalam sejarah pembangunan wakaf untuk manfaat masyarakat di mana sebuah wakaf pernah ditubuhkan oleh orang kaya Islam khas untuk melindungi dan memberi makan serigala di hutan di luar kota Islam. Tujuannya ialah supaya serigala tidak perlu datang ke kota mencari makanan, mengelakkannya diancam atau dibunuh penduduk kota.

Penting pembaharuan gaya hidup

Kesimpulannya, haruskah kita biarkan negara Islam berpanjangan dicemari gaya hidup bertentangan dengan ajaran dan nilai Islam?

Dalam kesempatan pembaharuan cetusan Revolusi 2011 di dunia Arab, juga kesempatan memperbaharui kehidupan di Malaysia menjelang PRU13, sewajarnya kita manfaatkan proses demokrasi menuntut agenda pembaharuan gaya hidup menterjemah nilai tinggi Islam terhadap kebersihan dan kejernihan, kemakmuran dan kesejahteraan, menjadikannya salah satu agenda utama transformasi.

Masih belum terlewat untuk kita bertindak memperbaharui dan mentransformasi berlandaskan nilai hidup “Khalifah” anjuran Islam berteraskan prinsip kebersihan dan kesucian sebahagian daripada iman, selain amar makruf, nahi mungkar.

Pembaharuan dan pembersihan perlu dalam semua bidang kehidupan moden relevan buat abad ke-21 dan alaf baru, iaitu dalam politik dan ekonomi, sosial dan budaya serta pegangan dan gaya hidup yang diamalkan.  

Dalam konteks sistem ekonomi, yang diperlukan ialah membersih dan mensucikan amalan bisnes dan korporat daripada kerakusan dan nafsu serakah mencemar dan merosakkan. Pembaharuan dan pembersihan bisnes dan korporat wajar digerakkan berlandaskan falsafah Islam yang mengiktiraf manusia sebagai khalifah.

Kerana konsep khalifah menurut Islam mentakrif harta kekayaan sebagai amanah ALLAH  SWT untuk dimanfaatkan ke arah memakmur dan mensejahterakan kehidupan, bukan untuk diswasta dan diperibadikan hingga menjadikan manusia rakus, serakah dan nafsu-nafsi, merendahkan martabat insan.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim 

Presiden, 
Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
ali.bizjihad@yahoo.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails