KUALA LUMPUR: Dua individu dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah pintu hadapan sebuah premis hiburan terkemuka, di Bukit Bintang, di sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata susulan kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, pihaknya menemui 25 kelongsong peluru di kawasan parkir yang terletak 30 meter dari pintu masuk premis berkenaan.
Beliau berkata, tiada individu dilaporkan cedera dalam insiden itu.
"Seorang saksi memaklumkan terdengar beberapa das tembakan dari arah parkir kereta ke arah dinding pusat hiburan itu.
"Suspek dipercayai melepaskan tembakan itu ke arah pintu masuk premis berkenaan.
"Ketika kejadian, terdapat empat pekerja berada di luar pintu masuk dan bahagian penyambut tetamu premis itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya masih tidak dapat mengenal pasti jantina dan identiti suspek yang dipercayai menunggang sebuah motosikal.
"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif kejadian," katanya. (BH)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kerajaan baru PH diminta tangani dan bebaskan pusat hiburan dari maksiat..
- Perlu menilai semula peranan pusat hiburan di negara ini, kerana ianya lebih menjirus ke arah pusat maksiat dan jenayah. Pusat pembiakan spesis jahat kerosakan masyarakat, pusat pelacuran atau najis zina, pergaduahan, perjudian, minum arak, pembunuhan dan pusat pelanggaran undang-undang Islam sebagai 'agama bagi Persekutuan (perkara 3 Perlembagaan Persekutuan)..
- Membaik pulih peraturan pusat hiburan, ke arah konsep hiburan yang sebenarnya, pembangunan dan ketamadunan.
- Lihat konseb hiburan dalam Islam untuk perbandingan.
Hiburan dalam Islam.
Dalil dari Al-Quran, kitab suci dan penduan umat Islam..
Firman Allah di dalam Surah al-Jumaah ayat 11:
- Maksudnya: Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan ( yang baru tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (diatas mimbar- berkhutbah). Katakanlah (Wahai Muhammad:Pahala-balasan) yang ada disisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu, dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki
Dalil dari as-Sunnah
- Daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah saw telah masuk (menemui saya), ketika itu dua orang jariah (budak perempuan) sedang menyanyi- nyanyi (memperingati perang) Baath. Baginda (mendengar nyanyian) sambil berbaring ditempat baringku dan dipalingkan mukanya. (Tiba-tiba) masuk Abu Bakar r.a serta mengherdik saya dengan katanya serunai (mizmar) syaitan disisi nabi saw. Rasulullah saw mengadap Abu Bakar seraya berkata: Biarkan mereka menyanyi (tidak mengapa). Apabila keadaan Rasulullah saw agak selesa dan leka, aku mengisyaratkan dengan mataku kepada dua penyanyi tadi maka mereka pun berbenti menyanyi dan keluar (meninggalkan kami).(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Di zaman ini nyanyian dan hiburan, ada yang telah bercampur baur dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak, sama ada persembahannya atau seni katanya. Dari situasi itu, Jawatankuasa Syariah memutuskan sebulat suara untuk meletakkan syarat-syarat berikut untuk mengharuskan nyanyian:
- Tujuan penganjuran nyanyian untuk kebaikan
- Berpakaian sopan serta menutup aurat
- Tidak bercampur aduk lelaki perempuan sehingga menimbulkan fitnah dan merangsang kemaksiatan
- Senikata/ lirik bermutu dan tidak bercanggah dengan hukum syarak
- Tempat dan gaya persembahan yang tidak mengundang maksiat
Islam dan Hiburan
Menyingkap perkembangan semasa hari ini, kita akan melihat telah banyak teguran yang diberikan sama ada oleh para mufti, alim ulama, NGO, atau persatuan yang prihatin terhadap unsur-unsur keterlaluan dalam perkembangan industri muzik dan seni suara, terutamanya yang berkaitan dengan program hiburan realiti tanahair.
Sememangnya perkara ini adalah satu isu yang perlu diberikan perhatian. Ini adalah penting kerana perkembangan tersebut begitu menampakkan kesan dan pengaruhnya terhadap gaya hidup remaja dan belia masa kini. Secara umumnya, muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia.
Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia. Berdasarkan definisi ini dapatlah dirumuskan bahawa rekreasi dalam bentuk muzik dan seni suara ialah satu aktiviti yang menyeronokan yang boleh melapangkan fikiran, menenangkan hati dan perasaan, melupakan kesedihan, bahkan dapat menguatkan kemahuan dengan mematuhi peraturan-peraturan dan disiplin-disiplin tertentu.
Persoalan yang timbul sekarang ialah apakah pandangan Islam terhadap amalan hiburan yang diamalkan masa kini? Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia tetapi sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia itu sendiri.
Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu badani tanpa sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.
Konsep hiburan yang berunsurkan ‘leisure’ melulu semata-mata biasanya dilakukan untuk berbagai-bagai tujuan. Dalam Islam, konsep hiburan ialah untuk mencari kesejahteraan, ketenangan dan kepuasan, terlepas dari perasaan bersalah, ketegangan dan keresahan. Ia dapat dilakukan di waktu lapang, secara individu, bersama keluarga atau kawan-kawan, bahkan ketika beribadah seperti seni taranum membaca al-Quran, gubahan sajak dan syair yang membesarkan Allah dan sebagainya.
Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang bermaksud:
- “Wahai Abdullah bin Amar, “Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut.”
Selain itu, terdapat hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang mengizinkan gendang dimainkan pada majlis-majlis tertentu, sebagaiman Imam Tarmizi telah meriwayatkan daripada Aishah, katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang maksudnya:
- “Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta pukullah rebana.”
Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata-kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar yang terdiri daripada orang awam.
Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.
Perlu diteliti: lirik yang haram, penampilan penyanyi, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan manusia, majlis yang disertai dengan makanan dan minuman haram, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas, dan kesan nyanyian kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.
Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah SWT., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Jalan untuk taqarub dan mencapai keredaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia. Sekian.
Atas: UiTM Rembau terapkan hiburan unsur dakwah.
Bawah: AKURAT.CO, Girl group rookie GFriend .
No comments:
Post a Comment