Sunday, June 17, 2018

Tunjuk Perasaan Pelarian Rohingya Hari Pertama Aidilfitri.


KEM pelarian Rohingya meraikan hari kebesaran dengan tunjuk perasaan secara aman bagi menuntut keadilan. - Foto AFP


COX BAZAR : Ketika umat Islam seluruh dunia menyambut Aidilfitri dengan pelbagai juadah enak dan hadiah menarik, penghuni di kem pelarian Rohingya di sini meraikan hari kebesaran itu dengan tunjuk perasaan secara aman bagi menuntut keadilan.
Ini adalah kali pertama semua pendatang berkenaan menyambut Aidilfitri di kem padat penghuni sejak melarikan diri dari operasi ketenteraan di negara asal mereka, Ogos tahun lalu.
Rahim Uddin, 35 berkata, sambutan Hari Raya yang juga menandakan berakhirnya bulan Ramadan amat berbeza tahun ini.
"Walaupun begitu, saya tetap bersyukur kerana dapat menyambutnya dalam keadaan aman. Kami boleh pergi ke masjid tanpa sebarang gangguan," katanya ketika ditemui di kem pelarian di Kutupalong, dalam daerah Cox Bazar.
Masjid dalam kem berkenaan dipenuhi jemaah semalam bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri selain turut memanjatkan doa agar dilindungi dari kejadian tanah runtuh serta banjir kilat akibat musim tengkujuh yang melanda Bangladesh ketika ini.
Tidak lama selepas itu ketika kanak-kanak mula bergembira dengan pakaian baru dan menaiki permainan kuda pusing serta beberapa hiburan lain, ratusan pelarian Rohingya mula melakukan tunjuk perasaan secara aman selama lebih kurang sejam.
Pemimpin komuniti, Mohammad Mohibullah berkata, mereka mahu Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan wakil Rohingya dalam prosedur perjanjian penghantaran pulang.
Kira-kira 700,000 pendatang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak operasi besar-besaran pihak tentera, satu tindakan yang disifatkan PBB dan Amerika Syarikat sebagai menyamai penghapusan etnik. - AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails