Monday, June 25, 2018

Ulamak &Pemupukan Kehidupan Beragama. -Mohd Fadli Ghani.




SELAIN berjaya mengIslamkan Raja-raja Melayu dan melahirkan para ulamak tempatan sebagai kader dakwah, salah satu sumbangan besar para ulamak adalah pemupukan kehidupan beragama dalam masyarakat. 

Budaya orang Melayu pra-Islam adalah berteraskan pengaruh Hindu-Buddha yang berasal dari India. Sebarang bentuk pemupukan kehidupan beragama dalam masyarakat Melayu, harus mempertimbangkan latar belakang ini untuk mengelakkan orang Melayu yang mulai terbuka terhadap Islam beralih arah. 

Pendekatan yang keras akan menyebabkan orang Melayu menjauhi Islam dan melemahkan rancangan membangunkan Daulah Islam di Alam Melayu. Inilah perbezaan pendekatan dakwah ulamak di Alam Melayu, berbanding Arab, Afrika, Parsi dan India, yang mana Islam masuk melalui pedang dan perang. Sedangkan, pendekatan dakwah ulamak yang bercorak sufi ini, menurut Dr Burhanuddin al-Helmy telah membolehkan Islam berkembang secara aman dan diterima secara menyeluruh oleh orang Melayu.

Dalam konteks mengukuhkan Alam Melayu sebagai Daulah Islam, pemupukan kehidupan beragama berasaskan Syariat sangat penting, kerana Islam bukan hanya menjadi agama elit para pemerintah sahaja atau sekadar syahadah dan ibadat, tetapi ia adalah sistem kehidupan yang menyeluruh. Setelah berjaya memujuk orang Melayu supaya beriman kepada Allah, para ulamak menggunakan pelbagai pendekatan bagi mengubah cara hidup mereka secara beransur-ansur sehingga Islam akhirnya diterima secara menyeluruh. 

Memupuk dan membentuk kehidupan beragama dalam masyarakat awam adalah agenda yang lebih sukar, berbanding menyebarkan ilmu kepada para santri atau anak pondok, kerana anak-anak pondok telah menyediakan diri mereka untuk ditarbiyah. Sedangkan masyarakat awam bukan sahaja telah lama hidup dalam fahaman dan amalan sesat, bahkan mereka juga melakukan aktiviti negatif seperti berjudi, minum tuak, melaga binatang dan lain-lain yang menjadi amalan masyarakat Jahiliyah. Inilah cabaran terbesar yang dihadapi oleh para ulamak dalam memupuk kehidupan beragama di Alam Melayu.

Kepelbagaian pendekatan dakwah

Para ulamak yang memahami situasi orang Melayu telah mengambil pelbagai pendekatan dakwah dalam menarik mereka kepada Islam. Strategi terpenting ialah meng-Islamkan Raja-raja Melayu, tetapi ia tidak cukup kuat untuk membina keimanan, kerana Islamnya orang Melayu semata-mata kerana taat dan setia kepada Raja. Keimanan mesti berasaskan ilmu dan kefahaman, bukan ikutan semata-mata. 

Maka dalam konteks inilah para ulamak telah berusaha menarik mereka kepada Islam yang sebenar. Pada peringkat awal, ulamak yang terlibat dalam perdagangan telah berdakwah dengan menunjukkan contoh dan etika perniagaan berasaskan Islam, sehingga berjaya menarik minat masyarakat terhadap Islam. Dakwah bil hal ini telah menyebabkan para ulamak dihormati dalam masyarakat.

Satu lagi pendekatan yang dicatat dalam Tarikh Fathani ialah kebolehan para ulamak mengubat orang sakit, seperti mana bomoh dan tukang sihir di kalangan penganut Buddha, Hindu dan Majusi. Orang Melayu sangat tertarik dengan amalan tib dan rukyah Islam yang dilakukan oleh para ulamak. Maulana Malik Ibrahim disebutkan sangat pandai mengubat, sehingga mempunyai ramai pengikut, termasuk isteri Raja Champa. 

Selain itu, perkahwinan juga merupakan salah satu pendekatan dakwah yang digunakan oleh ulamak, di mana kejayaan mereka memasuki mana-mana keluarga orang Melayu melalui perkahwinan, akan membuka ruang untuk mereka mengajak ahli keluarga isterinya dan penduduk sekitar memeluk Islam. Di Nusantara, salah satu pendekatan dakwah yang sangat menarik digunakan oleh ulamak ialah tindakan para Wali Songo berdakwah dengan muzik dan kesenian. Wali Songo telah menjadikan kesenian tradisi Jawa, wayang kulit sebagai medium untuk berdakwah. Sunan Kudus, Sunan Kalijaga dan Sunan Muria adalah antara yang terkenal kerana pendekatan dakwah mereka melalui muzik dan kesenian.

Asimilasi Islam ke atas budaya Hindu-Buddha

Keadaan masyarakat Melayu yang kuat berpegang yang kepercayaan Hindu telah mendorong para ulamak melakukan asimilasi agama Islam ke atas orang Melayu. Antara kepercayaan terbesar orang Melayu ialah mereka percaya kepada adanya Tuhan yang disebut sebagai Dewata Raya atau Hyang. Selain perkataan "Dewata Raya" yang tercatat pada Batu Bersurat Terengganu, banyak tempat di Alam Melayu dikaitkan dengan Hyang seperti Gunung Diang (Adi Hyang), Gunung Sangiyang (Sang Hyang) dan Parahyangan yang terletak Matapura, Nusa Tenggara dan Sunda. Atas sebab itu, ibadat utama orang Islam disebut sembahyang (sembah Hyang), bukannya solat. 

Demikian juga puasa yang telah menjadi amalan Hindu, yang tidak disebut "shiam" dalam Bahasa Arab, sebagaimana zakat dan haji. Istilah-istilah agama yang lain seperti syurga, neraka, dosa dan pahala juga merupakan adaptasi konsep-konsep Hindu mengikut kefahaman Islam. Orang Melayu juga terkenal kerana amalan pemujaan seperti puja pantai, puja roh dan puja semangat padi. Mereka mempunyai jampi serapah tertentu dalam setiap pemujaan. 

Kerana itu, para ulamak telah menghidupkan amalan tahlil pada setiap kematian bersertakan kenduri arwah, sebagai proses asimilasi terhadap pemujaan dan jampi serapah tersebut. Kemudian diperkenalkan kesenian seperti nazam dan syair untuk memenuhi kecenderungan penganut Hindu terhadap lagu-lagu. Dalam kes pemujaan kepada watak-watak dalam wayang kulit, Wali Songo telah menggantikannya dengan hikayat-hikayat Nabi dan pejuang Islam. 

Bahkan, disebutkan juga, Sunan Kudus telah menggunakan simbol-simbol Hindu dan Buddha dalam binaan masjid, menara, pintu gerbang dan pancuran air untuk menjinakkan orang Melayu. Sunang Bonang pula memperkenalkan teknik pernafasan berasaskan konsep "Alif Lam Mim," menyerupai amalan yoga dalam agama Hindu, manakala Sunan Darajat dan Sunan Muria memperkenalkan amalan suluk yang menyerupai meditasi dalam agama Buddha. 

Kelantan sebagai salah sebuah negeri terawal menerima Islam telah menamakan beberapa kampung dengan nama Islam seperti Banggol Judah, Bukit Romah, Kampung Kaabah dan sebagainya, berbanding nama-nama tempat zaman sebelumnya seperti Biaro (biara) di Bukit Tinggi, Berhala di Jambi dan Parahyangan di Sunda.

Perlaksanaan Syariat menyeluruh

Aspek terbesar dalam pemupukan kehidupan kepada masyarakat adalah melalui perlaksanaan Syariat. Berdasarkan catatan Marco Polo bertarikh 1292M, Syariat Islam sudah terlaksana di Perlak ketika itu, bahkan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303M juga memberikan bukti perlaksanaan Syariat Islam di Tanah Melayu. Penemuan dinar emas di Kelantan yang bertarikh 1181M pula menunjukkan Syariat Islam bukan hanya dipraktis dalam undang-undang jenayah, tetapi sistem ekonomi juga. Kewujudan jawatan-jawatan seperti Qadhi, Mufti dan Sheikhul Islam menunjukkan penguatkuasaan Syariat bukan hanya undang-undang, tetapi melibatkan sistem mahkamah, fatwa dan pentadbiran agama.

Selain undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pemerintah, para ulamak sebagai tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat turut berperanan dalam menguatkuasakan peraturan Islam. Satu contoh yang baik ialah tindakan Sunan Ampel yang menggerakkan kempen "Moh Limo" atau "tidak lima," iaitu "moh main (tidak berjudi), moh ngombe(tidak minum minuman keras), moh maling (tidak mencuri), moh madat(tidak hisap candu) dan moh madon (tidak berzina)." 

Gerakan menghapuskan amalan buruk dalam masyarakat ini telah membolehkan orang Melayu membebaskan diri daripada keburukan amalan tersebut. Dalam konteks perlaksanaan Syariat ini, pemupukan kehidupan beragama bulih dilihat dalam dua segi iaitu peranan ulamak terhadap penguatkuasaan undang-undang dan juga gerakan kesedaran dalam masyarakat untuk meminggalkan amalan-amalan negatif.
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
9 Syawal 1439 / 23 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 23/6/2018

3 comments:

  1. Siapa fadli ghani nii..🐷🐖

    ReplyDelete

  2. Artikel ini adalah artikel yang bagus dibaca kerana artikel telah mendedahkan sejarah Islam yang berlaku di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah Barat. Malangnya sejarah Islam di Tanah Melayu dan Nusantara telah dipadamkan atau disembunyikan oleh penjajah Barat dan puak orientalis Barat.

    Sebahagian sejarah Tanah Melayu dan Nusantara hari ini telah ditulis berdasarkan khayalan ahli sejarah Barat seperti kononnya kaum Melayu berhijrah dari Yunnan ke ke Tanah Melayu dan Nusantara sedangkan kajian USM mendapati orang Melayu Kelantan adalah penduduk asal Tanah Melayu dan Teori Yunnan adalah palsu kerana DNA orang Kelantan dll adalah lebih tua dari DNA orang Yunnan di China.

    Teori Yunnan ini telah digunakan oleh puak rasis pendatang untuk menyokong dakwaan mereka kononnya kaum Melayu adalah pendatang dari Yunnan supaya puak rasis boleh menghapuskan hak keistimewaan kaum Melayu Islam yang merupakan penduduk asal negara ini.

    Bahkan banyak buku dan kitab karangan ilmuwan Islam telah dilarikan oleh penjajah Barat ke Eropah atau dimusnahkan konon kerana kapal tenggelam dll untuk menghapuskan bukti sejarah Islam dan sejarah kerajaan Islam di Tanah Melayu dan Nusantara.

    ReplyDelete
  3. Fadli Ghani ialah seorg yg x sabotaj Islam dan melayu spt ted manoff.

    ReplyDelete