Salah satu alasan yang diberikan oleh Rafizi Ramli mengenai keputusannya bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR ialah unfuk memastikan Anwar Ibrahim dapat menjadi Perdana Menteri.
Kata beliau, untuk jadi Perdana Menteri, Anwar perlu mendapat mandat yang penuh daripada parti. Jawatan Timbalan Presiden PKR kini dipegang Azmin Ali dan beliau belum memutuskan sama ada mengekalkan jawatan itu atau cuba menaikkan dirinya setakuk lagi dengan bertanding jawatan Presiden.
Jika Azmin memutuskan untuk mengekalkan dirinya di kerusi tersebut, ia akan menyaksikan pertembungan yang dijangka sengit antara beliau dengan Rafizi. Dalam waktu yang sama, Anwar sudah pun memutuskan untuk bertanding jawatan Presiden PKR yang kini dipegang oleh isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Ini bermakna Azmin akan berdepan dengan Anwar sekiranya beliau membuat keputusan bertanding jawatan Presiden PKR. Melihat kepada alasan Rafizi untuk mewajarkannya bertanding jawatan nombor dua dalam PKR itu, timbul persoalan apakah hanya dengan beliau menduduki jawatan itu saja maka Anwar dapat jadi Perdana Menteri?
Bukankah persetujuan bahawa Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah perkara yang sudah dipersetujui oleh Tun Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan? Apakah Azmin tidak membantu Anwar jadi Perdana Menteri?
Kalau Azmin menang lagi sebagai Timbalan Presiden PKR, apakah peluang Anwar untuk jadi Perdana Menteri bakal tergugat? Siapa yang Azmin akan bantu untuk jadi Perdana Menteri sekiranya beliau berjaya menewaskan Rafizi nanti? (ShahbudinHusin 29/07/2018).