KUALA LUMPUR – Harga barangan dijangka meningkat berikutan kenaikan tarif elektrik pengguna komersial, sekali gus menjejaskan golongan berpendapatan rendah.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun peningkatan tarif elektrik berkenaan hanya membabitkan sektor komersial timbul kebimbangan pengilang dan peniaga meletakkan kos berkenaan kepada pengguna.
Beliau berkata, ada segelintir pihak yang sentiasa mengambil peluang dengan menaikkan harga barangan jualan masing-masing apabila berlakunya peningkatan kadar caj bahan api, elektrik dan air.
“Kita kena lihat perkara ini secara meluas iaitu berbincang dengan pihak berkepentingan supaya pengguna tidak terbeban berikutan peningkatan harga barangan.
“Melihat kepada keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, adalah lebih baik perkara ini dielakkan kerana kos sara hidup pasti meningkat,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Sementara itu, Setiausaha Usahawan Digital Selangor, Mohd Adzim Rahman berkata, peniaga yang bergantung kepada elektrik untuk menjana pendapatan kemungkinan besar akan terkesan dengan kenaikan tarif elektrik berkenaan.
“Industri elektronik atau yang membabitkan penggunaan jentera dan mesin pasti terkesan dengan peningkatan tarif itu , sekali gus meningkatan kos operasi mereka dan akhirnya harga barang naik,” katanya.
Berikutan peningkatan kos sebanyak 1.35 sen/kWj, kerajaan memutuskan kos itu dilepaskan dalam bentuk surcaj, kos tak berimbang (ICPT) kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember depan.
Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan kelmarin memaklumkan kerajaan turut menetapkan surcaj ICPT itu dikecualikan kepada semua pengguna domestik bagi tempoh sama.
“Pelarasan ICPT ini tidak membabitkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 300 kWj.
“Bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 300 kWj, mereka akan mengalami penurunan atau kenaikan yang minimum dalam bil elektrik, iaitu dianggarkan antara RM0.09 dan RM4.89 sebulan, dengan mengambil kira pelaksanaan kadar 0% cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula 1 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan itu. – HMetro
No comments:
Post a Comment