Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketika ini terdapat beberapa manifesto yang sedang dalam pelaksanaan antaranya Karnival Kahwin kali pertama percuma di setiap Dewan Unda­ngan negeri (DUN) di samping membuka permohonan tanah baharu.
“Saya percaya 20 perkara manifesto yang kita rangkakan itu tidak akan diselesaikan dalam tempoh setahun atau dua tahun, sebaliknya kita akan laksanakan secara perlahan dan bertahap.
“Sepanjang tempoh lima tahun ini kita cuba untuk selesaikan satu persatu,” kata­nya kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra Menteri Besar bersama Media, di sini ­kelmarin.
Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Presiden/Ke­tua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berpuas hati de­ngan kelancaran dan keharmonian pentadbiran baharu yang diterajuinya sekali gus menjadikan kedua-dua aspek tersebut sebagai asas kepada penentu kejayaan buat Terengganu.
“Apa juga perubahan, pembangunan, perkembangan eko­­nomi yang kita bawa sekiranya asas yang penting iaitu keharmonian dan kelancaran pentadbiran tidak dijaga pastinya ia akan menjejaskan segala bentuk perancangan kita.
“Kita nampak pada waktu ini semua pihak boleh beker­jasama dengan sangat baik dan ia memberi satu gambaran segala perancangan untuk negeri ini akan berjalan de­ngan mudah,” katanya. (utusan.com.my)