Klang: Tujuh tukang urut warga asing yang sedang leka melayan pelanggan mereka di dua premis di Taman Bayu Tinggi di sini, terkedu apabila menerima ‘kunjungan’ polis, malam kelmarin.
Difahamkan, lima wanita berusia 20 hingga 45 tahun itu didapati sedang melakukan urutan manakala selebihnya menunggu kehadiran pelanggan.
Premis itu dikatakan menyediakan khidmat urut badan dan kaki dengan harga antara RM60 hingga RM120 sejam.
Pemeriksaan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi, Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang menyerbu dua premis berkenaan bermula jam 8.45 malam.
Pemeriksaan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi, Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang menyerbu dua premis berkenaan bermula jam 8.45 malam.
Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, serbuan menerusi Op Noda itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya sejak beberapa minggu lalu.
“Dalam serbuan di premis pertama, kita menahan lima tukang urut dan dua penjaga warga tempatan, manakala serbuan berikutnya membawa kepada penahanan dua tukang urut dan seorang penjaga.
“Semua wanita asing itu membabitkan empat warga Thailand, dua warga China dan seorang warga Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, pihaknya turut merampas pelbagai barang antaranya tuala, minyak urut, tisu, jadual kerja dan sejumlah wang tunai.
“Semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal tanpa permit sah dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas,” katanya.
Beliau berkata, satu daripada premis itu turut didapati beroperasi tanpa lesen dan siasatan lanjut masih sedang dijalankan pihaknya. (MyMetro)
No comments:
Post a Comment