Beberapa NGO mengadakan himpunan solidariti terhadap mangsa tanah runtuh di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, 26 Okt, 2018. --fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Penang Forum, gabungan kumpulan masyarakat sivil berkepentingan awam, menggesa minit dan nota mengenai siasatan tanah runtuh Bukit Kukus perlu didedahkan kepada umum dan tidak harus terikat dengan undang-undang kerahsiaan.
Anggota Penang Forum Khoo Salma Nasution berkata ia adalah demi ketelusan dan anggota jawatankuasa itu.
"Kami meminta pihak berkuasa untuk mengambil dua anggota dari Penang Forum, iaitu seorang jurutera dan seorang peguam untuk menyertai panel, sama ada negeri atau persekutuan, menyiasat tragedi tanah runtuh Bukit Kukus," katanya kepada pemberita selepas menganjurkan perhimpunan aman di hadapan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini pada Jumaat.
Kira-kira 100 anggota Penang Forum, individu bersama beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) lain menghadiri perhimpunan itu bagi menyatakan solidariti kepada mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus.
Pada Rabu (24 Okt) Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkanuntuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh yang mengorbankan sembilan pekerja asing di tapak projek jalan berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong.
Khoo Salma (kiri) bertemu dengan Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang (tengah) untuk menyerahkan buku 'Penang Hill Watch Report 2018' di bangunan MBPP, George Town, 26 Okt, 2018. -- fotoBERNAMA
"Kami menggesa pihak berkuasa agar memanggil pihak tertentu untuk memberi penjelasan, membuka rekod dan juga mengarahkan pemecatan jika perlu. Kami juga menggesa pihak berkuasa untuk mengenakan penalti maksimum sebagai pengajaran untuk menghalang tragedi kehilangan nyawa pada masa depan," katanya.
Khoo Salma berkata Penang Forum juga menggesa pihak berkuasa negeri dan persekutuan untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai bencana itu dan mengenal pasti pihak yang perlu bertanggungjawab dalam tragedi itu, untuk didakwa atas kecuaian.
"Kami menggesa pihak berkuasa agar memanggil pihak tertentu untuk memberi penjelasan, membuka rekod dan juga mengarahkan pemecatan jika perlu. Kami juga menggesa pihak berkuasa untuk mengenakan penalti maksimum sebagai pengajaran untuk menghalang tragedi kehilangan nyawa pada masa depan," katanya.
Sementara itu, Chow ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) Cawangan Pulau Pinang di sini berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan Penang Forum.
"Ini adalah siasatan dalaman. Ia bukan seperti Suruhanjaya Siasatan dan kami akan mempertimbangkan cadangan Penang Forum itu," katanya.
Chow berkata dua wakil IEM Cawangan Pulau Pinang, Pengerusinya Ting Chek Choon dan Pengerusi yang akan datang Yau Ann Nian akan membantu siasatan tragedi itu di bawah jawatankuasa khas yang ditubuhkan pada Rabu untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh tersebut.
Kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku di tapak projek Lebuh Raya Berkembar Bukit Kukus, kira-kira 1.56 tengah hari, Jumaat lalu yang mengorbankan sembilan orang manakala empat lagi cedera dan turut sama tertimbus 13 kontena dan sebuah rumah kongsi.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment