Saturday, November 03, 2018

Belanjawan 2019 Abai Pantai Timur -PAS

Tuan Ibrahim


KUALA LUMPUR - Pas kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2019 yang seolah-olah mengabaikan Pantai Timur.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, belanjawan tersebut langsung tidak menyentuh aspek pembangunan wilayah khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dikuasai pembangkang.
"Semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11, antara yang dibangkitkan ialah pembangunan wilayah yang seimbang. Tetapi dalam Belanjawan 2019 tidak digambarkan dalam data yang jelas tentang pembangunan khususnya kawasan wilayah Pantai Timur.
"Hampir tiada agenda besar dibuat yang menyebabkan pemangkin kepada pembangunan wilayah Pantai Timur. Saya tengok ada pengabaian dari segi perancangan kerajaan," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut mempersoalkan mengenai defisit belanjawan yang tidak disebut.
"Bajet ini kita tak tahu berapa sebenarnya jumlah pendapatan dan perbelanjaan. Cuma kita tahu jumlah perbelanjaan.
"Berapa kita defisit sebenarnya? Tidak ada satu angka yang jelas tentang jumlah defisit belanjawan negara," katanya.
Ketika ditanya sama ada Pas akan menolak Belanjawan 2019, Tuan Ibrahim berkata, parti itu akan meneliti secara keseluruhan terlebih dahulu.
"Kita akan teliti keseluruhan sebab saya tengok belanjawan ini tiada penjanaan kepada satu sumber baru negara. Saya fikir kita perlu fikir bagaimana nak jana sumber baharu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
"Insya-ALLAH kita akan ambil kesempatan sepenuhnya dalam perbahasan di Parlimen nanti," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, Belanjawan 2019 menganaktirikan orang luar bandar.
"Yang lebih ketara banyak peruntukan melibatkan orang bandar, tetapi untuk orang kampung, petani nelayan dan penoreh getah tidak memadai. Bajet kali ini adalah hadiah kepada orang di bandar yang menyokong PH dan satu sindiran kepada orang Melayu di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah yang solid memberikan sokongan kepada Umno dan Pas.
"Di mana keadilan yang dilaung-laungkan? Saya rasa PH gagal memberikan bajet terbaik untuk kali pertama mereka membentangkannya," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails