Australia benarkan 'backpakers' tinggal lebih lama
CANBERRA – AUSTRALIA. Kerajaan Australia telah mengumumkan akan memanjangkan tempoh visa buat pengembara-pengembara 'backpakers' ke negara berkenaan untuk tinggal lebih lama bagi menampung kekurangan tenaga kerja di ladang-ladang buah menjelang musim menuai.
Menerusi laporan Business Times, perubahan peraturan 'visa backpacker' yang baru itu membolehkan anak muda ke negara berkenaan untuk mencari pekerjaan untuk tinggal sehingga tiga tahun dengan syarat mereka perlu bekerja di dalam sektor pertanian untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
Melalui syarat lama di mana pekerja-pekerja ini hanya dibenarkan untuk tinggal selama tahun dan tambahan satu tahun lagi sekiranya mereka bekerja di ladang-ladang di wilayah utara yang terpencil.
Bermula Julai tahun depan, visa berkenaan akan dipanjangkan sehingga ke tahun ketiga sekiranya mereka meluangkan masa untuk bekerja di wilayah terpencil di mana pengusaha-pengusaha ladang buah menderita kerana kekurangan pekerja.
Peraturan tersebut diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Australia, Scott Morrison ketika bertemu dengan pengusaha tanah pertanian di wilayah Queensland. Pengumuman tersebut dibuat menjelang pilihan raya umum Mei depan.
Kerajaan Australia sebelumnya mengenakan peraturan ketat termasuklah memendekkan tempoh visa bagi menghalang kemasukan imigran secara berterusan ke negara berkenaan bagi memulakan kehidupan baru.
Bagaimanapun, sektor pertanian berhadapan dengan kesan buruk akibat peraturan ketat yang diamalkan terutamanya ketika musim menuai.
Untuk tempoh 2017 sehingga 2018, Australia mengeluarkan visa kepada lebih 200 ribu orang pekerja imigran dengan Perancis dan Jerman menjadi negara tertinggi dalam kalangan 45 negara yang menerima visa tersebut.
Kajian sebelum ini mendedahkan kebanyakan pekerja-pekerja imigran ini merupakan pelajar-pelajar antarabangsa yang menuntut di universiti-universiti tempatan. (SH)
No comments:
Post a Comment