Saturday, November 24, 2018

ICERD Dan Aisberg



'ICERD' hanyalah bongkahan ais yang kecil di bahagian atas laut dari sebuah bongkahan AISBERG yang sangat besar di bawah Lautan Atlantik.
Kapal TITANIC tidak mungkin akan tenggelam kerana 'ICERD', begitulah kenyataan Kapten kapalnya satu ketika dahulu. Selepas yakin 'ICERD' sudah tidak lagi mengancam kapal penumpang yang besar dan kukuh itu, pelayaran kapal diteruskan berhampiran bongkahan ais 'ICERD' yang kecil itu, sehinggalah bahagian bawah kapal laut itu bertembung dengan bongkahan AISBERG yang sangat besar di bahagian bawahnya. TITANIC akhirnya bocor, terbelah dua dan akhirnya tenggelam ke dasar lautan bersama-sama ribuan penumpang kapal yang akhirnya mati kerana lemas dan kesejukan.
Sebaik sahaja selesai membaca Draf Laporan Ke-3 Kajian Berkala Universal (UPR) Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam, YB Perdana Menteri mengumumkan bahawa rancangan untuk meratifikasikan ICERD itu terpaksa dibatalkan.
Alhamdulillah dan terima kasih.
Sebenarnya, saya tidak terkejut dengan pengumuman YB Perdana Menteri itu. Yang lebih mengejutkan saya ialah kenyataan segelintir anggota Majlis Hak Asasi PBB di dalam laporan yang saya baca itu terhadap Islam dan umatnya, antaranya ialah:
  1. Sokongan mereka terhadap LGBT.
  2. Sokongan mereka terhadap hubungan seks sejenis.
  3. Sokongan mereka terhadap Jenayah Murtad,
  4. Campurtangan mereka untuk meminda Undang-undang Keluarga Islam atas nama Hak Asasi Universal.
  5. Cubaan mereka untuk memansuhkan hukuman sebatan Syariah.
  6. Desakan mereka agar 'Female Genetal Mutilation' (FGM) atau Mutilasi Genital Wanita dimasukkan ke dalam Kanun Tatacara Jenayah Malaysia termasuk sikap mereka yang tidak mahu Fatwa dan arahan Pihak Berkuasa Agama Islam melangkaui Kanun Tatacara Jenayah itu.
  7. Desakan mereka agar Undang-undang Syariah mematuhi peruntukan-peruntukan dari Konvensyen Antarabangsa itu.
  8. Desakan agar Status Agama dibuang dari Kad Pengenalan MyKAD.
ICERD bukanlah satu-satunya Konvensyen Hak Asasi Manusia PBB yang boleh mengancam kedudukan kita di negara ini. Banyak lagi Konvensyen-konvensyen dari Majlis Hak Asasi PBB itu yang saya lihat boleh dipersoalkan serta bercanggah dengan tuntutan Islam dan norma budaya rakyat di negara ini.
ICERD hanyalah bongkahan ais yang kecil di bahagian atas bongkahan AISBERG yang sangat besar, kerana ancaman sebenar yang akan menenggelamkan 'kapal TITANIC' kita di kemudian hari nanti adalah desakan demi desakan yang berterusan dari badan antarabangsa Hak Asasi PBB itu, desakan dari badan Hak Asasi tempatan, desakan dari NGO-NGO Liberal dan Sekular termasuk sikap segelintir pemimpin politik dari kalangan kita yang beranggapan dasar Universal Hak Asasi Antarabangsa itu jauh lebih mulia dan lebih tinggi dari Kitab Suci al-Qur'an.
Keputusan untuk tidak meratifikasikan ICERD pada hari ini mungkin juga bersifat sementara kerana tekanan politik. Saya yakin usaha untuk meratifikasikan Konvensyen itu serta Konvensyen-konvensyen yang lain akan dihidupkan semula di kemudian hari apabila umat Islam tidak lagi dapat melihat ancaman bongkahan AISBERG yang sangat besar di bahagian bawahnya.
Semoga kita dan generasi yang akan datang tidak tenggelam di dasar lautan Atlantik seperti TITANIC buat selama-lamanya. 
HUZIR SULAIMAN 
24 November 2018 - HARAKAHDAILY 24/11/2018

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails