Friday, November 02, 2018

Islam Memimpin Bersama Bangsa -Presiden PAS.


ISLAM yang membawa risalah sejagat, menjadi rahmat kepada seluruh alam. Dasar, konsep dan tujuannya tidak terikat dengan semangat kebangsaan dan dijadikan aqidah perjuangan. Namun tetap mengiktiraf peranan bangsa dalam perjuangannya.
Semua para Rasul A.S. selepas Nabi Lut A.S. dijadikan bangsanya salah satu tonggak pendukung perjuangannya.

Allah menetapkan kewujudan bangsa menjadi salah satu daripada dalil ketuhanan-Nya. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (bermasyarakat). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujuraat: 13)
Firman Allah:
وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ (22)
“Dan di antara tanda-tanda (yang membuktikan ketuhanan, kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya) ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”. (Surah Ar-Rum: 22)
Kewujudan pelbagai bangsa, bahasa, warna kulit dan perbezaan yang lain menjadi dalil kuasa dan kebijaksanaan Allah dengan ikatan bermasyarakat. Membolehkan manusia itu ditugaskan di atas muka bumi dan alam dunia yang tidak mungkin dilaksanakan oleh makhluk yang lain.
Adapun kelebihannya pula bergantung kepada bagaimana mereka menjalankan tugas bagi mencapai tujuan mereka diciptakan iaitu beribadah (memperhambakan dirinya kepada Allah), berkhilafah (mentadbir bumi dan seisinya) dan melaksanakan amanah (perintah Allah daripada agama-Nya) yang menjadikan ukuran kemuliaannya ialah sifat taqwa kepada Allah.
Al-Quran menegaskan peranan keluarga dan bangsa dalam kewajipan berdakwah secara praktikal, bermula dengan kisah Nabi Lut A.S.:
قَالَ لَوْ أَنَّ لِي بِكُمْ قُوَّةً أَوْ آوِي إِلَىٰ رُكْنٍ شَدِيدٍ (80)
“Nabi Lut berkata: "Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat berlindung kepada sesuatu tempat bertahan yang kuat (penyokong-penyokong daripada kaum keluarga)”. (Surah Hud: 80)
Sabda Rasulullah S.A.W.:
"رَحْمَةُ اللَّهِ عَلَى لُوطٍ إِنْ كَانَ لَيَأْوِي إِلَى رُكْنٍ شَدِيدٍ، قَالَ: فَمَا بَعَثَ اللَّهُ مِنْ بَعْدِهِ نَبِيًّا إِلا فِي ذِرْوَةٍ مِنْ قَوْمِهِ". (الترمذي)
“Rahmat Allah terhadap Nabi Lut A.S. sebenarnya dia telah mendapat perlidungan yang sangat kuat (pertolongan Allah dengan kedatangan para malaikat). Maka Allah tidaklah mengutuskan Rasul selepasnya melainkan bersama kekuatan kaum bangsanya”. (Riwayat Imam At-Tirmizi)

Maka Rasulullah S.A.W. juga diperintahkan pada permulaan dakwahnya untuk membentuk jamaah daripada kaumnya sendiri. Firman Allah:
فَلَا تَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ فَتَكُونَ مِنَ الْمُعَذَّبِينَ (213) وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ (214)
“Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah Tuhan yang lain bersama-sama Allah, akibatnya engkau akan menjadi daripada golongan yang dikenakan azab seksa. (213); Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat”. (214) (Surah As-Syua’ara’: 213-214)
Allah menegaskan melalui firman-Nya:
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (4) وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَذَكِّرْهُم بِأَيَّامِ اللَّهِ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ (5)
“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (4); Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil berfirman: “Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah”. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur”. (5) (Surah Ibrahim: 4-5)
Allah menyebut contoh Nabi Musa A.S. dengan kaumnya secara khusus, walaupun dakwahnya juga ditujukan kepada Firaun yang memerintah negara Mesir Purba yang bertamadun kebendaannya tetapi sesat aqidah, syariat dan akhlaknya.
Allah mengeluarkan Qarun yang sesat, walaupun dia sebangsa dengan Nabi Musa A.S. Firman Allah:
۞ إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ وَآتَيْنَاهُ مِنَ الْكُنُوزِ مَا إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِالْعُصْبَةِ أُولِي الْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لَا تَفْرَحْ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفَرِحِينَ (76) وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ (77)
“Sesungguhnya Qarun adalah dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat lagi sasa. (Dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu). (76); “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan Hari Akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”. (77) (Surah Al-Qasas: 76-77)
Allah juga meletakkan seorang pembesar bangsawan di kalangan Firaun yang beriman, termasuk kalangan Nabi Musa A.S. yang diabadikan sebutannya di dalam Al-Quran.
Maka Rasulullah S.A.W. memulakan dakwahnya kepada kaum keluarga dan bangsanya dahulu, walaupun kerasulannya kepada seluruh manusia dan sekalian alam dunia ini sehingga berlakunya Kiamat yang wajib diimani.
Allah juga menyebut amaran-Nya di dalam Al-Quran bahawa bangsa Arab yang meninggalkan perjuangan Islam dipinggirkan dan ditukar dengan bangsa lain yang memimpin umat bersama Islamnya.
Firman Allah:
وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم (38)
“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan menegakkan Islam) ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu”. (Surah Muhammad: 38)
Selepas wafatnya Rasulullah S.A.W, umat Islam melaksanakan sabda Baginda S.A.W. yang mentafsirkan Al-Quran:
الأئمة من قريش
“Para pemimpin itu hendaklah di kalangan Quraisy”. (Riwayat Imam Ahmad)
Ibnu Khaldun mentafsirkan makna Quraisy adalah kaum Arab yang mendominasi umat Islam pada masa itu. Maka umat Islam melaksanakan hadis ini mengikut Feqah Al-Waqi’e (Feqah Situasi dan Realiti) yang sentiasa berubah mengikut zaman dan tempatnya.
Amirul Mu’minin Umar bin Al-Khattab R.A. menegaskan kepada para pemimpin Islam berbangsa Arab pada zamannya:
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام، فمهما نبتغي العز بغير أعزنا الله أذلنا الله.
“Kita adalah kaum (bangsa) yang diberi keperkasaan oleh Allah bersama Islam, sekiranya kita mencari yang lain daripada Islam nescaya kita menerima hukuman Allah, menjadi hina dan lemah”
Senario kepimpinan Islam berlaku sama ada di peringkat pusat atau negeri di sepanjang zaman membuktikan bahawa bangsa yang dominan di kalangan penganut Islam yang layak memimpin, bergilir daripada Arab kepada Kurdis (Ayyubiah), kemudiannya Turki (Uthmaniah), Tatar (Moghul) yang menganut Islam di benua India dan rumpun Melayu di Nusantara.
Rumpun Melayu Islam daripada pelbagai suku kaum dan bangsanya yang menganut Islam masih tetap menjadi bangsa terbesar menganut Islam di rantau ini (Indonesia dan Malaysia), bahkan terbesar di kalangan dunia Islam. Hanya kembali sahaja kepada Islam yang sempurna.
Maka jangan digempurkan bangsa Melayu Islam yang mendominasi penduduk di negara ini hanya kerana adanya pengaruh ekonomi dan media yang disalahgunakan untuk tujuan politik yang salah, tanpa mengambil kira peranan dominasi kaum yang masih menganut Islam ini.
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 31 Oktober 2018 / 20 Safar 1440 - HARAKAHDAILY 31/10/2018


Lihat juga.. 
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

No comments:

Post a Comment