Saturday, November 17, 2018

Mufti Wilayah Menulis: Guna Mata Wang Bitcoin. Bagaimana Hukum? Siri 1.

Технологии блокчейн и криптовалюта — мнения участников Давоса
MUKADIMAH
ISU ini telah dikemukakan oleh orang ramai ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi pelbagai medium antaranya aplikasi whatsapp, Facebook, Instagram dan Twitter.
Mutakhir ini, Bitcoin yang merupakan salah satu daripada jenis mata wang kripto menjadi satu fenomena baharu yang kian mendapat perhatian di seluruh pelusuk dunia. Kemunculan mata wang seumpama ini dianggap sebagai alternatif baharu kepada mata wang sedia ada dalam urus niaga di abad ini.
Justeru, jika dilihat secara saintifik, bitcoin ini merupakan mata wang digital yang dibangunkan di alam maya dengan menggunakan perkakasan komputer sepenuhnya. Ia bukanlah bersifat fizikal seperti wang kertas yang ada pada hari ini. Keghairahan orang ramai terhadap bitcoin ini telah melonjakkan harganya ke tahap yang tinggi di mana pada awalnya ditawarkan pada harga USD65 dan kini dikatakan harganya berada pada paras USD6,281.76 bersamaan dengan RM26,340 (setakat 13 November 2018).
Baru-baru ini juga, terdapat laporan yang menyatakan sistem emel Media Prima Bhd. telah diserang oleh sekumpulan penggodam siber, dan mereka meminta sebanyak 1000 unit bitcoin sebagai bayaran untuk sistem tersebut kembali kepada sediakala.[1] Ini menunjukkan bahawa bitcoin menjadi sasaran kumpulan penjenayah memandangkan sifatnya yang lebih sukar dikesan berbanding mata wang biasa.

ISU DAN MASALAH

Pada hari ini, urus niaga di alam maya cuba diperluaskan dengan menggunakan bitcoin sebagai alat pertukaran (medium of exchange). Kewujudan sesetengah premis yang kini menggunakan bitcoin membuatkan ramai pengguna cuba mendapatkan mata wang ini meskipun ia bukanlah mata wang yang diiktiraf di kebanyakan negara di peringkat antarabangsa.
Maka berikut dikemukakan beberapa persoalan yang timbul di sebalik penggunaan mata wang ini, antaranya:
  1. Adakah bitcoin merupakan mata wang yang sah menurut kaca mata syarak?
  2. Adakah bitcoin boleh diperdagangkan dan digunakan dalam transaksi urus niaga?

SEJARAH MATA WANG DALAM ISLAM

Pada zaman pemerintahan Islam, semenanjung Arab pada ketika itu tidak mempunyai mata wang yang tersendiri. Pada abad ke-6 dan ke-7 masihi, orang Arab terutama yang menetap di Mekah dan Madinah telah memenuhi keperluan mereka dengan menggunakan mata wang syiling yang dikeluar dan digunakan di wilayah-wilayah Empayar Byzantine dan Empayar Sasan yang berjiran atau menggunakan mata wang peninggalan kerajaan silam.[2]
Setelah terdirinya kerajaan Islam di Madinah, penggunaan mata wang emas Byzantium, solidus dan mata wang Sasan,drachm atau kedua-duanya lebih dikenali oleh orang Arab sebagai dinar dan dirham diteruskan tanpa sebarang perubahan.[3]
Walaupun banyak usaha-usaha memajukan ekonomi umat Islam di Madinah dilakukan, namun Rasulullah SAW tidak mengubah dan mencetak mata wang baru menggantikan mata wang yang digunakan ketika itu sebaliknya Baginda menerima penggunaannya.[4]
Penggunaan mata wang sedia ada ini berterusan sepanjang pemerintahan Khalifah Abu Bakar, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Muawiyah bin Abi Sufyan.[5] Perubahan yang berlaku ketika zaman pemerintahan mereka adalah sekadar menambah beberapa ungkapan pada mata wang sedia ada dan tiada usaha menempa mata wang baru dilakukan.
Pada kemuncaknya iaitu pada zaman Khalifah Abd al-Malik bin Marwan, mata wang Islam dengan jati diri Islami yang tersendiri telah dikeluarkan.[6] Perubahan yang besar meliputi tindakan menghilangkan lambang-lambang tidak Islami dan pada sesetengahnya menggantikan dengan yang lain telah dilakukan. Umpamanya, tanda salib yang terdapat pada mahkota atau topi besi maharaja Byzantium telah dibuang. Begitu juga tanda salib yang ada pada bahagian hadapan dan belakang syiling.
Selepas daripada usaha tersebut, secara ringkasnya penggunaan syiling emas dan perak sebagai mata wang umat Islam terus berlangsung sehinggalah berakhirnya kerajaan Islam di Turki.[7]
Sebagai kesimpulan, penggunaan syiling baik perak mahupun emas sebagai mata wang telah dikenali lama sebelum Islam dan tidak bermula dengan orang Islam. Selain itu, pengeluaran mata wang syiling adalah sentiasa berada pada tangan pihak yang berkuasa di setiap negara atau kawasan dan inilah yang berlaku sejak dari awal sejarah sehingga zaman moden.[8]

KONSEP MATA WANG DALAM ISLAM

Mata Wang dalam al-Quran dan al-Hadis

Pada dasarnya, konsep umum mata wang yang disebut di dalam al-Quran adalah menjurus kepada mata wang dinar dan dirham. Ini adalah kerana, ketika wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW, mata wang yang beredar pada masa itu hanyalah dinar dan dirham.[9]
Antara ayat yang menggambarkan unit mata wang dinar dan dirham yang pernah digunakan pada zaman awal Islam ialah:
وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّـهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Maksudnya“Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).”
(Surah Ali Imran: 75)
Selain itu, al-Quran juga ada menyebut tentang garis panduan berkenaan kepentingan menjaga keutuhan mata wang dan larangan daripada membuat sewenang-wenangnya sehingga merosakkan keseimbangan masyarakat. Allah SWT berfirman:
قَالُوا يَا شُعَيْبُ أَصَلَاتُكَ تَأْمُرُكَ أَن نَّتْرُكَ مَا يَعْبُدُ آبَاؤُنَا أَوْ أَن نَّفْعَلَ فِي أَمْوَالِنَا مَا نَشَاءُ إِنَّكَ لَأَنتَ الْحَلِيمُ الرَّشِيدُ
Maksudnya: “Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?"
(Surah Hud: 87)
Imam al-Tabari menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan “supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami” membawa kepada pemecahan dan pemotongan dirham.[10]
Dapat difahami daripada ayat ini bahawa Islam mementingkan keutuhan mata wang. Apabila mata wang sudah tidak dipercayai lagi oleh masyarakat, maka akan terjadi masalah dalam transaksi mereka. Mereka saling tidak percaya antara satu sama lain dan meragui piawaian dinar mata wang yang digunakan.
Al-Quran juga ada menerangkan peranan wang sebagaimana ayat di dalam surah al-Maidah, Allah SWT berfirman:
وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّـهُ لَكُمْ قِيَامًا
Maksudnya“Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu…”
(Surah al-Nisaa': 5)
Menurut al-Raghib al-Asfahani, perkataan al-qiyam dan al-qiwam bermaksud tiang dan sandaran kerana hal ini dijadikan sebagai tiang penumpang dan sandaran barang yang bersandar kepadanya.[11]
Ini menggambarkan ciri utama wang di mana ia merupakan satu alat yang sangat berkesan yang dijadikan oleh Allah untuk mengelola dan memelihara keseluruhan sistem dunia. Matlamat akhir wang adalah untuk menjaga dan menampung urusan dunia seseorang untuk keuntungannya di akhirat.
Sebagai kesimpulan, ciri-ciri atau bentuk mata wang tidak dijelaskan secara terperinci dalam al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-duanya hanya merujuk kepada mata wang yang wujud dan tersebar luas pada masa tersebut iaitu dinar dan dirham. Akan tetapi, ia telah meletakkan dasar dan garis panduan secara umum berkait penggunaan mata wang di dalam urusan muamalah sesama manusia.

Mata Wang Menurut Pandangan Sarjana Islam

Bagi memahami konsep mata wang secara jelas, kita perlu merujuk kepada tafsiran ilmuwan dan sarjana berkenaan hal ini. Pelbagai definisi dan takrif telah dikemukakan oleh para sarjana Islam berkaitan konsep dan pengertian mata wang di dalam Islam. Di sini, dibawakan pandangan beberapa sarjana Islam baik yang terdahulu mahupun kontemporari.
  1. Imam Malik
Imam Malik mendefinisikan wang sebagai sesuatu barang yang boleh diterima sebagai alat pertukaran. Ini jelas berdasarkan kata-kata beliau yang sekiranya masyarakat bersetuju sesama mereka untuk menjadikan kulit sebagai wang maka beliau akan melarang ianya dijual secara tangguh dengan emas dan perak:[12]
b. Imam al-Ghazali
Menurut al-Ghazali, Allah SWT telah menjadikan dinar dan dirham sebagai pengadil dan perantara di antara semua harta sehingga semua harta benda dapat diukur dengannya.[13]
Disebabkan ia adalah suatu yang kekal, maka mata wang daripada emas dan perak dapat menjadi satu mekanisme yang adil sebagai alat pengukur sesuatu barangan.
c. Ibnu Taimiyyah
Menurut beliau, wang adalah alat untuk mengukur nilai dan berfungsi sebagai alat pertukaran. Melalui wang tersebut, sejumlah benda dapat diketahui nilainya dan tidak bermaksud menggunakannnya untuk diri sendiri.[14]
d. Ibnu al-Qayyim
Ibnu al-Qayyim menyatakan bahawa wang tidak dicari untuk dirinya akan tetapi ia digunakan untuk mendapatkan barangan komoditi. Apabila wang mula dijadikan komoditi dan dijadikan sebagai matlamat transaksi, maka seluruh sistem ekonomi akan berada dalam krisis.[15]
e. Ibnu Khaldun
Ibnu Khaldun berkata, Allah SWT telah menciptakan dua logam bernilai daripada emas dan perak sebagai pengukur nilai bagi semua barang yang berharga.[16] Sekiranya dimiliki juga sesuatu bahan yang lain daripada emas dan perak dalam beberapa ketika tertentu, maka keadaan itu bertujuan untuk mendapatkan kedua-duanya dengan menggunakan bahan-bahan lain dalam pasaran ketika ia tidak dapat diperolehi.
Sebagai kesimpulan, berdasarkan takrif-takrif yang dikemukakan, dapat difahami bahawa mata wang dalam Islam ialah sesuatu yang berfungsi sebagai alat perantaraan dalam proses pertukaran barangan (medium of exchange). Ia juga digunakan bagi menjadi pengukur nilai bagi sesuatu benda atau barangan.
Mata wang tidak mempunyai nilai-nilai intrinsik dan Islam tidak mengiktiraf wang dijadikan sebagai komoditi untuk dijual beli kecuali dalam kes-kes tertentu sahaja.
BITCOIN.PNG

KONTRAK AL-SARF DALAM ISLAM

Persoalan berkaitan mata wang dan pertukarannya di dalam Islam dibincangkan secara lebih terperinci di bawah tajuk kontrak al-Sarf. Kontrak al-Sarf secara jelasnya menyebut logam yang digunakan sebagai mata wang ialah logam emas dan perak. Walau bagaimanapun, ulama telah menjelaskan bahawa ia boleh diperluaskan kepada logam lain yang membawa ‘illah yang sama sebagaimana ‘illah emas dan perak.[17]
Dalam membahaskan perkara tersebut, Mazhab Syafie menggunakan harga atau mata wang terhadap perkataan emas dan perak. Justeru, apa-apa sahaja barang atau benda yang digunakan dan diterima sebagai wang dan harga akan tertakluk kepada peraturan pertukaran emas dan perak. Selain daripada itu, perbahasan ini juga menunjukkan keharusan penggunaan benda selain emas dan perak untuk digunakan sebagai harga atau mata wang.[18]
Dari segi definisinya, al-Sarf dari segi syarak bermaksud penjualan mata wang dengan mata wang yang sejenis atau tidak sejenis iaitu menjual emas dengan emas atau perak dengan perak sama ada dalam bentuk emas dan peraknya atau dalam bentuk wang.[19]
Antara syarat-syarat khusus bagi membolehkan tukaran mata wang dijalankan ialah:[20]
  1. Wujud persamaan bagi dua barangan yang sama bahagian
Persamaan yang dimaksudkan di sini adalah sama timbangannya walaupun berlainan dari segi kecantikan dan pencanaian. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ مِثْلاً بِمِثْلٍ
Maksudnya“Emas dengan emas hendak sama jenis.”[21]
Maksudnya adalah sama dari segi kadar dan bukan dari segi sifat kerana berdasarkan kaedah syarak: “Yang baik dan buruknya adalah sama.”[22]
2. Penyerahan serta-merta
Kontrak sarf disyaratkan tidak ada penangguhan oleh dua pihak yang berkontrak atau salah seorangnya. Ini kerana penerimaan dua barang tukaran adalah perlu sebelum berpisah.
Hendaklah tidak wujud jarak masa bagi penyerahan kedua-dua atau salah satu barangan. Jika satu pihak berkata: “Tukarkan saya satu dinar dengan sepuluh dirham, cuma saya akan serahkan satu dinar tadi selepas satu jam.” Satu pihak lagi berkata: “Saya tukarkan untuk kamu.” Pihak pertama tadi membalas: “Saya setuju” maka akad ini tidak sah.
3. Penyerahan dalam majlis akad
Tukaran yang dilakukan mestilah diterima semuanya sebelum kedua pihak berpisah. Hal ini adalah bagi mengelakkan berlakunya riba nasi’ah. Ini menjunjung sabda Rasulullah SAW:
الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ مِثْلاً بِمِثْلٍ سَوَاءً بِسَوَاءٍ يَدًا بِيَدٍ فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ
Maksudnya“(Penjualan/pertukaran) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam, apabila ia sama jenisnya, hendaklah sama kadar atau timbangannya dan hendaklah secara lani. Sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah mengikut kehendak kamu tetapi dengan syarat pertukaran dua barangan tersebut berlaku secara lani (serahan tangan ke tangan).”[23]
Demikian juga dengan sabda Rasulullah SAW:
ولاَ تَبِيعُوا مِنْهَا غَائِبًا بِنَاجِزٍ
Maksudnya: “Jangan kamu menjual barangan yang tidak ada dengan barangan yang ada.[24]
4. Akad tersebut mestilah muktamad (tanpa syarat)
Tidak dibenarkan meletakkan syarat oleh dua pihak yang berkontrak atau salah satu daripadanya. Jika kedua-dua pihak yang bertukar-tukar mata wang menetapkan syarat kedua-dua atau salah satu pihak berhak menuntut khiyar dalam masa sehari atau dua hari, atau lebih atau kurang daripada itu, tukaran tersebut tidak sah. Ini kerana sepertimana yang diketahui, syarat sah akad ialah wujudnya proses bertukar-tukar barangan. Ini berlainan dengan khiyar ru’yah dan khiyar ‘aib. Kedua-duanya tidak menghalang berlakunya penerimaan yang sempurna. Jika dua pihak tersebut berpisah dan dalam kontrak tersebut terdapat khiyar ‘aib atau ru’yah maka kontrak itu adalah harus.
Sebagai kesimpulan, pertukaran mata wang adalah dibenarkan, akan tetapi ia mestilah berlandaskan syarat-syarat al-sarf. Urus niaga yang tidak mematuhi syarat tersebut boleh menyebabkan urus niaga tersebut tidak sah atau batal.
Walau bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan seperti dalam konteks operasi perbankan masa kini, definisi majlis akad yang tertumpu kepada faktor “tempat yang sama” dilihat kurang relevan kerana kebanyakan pelaksanaan bai’ al-sarf tidak melibatkan pertemuan secara fizikal di tempat yang sama tetapi ia hanya berlaku dalam talian atau melalui platform elektronik. Justeru, perkara utama yang menjadi fokus dalam mendefinisikan majlis akad bagi amalan perbankan semasa ialah faktor “masa” berlakunya kontrak pertukaran mata wang.
Oleh itu, Mesyuarat Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia ke-179 telah memutuskan bahawa majlis akadbai’ al-sarf adalah merujuk kepada “suatu tempoh masa” berlakunya pemeteraian kontrak pertukaran mata wang yang bermula dengan penawaran (ijab) dan diiringi dengan penerimaan (qabul) serta diakhiri dengan perpisahan (disengagement) pihak-pihak berkontrak secara fizikal atau konstruktif, atau pelepasan hak untuk membatalkan kontrak (takhayur). Serah terima mata wang dalam bai’ al-sarf mestilah berlaku ketika majlis akad. [25]
Berdasarkan keputusan tersebut, amalan serah terima mata wang dalam bai’ al-sarf, contohnya yang dilaksanakan pada hari kedua selepas tarikh transaksi (T+2) dianggap berlaku selepas majlis akad. Walau bagaimanapun, amalan tersebut boleh dibenarkan berdasarkan amalan pasaran (‘urf tijari) ekoran daripada kekangan operasi. Serah terima mata wang selepas majlis akad juga boleh dibenarkan sekiranya berlaku gangguan di luar jangkaan (unexpected disruption).[26]
Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

logo malay3

BAYAN LINNAS #153: HUKUM PENGGUNAAN MATA WANG BITCOIN


Bersambung..

No comments:

Post a Comment