Tuesday, November 27, 2018

Penyanyi Contoh, Ayu Damit Juga Jadi Saudagar Cili.


Ayu memberitahu cili padi mendapat permintaan tinggi.
HALAMAN HIBURAN
Usaha penyanyi ini harus dijadikan contoh, siapa sangka Ayu Damit kini saudagar cili 

BENARLAH bagai dikata, "berbudi pada tanah pasti ada hasilnya"!

Perumpamaan itu sesuai sekali bagi menggambarkan hasil usaha anak jati Sabah yang bergelar penyanyi dicungkil bakatnya menerusi program realiti televisyen.

Peluang meninjau tanaman cili fertigasi di ladang berkeluasan 1.4 hektar milik penyanyi Ayu Damit dan suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 31, ternyata sesuatu yang membanggakan.

Terletak di Batu 22, Hulu Langat, Ayu ketika ditemui memberitahu dia dan suami mula mengusahakan ladang tersebut yang disewa daripada Orang Asli sejak dua tahun lalu.

Namun ketika awal pembabitan dalam bidang pertanian itu, mereka sama sekali tidak menyangka tanaman cili fertigasi itu mampu mendatangkan hasil dan mendapat permintaan tinggi.

Kata wanita bertubuh kecil tu, setakat ini hasil cili di ladang syarikat Ayu Damit Agro Farm itu sudah boleh dituai sebanyak empat kali dan mereka pernah mengutip sehingga 400 kilogram tanaman itu, selain timun dan tembikai susu.

"Saya sentiasa berpegang kepada kata-kata, jika kita berbudi kepada tanah maka itu juga sebahagian ibadah dalam menyuburkan alam dengan memberi manfaat dan kesenangan kepada orang lain.
"Alhamdulillah usaha kami sepanjang dua tahun ini mula menampakkan hasil dan saya harus berterima kasih kepada suami kerana dialah individu paling gigih bekerja di ladang setiap hari.
"Apabila tengok ladang menghijau dan tanaman subur dengan baik, nikmat itu sukar digambarkan dengan kata-kata," katanya.


Ayu Damit memberitahu setiap kali musim menuai mereka mampu mengutip sekitar 400 kilogram cili.
Ayu dan suami Syed Fauzi mengusahakan ladang cili di atas tanah seluas 1.4 hektar di Hulu Langat.
Pokok cili yang mula berbuah.

Ayu Cili Padi

Tidak kisah dengan pandangan serong segelintir masyarakat apabila memilih untuk menceburi bidang pertanian, pemilik nama sebenar Norayu Damit ini berkata, apa yang paling penting adalah dia mencari rezeki halal untuk keluarga.

"Ada juga orang panggil saya 'Ayu Cili Padi' tetapi saya tidak kisah pun kerana memang benar saya mengusahakan kebun cili padi.
"Hanya kerana saya seorang artis bukan penghalang untuk saya ceburi bidang pertanian kerana apa saya lakukan ini kerana minat dan masa depan keluarga.
"Alhamdulillah kami mula nampak hasilnya apabila permintaan daripada pemborong sangat tinggi, malah sampai ada yang datang sendiri ke kebun untuk beli cili," ujarnya yang berusia 29 tahun.

Sebelum berjaya pasti ada cabaran!

Rancak berbual mengenai punca rezekiya, Ayu berkata, dia dan suami pernah berhadapan pelbagai cabaran sebelum membawa mereka ke tahap sekarang.
Ayu bahagia disamping suami dan anak-anak mereka.
Kisahnya, sebelum menanam cili, mereka pernah mengusahakan penanaman nanas dan kelapa matag di sebidang tanah di kampung suaminya yang terletak di Kuala Kangsar, Perak.

Cerita Ayu lagi, pada awalnya kegiatan pertanian yang diusahakan berjalan dengan baik, namun kejadian banjir teruk memusnahkan hasil tanaman itu terutamanya nanas.

"Hasil yang diperoleh hari ini tidak datang bergolek sebenarnya. Kegagalan dalam mengusahakan tanaman kelapa matag dan nanas beberapa tahun lalu bagaikan mengajar bahawa jika hendak melakukan sesuatu kami tidak boleh cepat berputus asa hanya kerana usaha tidak berhasil.
"Cabaran dan rintangan itu biasa dalam apa juga situasi, cuma kita perlu tahu bila hendak berhenti dan cepat berfikir pelan seterusnya," ujarnya.

Bantu Orang Asli tambah pendapatan

Dalam pada itu, Ayu memberitahu keseronokan mengusahakan ladang bukan sahaja apabila melihat hasilnya tetapi kepuasan dapat membantu masyarakat setempat dengan menawarkan peluang pekerjaan.
Kebiasaannya dia akan mengupah penduduk Orang Asli di kawasan itu ketika musim menuai dan ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka menambah pendapatan.

"Kalau diikutkan kami ada empat pekerja tetap membantu menguruskan ladang dan apabila tiba musim menuai kami akan upah penduduk Orang Asli di kawasan itu untuk memetik cili.
"Kebiasaannya kami akan mengupah 10 ke 15 pekerja tambahan dan mereka akan mengutip cili tiga kali dalam masa seminggu ketika musim menuai, selain menabur baja dan menyembur racun serangga perosak.
"Alhamdulillah, dapat juga kami membantu penduduk kampung dalam mewujudkan peluang pekerjaan dalam mencari wang tambahan," katanya.
Melihat potensi pertanian cili fertigasi mampu mengembang memandangkan ia mendapat permintaan tinggi, Ayu berkata, dia dan suaminya berharap dapat memperluaskan empayar mereka dalam bidang pertanian.
"Sebenarnya kami sedang merancang mencari tanah kosong bagi memperluaskan lagi kawasan tanaman cili berserta sayur-sayuran dan buah-buahan lain.
"Macam sekarang ada 16,000 pokok cili pun tidak cukup untuk memenuhi permintaan pasaran dan kami melihat ia mempunyai potensi besar.
"Insya-Allah jika diberi rezeki memang kami ingin kembangkan lagi kebun kami," ujarnya yang masih aktif menerima undangan nyanyian. (mStar)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..
E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..

1 comment:

Anonymous said...

BAGUSnya Ayu Damit dan suaminya; INSPIRASI betul artikel ni! MEKASIH Ibnu H!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails