Perbahasan Bajet 2019: Bersikap Adil Untuk Semua.
YB Dato'Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
AHLI PARLIMEN MARANG
13 NOVEMBER 2018
DEWAN RAKYAT, PARLIMEN MALAYSIA
Firman Allah:
إِنَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّهُ كَانَ بِعِبَادِهِ خَبِيرًا بَصِيرًا (30)
“Sesungguhnya Tuhanmu itulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya Dia Maha Mendalam PengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya”. (Al-Isra’: 30)
Allah yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana, sebenarnya mengurniakan rezeki yang cukup bagi hambanya, sama ada dari aspek sumber atau kemahiran mentadbir dan mengurus. Semua mereka diuji di alam dunia ini, sama ada menunaikan amanah dengan jujur dan ikhlas atau melakukan khianat terhadap amanah yang dibebankan kepadanya.
Firman Allah :
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا (72)
“Sesungguhnya Kami telah membentangkan perkara yang dinamakan amanah kepada segala lapisan langit dan bumi, termasuk juga bukit-bukau dan gunung-ganang, tiba-tiba mereka semuanya enggan memikul (melaksanakannya), dan merasa takut kerana besar tanggungjawabnya. Namun makhluk manusia menerima untuk menunaikannya. Sesungguhnya dari kalangan mereka itu ada yang sangat zalim lagi jahil”. (Surah Al-Ahzaab: 72)
Bajet Terbesar
Kini kita menyaksikan Bajet 2019 yang julung kali dibentangkan oleh Pakatan Harapan merupakan bajet terbesar dalam sejarah, jauh melebihi ‘bajet pilihan raya’ oleh Barisan Nasional bagi tahun 2018.
Sejumlah RM314 bilion diperuntukkan untuk kerajaan berbelanja pada tahun hadapan, meningkat 12% berbanding anggaran RM280 bilion bagi tahun 2018.
Untuk menampung perbelanjaan yang besar ini, kerajaan mengunjurkan kutipan hasil berjumlah RM261 bilion pada tahun 2018, disumbangkan oleh pungutan cukai langsung dan tidak langsung, serta dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion yang akan digunakan untuk melunaskan tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan berjumlah RM37 bilion.
Natijahnya, kerajaan dijangka akan menanggung defisit mencecah RM52 bilion pada tahun 2019, atau 3.4% kepada KDNK.
Firman Allah:
وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ (27)
“Dan kalaulah Allah memberikan kemewahan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata”. (Surah As-Syura: 27)
Sebenarnya Allah memberi rezeki dengan kadar yang mencukupi kepada hambaNya, kalau diberikan berlebihan boleh menjadi melampau.
Sejauh mana Bajet 2019 ini mampu memacu pertumbuhan ekonomi, menurunkan kadar inflasi dan mengurangkan kadar pengangguran, masih terlalu samar untuk dinilai kesudahannya.
Adakah kebijaksanaan boleh diambil kira dengan menambahkan hutang negara, tanpa mengamalkan konsep jimat cermat dan meninggalkan amalan boros serta rasuah, tanpa mengutamakan kepentingan rakyat. Tetapi kepentingan kroni yang sangat banyak mengambil kesempatan di sebalik pembangunan. Sering kali tidak mengikut jumlah yang sebenar di peringkat permulaan, selepasnya pula akan berlaku bajet tambahan kerana sering kali katanya tidak mencukupi di pertengahan jalan.
Komitmen Tadbir Urus
Komitmen yang diberikan oleh kerajaan dalam membasmi rasuah dan meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran adalah perkara asasi yang perlu dibudayakan, bermula daripada kehendak politik (political will) yang ditunjukkan oleh pemimpin atasan.
Inilah rahsia kejayaan pentadbiran PAS di Kelantan sejak tahun 1990 hingga sekarang, yang ditunjukkan dengan ketinggian integriti oleh Menteri Besar, barisan EXCO dan ADUN, serta jentera pentadbiran di peringkat pertengahan, walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran, dinafikan royalti, tidak menghormati konsep federalisma.
Kami tidak mahu lagi mendengar jawapan sekadar menuding jari ke arah kerajaan yang lalu yang telah memerintah selama lebih enam puluh tahun. Apa yang penting dijawab dengan tindakan penyelesaian. Jangan sekadar mudah berjanji dapat menurunkan harga minyak dalam tempoh dua puluh empat jam, dapat menghapuskan tol dengan segera, dan banyak lagi janji yang diberikan. Sekarang sudah berlalu enam bulan. Hanya sekadar menukar GST kepada SST yang pernah diamalkan pada zaman dahulu kala dan pernah mengalami masalahnya maka ditukar kepada GST. Sudah tentu cara menukar kembali kepada SST hanya akan mengulangi pelbagai masalah yang pernah dialami dahulu.
Usaha membasmi rasuah dan meningkatkan integriti ini memerlukan komitmen dan kejujuran semua pihak. Ianya tidak cukup dengan ungkapan retorik dan nada sinis ketika pembentangan bajet di Parlimen, tetapi perlu diterjemahkan dalam aspek ketelusan oleh mereka yang kini berkuasa untuk meluluskan dan mengagihkan tender besar kerajaan.
Sejauh mana menteri baharu tidak akan mengulangi budaya menteri lama, hanya waktu yang akan menentukan.
Tanda-tanda awal yang menunjukkan tindakan yang mengulangi kesilapan dahulu, iaitu dengan hanya lawan dan musuh politik sahaja disapu. Adapun dalam kalangan diri sendiri dibatalkan di pertengahan perjalanan siasatan SPRM dengan alasan yang diada-adakan sahaja. Menunjukkan konsep pemisahan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan badan kehakiman tidak dilaksanakan.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
وأيم الله لوكانت فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها.
“Demi Allah sekiranya Fatimah binti Muhammad (puteri kesayanganku sendiri) mencuri nescaya aku potong tangannya”.
Kita sangat meragui langkah Peguam Negara (AG) memberhentikan tindakan perundangan yang sedang berjalan terhadap pemimpin Pakatan Harapan sewaktu proses kehakiman sedang berjalan sehingga dihentikan terus. Adapun terhadap pihak lawan politik dilakukan dengan rakus begitu rupa, sehingga dengan apa sahaja alasannya.
Walaupun PAS tiada dalam kalangan kami yang dicekup, dan sentiasa membuka pintu kalau ada salah laku, namun kami ingin bertanya: Adakah melalui tangan-tangan ghaib yang merempuh batas pemisahan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan kehakiman yang menjadi konsep demokrasi yang sebenar.
Beginilah apabila sistem sekularisme yang tiada roh keimanan dan kepercayaan mengenai adanya konsep dosa dan pahala, dalam sistem pemerintahan dan pelaksanaan undang-undang. Bermula dari sinilah mengapa kami ingin memperkenalkan perbezaan di antara syariat dan undang-undang ciptaan manusia melalui RUU 355 yang tergantung, kerana sikap prejudis dalam kalangan bukan Islam dan yang Islam pula ada yang bersekongkol bersamanya.
Kini ada pula dari kalangan yang menunjukkan sikap lebih bersimpati kepada penjenayah daripada yang sepatutnya bersimpati dan bersikap kasihan belas terhadap mangsa jenayah. Ini kerana terpengaruh dengan negara Barat yang membatalkan hukuman mati secara mutlak, demi menyokong kalangan mafia dan gangster yang mendukung parti yang memerintah dari belakang. Sehingga hilangnya nilai kemanusiaan, di mana Islam meletakkan betapa tingginya nyawa manusia, sehingga agama samawi sebelum Islam meletakkan kesalahan atau dosa membunuh satu nyawa sahaja.
Firman Allah:
مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم بَعْدَ ذَٰلِكَ فِي الْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ (32)
“Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu Kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya. Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan yang cukup terang. Kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, benar-benar menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi”. (Surah Al-Maa’idah: 32)
Hal ini menunjukkan semua agama Kitabi, Yahudi dan juga Kristian menetapkan hukuman mati terhadap kesalahan jenayah membunuh secara mandatori, dengan memberi hak pengampunan kepada mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampun yang tiada kaitan dengan mangsa jenayah.
Islam juga menetapkan hukuman bunuh tidak mandatori terhadap beberapa kesalahan yang termasuk dalam kesalahan hudud dan takzir. Contohnya terhadap jenayah rompakan atau lanun yang tidak sama keadaannya. Firman Allah:
إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ (33) إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن قَبْلِ أَن تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (34)
“Sesungguhnya balasan (hukuman) terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta berusaha melakukan kejahatan di atas muka bumi (seperti merompak atau melanun) hendaklah dibunuh dan disalib, atau dipotong tangan dan kakinya, atau dibuang (negeri atau daerah). Itulah kecelakaan (kehinaan) untuk mereka di dunia dan di hari Akhirat untuk mereka azab yang sangat besar. Melainkan mereka yang bertaubat sebelum mereka dikuasai. Ketahuilah sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah Al-Maa’idah: 33-34)
Sepatutnya dikaji perbezaan cara hukuman Islam yang beradab dengan cara hukuman ciptaan manusia yang tidak beradab seperti hukuman mati digantung dan hukuman sebatan yang kejam.
Petani dan Nelayan
Rakyat luar bandar khususnya daripada kalangan petani dan nelayan, sepatutnya menjadi asas ke arah strategi makanan yang mencukupi bagi keselamatan negara yang boleh menghadapi sebarang kemungkinan. Dahulunya subsidi memberi wang hanyalah menjadi amalan politik wang terhadap petani dan nelayan, bukannya boleh menjayakan kehidupan mereka demi kepentingan negara.
Sepatutnya diperuntukkan bagi kemudahan mereka secara menyeluruh seperti dilakukan oleh negara maju yang menjadikan peruntukkan khusus bagi menggalakkan pertanian, sehingga negara Jepun memperuntukkan 99% subsidi kepada petani dengan diambil daripada hasil kemajuan indusri mereka yang pesat.
ICERD
PAS menentang sekeras-kerasnya apa yang dinamakan ICERD, ringkasan kepada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau dalam Bahasa Melayunya, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum. Konvensyen itu telah dibuka untuk ditandatangani dan disahkan mulai 21 Disember 1965 dan mula berkuatkuasa pada 4 Januari 1969. Hingga ke hari ini, Malaysia tidak mengesahkannya. Malaysia adalah satu dari negara yang tidak menerimanya. Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sudah mencukupi untuk memberi hak keadilan dan hak asasi manusia kepada semua kaum.
Keadaan yang tiada pencapaian yang sewajarnya kepada rakyat Bumiputera dalam bidang ekonomi dan pendidikan walaupun jumlah mereka paling besar tetapi masih ketinggalan. Begitu juga hak Islam yang masih banyak belum ditunaikan walaupun sudah ada dalam Perlembagaan. Namun hendak dihapuskan, kononnya hak asasi yang adil dan persamaan. Ketahuilah bahawa yang adil itu maknanya meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sewajar. Bukan persamaan yang sewajarnya mengikut kemampuan, kerana kemampuan yang berbeza mestilah diambil kira.
Ketahuilah bahawa perjuangan menentang penjajah dahulu, dimulakan oleh umat Islam dan Bumiputera, seawal kedatangan penjajah Portugis 1511 sehinggalah 31 Ogos 1957 sekaligus mencapai kemerdekaan dalam keadaan penjajah sengaja meletakkan Bumiputera dan umat Islam dalam ketinggalan. Maka jangan dipermainkan isu ICERD kerana kemenangan PH dalam Pilihan Raya, tanpa peduli keadaan demografi penduduk dan ketinggalannya yang masih gagal diusahakan.
Maka PAS memberi amaran yang sekeras-kerasnya, jangan menyalahgunakan Parlimen kerana kemenangan Pakatan Harapan. Ketahuilah bahawa mudah sahaja bagi PAS untuk mengerahkan berjuta rakyat di jalan raya, sekiranya Parlimen ini disalahgunakan untuk mengiktiraf agenda ICERD yang tidak adil terhadap Islam dan rakyat Bumiputera.
Sepatutnya ICERD dihadapkan ke arah Israel dan Myanmar yang melaksanakan kekejaman terhadap rakyat yang berbeza agama dan bangsa di negara mereka. Bukan diterima di negara Malaysia yang telah wujudnya penerimaan masyarakat majmuk. Jangan lagi diganggu sehingga melampaui batas yang ada terkini. Jangan dilanggar lampu merah yang sedang bernyala. Jangan bersikap laksana diberi betis mahukan peha.
Hubungan Antarabangsa
Dalam konteks hubungan antarabangsa yang berperang ekonomi yang boleh mencetuskan peperangan bersenjata yang ditunggu oleh pelobi perniagaan senjata. Kerajaan Malaysia kita ini mestilah berhati-hati dalam mengadakan hubungan dengan semua pihak dengan sikap berkecuali dan mengadakan hubungan dengan semua pihak, hendaklah mengutamakan hubungan dengan negara sahabat, khususnya Negara Islam yang berkonsep persaudaraan seagama dan aqidah, begitu juga dengan negara jiran dan negara sahabat yang terpilih.
Gabungan Lapan Negara (D8) yang pernah diusahakan oleh Almarhum Prof. Najmudin Erbakan, mantan PM Turki yang didukung bersama oleh YAB Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad perlu dihidupkan dan diperkuatkan. Kita mempunyai hasil kekayaan perut bumi yang lebih daripada mencukupi. Ada negara yang mempunyai modal yang melimpah ruah tetapi dilaburkan di negara Barat yang hanya mencari keuntungan sebelah pihaknya sahaja. Ada tenaga pakar yang berkhidmat di negara asing dan ada pula pelarian ke Eropah dan US yang sepatutnya boleh menjadi tenaga kerja dimanfaatkan di negara kita.
Zaman negara penjajah yang memperhambakan kita dan mengaut hasil kekayaan kita sudah berlalu, kerana kita dikatakan sudah merdeka, maka mestilah merdeka sebenarnnya. Malangnya masih dalam negara yang dinamakan sedang membangun.
Bahasa Jiwa Bangsa
Kita menyaksikan negara Jepun dan Jerman yang kalah dalam Perang Dunia, boleh bangkit menjadi negara besar kerana tegak dengan jatidirinya sendiri. Bahasanya menjadi jiwa bangsanya, mengambil manfaat dari kepandaian sendiri dan pihak luar dari mana sahaja dengan menjadikan bahasanya adalah bahasa ilmu.
Kegagalan menjadikan Bahasa Kebangsaan perkasa, digunakan secara rasmi menjadi bahasa ilmu, pendidikan dan pentadbiran, menyebabkan bangsanya tidak berjiwa dan hilangnya integriti (syakhsiah) dalam arena politik, ekonomi dan sosial.
Sejarah tamadun Islam yang menjadi rujukan tamadun Barat pada hari ini sepatutnya menjadi iktibar. Barat hanya mengambil tamadun kebendaan tanpa ruh Islam yang mempertahankan jati diri atau syakhsiah manusia. Kini tamadun Barat yang tidak sempurna itu menunjukkan tanda-tanda kemusnahannya, kerana mencetuskan peperangan demi kepentingan politik dan ekonomi mereka sahaja. Dalam masa yang sama mengorbankan negara lemah yang menjadi pengkalan huruhara yang telah diatur sebegitu rupa.
Merekalah yang membekalkan senjata kecil dan besar kepada ISIS dan lain-lain. Anak-anak muda yang jahil agama dan bersemangat agama tanpa pengetahuan dijadikan tawanan yang dipergunakan. Kita pula yang dijadikan mangsa medianya bagi mencetuskan isu Islamophibia terhadap umat Islam, sehingga memaksa dalam keadaan defensif untuk menjawab fitnah yang sengaja dilemparkan.
Namun Islam tetap dipelihara dengan jaminan Allah:
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ (8) هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ (9)
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian); (8) Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad S.A.W) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”. (9) (Surah As-Soff: 8-9)
Islam Adil Untuk Semua
Hanya teori dua pihak dalam politik dan ekonomi yang dikenali. Demokrasi Barat dan dictatorship dalam politik, sama ada di atas nama individu atau kumpulan, termasuklah menggunakan agama yang dinamakan teokrasi. Adapun ekonominya sama liberal kapitalisme atau sosialisme. Kedua-dua pihak sedang mengalami kelemahan yang nyata, kerana tidak saksama dalam menentukan hak kemanusiaan sejagat, serta meninggalkan aspek rohani yang menjadi sebahagian daripada kejadian manusia.
Islam adalah sinonim terhadap konsep demokrasi yang memberi hak kepada rakyat, tetapi mengawal daripada tindakan membodohkan rakyat dengan politik wang dan media yang menyebarkan pembohongan bertujuan membeli rakyat dan menipunya. Sehingga tidak mampu menggunakan haknya yang sewajar menjadi hakim terhadap kerajaan. Kehakiman rakyat diganggu kalau mereka dirasuah oleh politik wang dan ditipu oleh media yang tidak beriman dan budiman.
Agenda pembangunan insan yang berilmu, bermoral dan berjatidiri yang murni adalah asas terpenting kepada membangun negara. Bukan sekadar mencipta ilmuan yang miskin jatidirinya, di mana ilmu dan kecerdikannya tidak boleh ditumpang oleh negara dan rakyat.
Islam mencipta sejarahnya yang bertamadun, walaupun bermula dari bumi yang kering hasilnya dan paling jahiliyah manusianya. Al-Quran yang menjadi mukjizat ilmu itu telah berjaya membina manusia yang paling tinggi integritinya dengan aqidah, ilmu dan akhlak berjaya memimpin dunia lebih sepuluh abad. Kejatuhan umatnya kerana meninggalkan Islam.
Adapun tamadun Barat yang menciplak tamadun Islam sedang merudum, walaupun mencapai kemuncak kejayaan sehingga meneroka ke angkasa lepas, tetapi memusnahkan kemanusiaan dan alam bumi dengan ciptaannya yang melampau.
Islam adalah ajarannya yang sempurna, bukannya Arab yang kembali ke zaman paling jahiliyah dengan pembunuhan wartawan tersohor, Almarhum Jamal Khasoggi. Pembunuhan cara yang paling haram mengikut Islam dan mencabuli undang-undang manusia di peringkat negara dan antarabangsa. Walaupun terhadap musuh dalam peperangan yang diizinkan.
Penutup: Bajet Wasatiyyah
Allah juga memerintahkan supaya bersikap wasatiyyah dalam perbelanjaan. FirmanNya:
وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَّحْسُورًا (29)
“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil), dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros), kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering (kosong) keputusan”. (Surah Al-Isra’: 29)
Dalam mengurus bajet pihak kerajaan hendaklah berkonsepkan wasotiyyah, jangan bakhil (kedekut). Malangnya bakhil terhadap lawan politik, kerana sepatutnya demam pilihanraya sudah tiada lagi. Kerajaan jangan juga boros, khususnya diadakan pula projek untuk memenuhkan poket kroni.
Lebih parah sekiranya berlaku lagi mubazir apabila berbelanja dalam perkara yang tidak berguna kepada rakyat dan kerajaan.
Firman Allah:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا (27)
“Sesungguhnya orang-orang yang mubazir (boros) itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah Al-Isra’: 27) - HARAKAHDAILY 13/11/2018
Lihat juga..
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
No comments:
Post a Comment