Mohd Nor menerima modul Terapi Gantian Minda (TGM) daripada Dr. Nasir berkaitan rawatan penagihan.
KUALA TERENGGANU, 14 November - Kerajaan Terengganu bercadang mewujudkan Pusat Pemulihan Dadah secara holistik berkonsepkan ‘perkampungan’ sebagai penyelesaian kepada masalah ketagihan dadah dalam masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pusat pemulihan itu bakal menggabungkan perubatan moden, psikologi, terapi kerohanian dan penempatan pekerjaan sebagaimana pendekatan yang dipraktikkan Universiti Islam Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Pusat Komuniti Saadah (PKS).
“Pusat ini akan menggunakan kawasan ‘perkampungan’ yang terkawal, kondusif dan tidak terdedah kepada umum. Pusat ini juga akan menerapkan terapi kerohanian dan perubatan moden.
“Kerajaan juga akan membantu pelatih pusat untuk mendapat pekerjaan setelah mereka pulih sepenuhnya,” katanya ketika merasmikan penutup Persidangan Antarabangsa Sains Ketagihan Kali Kedua yang diadakan di Kampus Kota UniSZA, hari ini.
Beliau bagaimanapun melihat beberapa cabaran dalam melaksanakan program itu.
“Sudah tentu kita berdepan kos yang tinggi untuk mewujudkan pusat ini. Selain itu, kita juga akan menghadapi kesukaran mendapatkan tenaga pakar dan pastinya berdepan kritikan apabila kita membuat keputusan membangunkan sesuatu perkara baru yang lain dari kebiasaannya.

“Namun, modul yang bakal digunakan memberikan keyakinan terhadap usaha ini. Pihak Unisza telah melaksanakan kajian selama lima tahun berkaitan penyelesaian terhadap masalah penagihan dadah dan sebanyak 11 modul telah dibukukan mengenai perkara ini,” katanya.
Mohd Nor turut memaklumkan, PKS yang dibangunkan oleh UniSZA pula akan diperluaskan ke setiap daerah.
“PKS akan diperkemaskan dan menjadi modul sokongan kepada pusat pemulihan yang akan dimulakan asasnya pada tahun 2020. Saya berharap pusat pemulihan ini akan menjadi model pemulihan dengan konsep ‘perkampungan’ pertama di dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua penyelidik Pusat Penyelidikan Ketagihan (CentRenA), Profesor Dr. Nasir Mohamad menyatakan PKS yang baru beroperasi selama dua bulan menerima pelatih secara sukarela yang inginkan pemulihan.
“Kita memberikan khidmat nasihat dan bimbingan seperti ziarah. Buat masa kini terdapat 17 pelatih yang menyertai bimbingan di PKS,” katanya.
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan CentRenA dengan kerjasama Universiti Malaya Centre of Addiction Science (UMCAS), Unversiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). (Teganukita)
No comments:
Post a Comment