Thursday, November 15, 2018

Suami Rogol Isteri, Dibangkitkan PH Sebagai Platform.. -Ust Nuridah



MALAYSIA selama lebih setengah abad di bawah pemerintahan BN telah gagal melaksanakan agenda pembangunan insan. Hinggakan keluarga yang sepatutnya menjadi tempat paling tenang buat insan juga tidak menikmati kesejahteraan hidup sewajarnya.
Kerana pemerintah lebih tertumpu kepada aspek pembangunan material, namun secara pengagihan yang tidak adil dan terpalit pelbagai kecurangan. Kesannya ke atas halatuju sebenar hidup rakyat sebagai hamba Allah di atas muka bumi, juga membiaknya pelbagai beban masalah.
Termasuk terhadap hubungan suami isteri yang sepatutnya terbina secara mahabbah, mawaddah dan rahmah. Malangnya ini antara aspek paling kontang tanpa sebarang pengisian atau agenda ke arah menjadikan nukleus terkecil masyarakat itu sebagai tiang kekuatan negara.
Akibatnya, masalah suami isteri serta keluarga mencatat antara isu dan penyumbang pelbagai gejala negatif. Malah, porak peranda yang terjadi tidak sekadar kesedihan dan kekasaran atau mendekati perlakuan jenayah, tetapi juga membantutkan masa depan negara.
Paling sering menjadi mangsa adalah isteri dan anak-anak hingga terheret pula kepada pelbagai pengabaian kebajikan. Segala kegawatan ini telah menarik kesempatan golongan Liberal untuk merungkai akad suci dan melontarkan suara 'perjuangan' pembelaan secara salah dan serong.
Terkini, mereka membingitkan kembali isu 'rogol dalam perkahwinan' dengan menjadikan Kerajaan PH sebagai platform untuk menyuarakannya. Kami tegaskan, tiada istilah tersebut dalam hukum syarak Islam. Tetapi ia rekayasa yang cuba menyerang umat Islam sendiri.
Kaum wanita Islam sedang dijadikan sasaran di sebalik penindasan tertimpa ke atas mereka menerusi gugatan perasaan dan sentimen femenisme. Pejuang Liberal mencetuskan bahawa setiap unsur paksaan walaupun antara suami isteri dikaitkan dengan buruk dan jahat.
Sebaliknya secara halus cuba menanamkan segala sukarela, walaupun oleh golongan LGBT atau bukan dari ikatan sah, maka harus diperjuangkan. Inilah noda dosa yang cuba disuntik halalkan mereka menerusi agenda sedang dijaja momokkan ini dan mesti diwaspadai.
Hakikatnya, sebarang isu penindasan terhadap wanita mahupun kanak-kanak dan sesiapa sahaja termasuk keganasan seksual antara suami isteri wajib ditentang dan ditangani. Tetapi bukan secara salah dan tersirat serta mengesampingkan penyelesaian syarak.
Pasangan atau keluarga yang bermasalah harus diberi nasihat kaunseling, selain dibantu keperluan-keperluan berkaitan. Manakala setiap keterlampauan harus dihadapkan ke laporan pendakwaan pihak berkuasa dan dibicarakan secara adil di mahkamah sebelum hukuman.
Jangan kerana hasutan golongan Liberal menjadi masalah kian kusut dan umpama menyimbah petrol ke api yang marak. Kami menggesa pihak berkuasa agama memantau hal ini, selain peranan ahli keluarga untuk menjadi pendamai dan pengawal kejadian yang berlaku.
"Islam Memimpin" 
"Muslimat Istiqamah Memacu Kemenangan"
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 14/11/2018

No comments:

Post a Comment