Sunday, November 18, 2018

Terlanjur Zina, Dipenjara, Bagaimana Penyelesaian?

Berbulan madu dalam penjara
Pasangan itu dinikahkan di markas polis Jombang.

Berbulan madu dalam penjara.
JOMBANG - INDONESIA. Sepasang kekasih yang ditangkap kerana membuang bayi mereka baru-baru ini akhirnya disatukan sebagai pasangan suami isteri.
Yuda Setia Dandik, 20, dan pasangannya Rika Nur Safitri, 19, diijab kabulkan dalam satu majlis ringkas di Markas Polis Jombang, semalam.

"Ada permintaan daripada kedua-dua keluarga untuk mereka disatukan dan atas pertimbangan kemanusiaan, kami bantu melancarkan majlis pernikahan mereka.
"Majlis terpaksa diadakan di sini kerana kedua mempelai masih tahanan kami," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Jombang, Gatot Setyo Budi.Tambah Gatot, pasangan itu berdepan hukuman lima tahun penjara jika disabit bersalah.

Selain terpaksa berbulan madu di penjara, pasangan itu juga tidak dibenarkan melawat bayi mereka yang kini ditempatkan di rumah kebajikan.
Difahamkan, bayi malang berkenaan ditemui masih hidup dan selamat ketika ditinggalkan di hadapan rumah seorang  lelaki yang pernah menjadi guru pasangan terbabit.
Sementara itu, Yuda yang menyesali perbuatannya berharap perbicaraan mereka berjalan lancar.
Yuda juga berikrar untuk memulakan kehidupan baharu bersama isteri dan bayi mereka.
Dia juga mengaku tidak berniat untuk membuang bayi tersebut dan menjadikan rumah guru mereka sebagai 'persinggahan' kerana guru terbabit belum dikurniakan cahaya mata.

"Dalam surat yang disertakan bersama bayi itu, saya berjanji untuk kembali. Sebelum beredar, saya bersembunyi di sudut rumah, bila bayi itu diambil baru saya melangkah pergi," katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan pasangan terbabit ditangkap minggu lalu, selepas mengaku membuang bayi mereka.
Yuda kembali ke rumah guru terbabit keesokan harinya untuk mengambil bayi tersebut kerana menyesal dengan perbuatannya. - Detiknews

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Terlanjur melakukan najis zina sehingga melahirkan anak. Bolehkah pesakit-pesakit penajis zina itu insaf dengan didikan hukuman penjara sahaja kepada mereka hingga tak dapat cari makan? Bukankah itu zalim?

Sekilas.. Stop! Jangan Dekati Najis Zina..

Zina adalah dosa besar di sisi Islam. Bahkan, manusia yang normal pasti memandang najis pada perbuatan tersebut. Maka tidak hairanlah di awal Islam, antara perkara yang diharamkan serta merta adalah zina kerana mudharatnya sangat besar terutamanya terhadap maruah manusia.

Setelah itu, Islam mendatangkan hukuman mendidik terhadap penzina. Ia terdiri daripada dua kategori:
  1. Penzina yang belum berkahwin, disebat 100 sebatan. Tetapi bukan seperti 'rotan' di penjara Malaysia yang zalim.
  2. Penzina yang sudah berkahwin, direjam hingga mati, untuk mendidik supaya jangan berkembang generasi penzina. 
Kerana najisnya berat, memang patut hukuman berat menanti penzina. Islam juga mengenakan syarat ketat bagi pendakwa seseorang itu berzina. Iaitu wajib mendatangkan 4 orang saksi.. Jika tidak, mereka pula yang bakal dikenakan 80 sebatan.

Konsep islam juga apabila mengharamkan sesuatu tidak hanya mengharamkan perbuatan tersebut  semata-mata, bahkan menutup segala jalan yang membawa kepadanya. 

Antaranya, membataskan hubungan antara lelaki dan perempuan seperti mengharamkan Khalwat ( berdua-duan ) secara mutlak.. Begitu juga Ikhtilat ( percampuran ) antara mereka diletakkan garis panduan..

Selain itu juga, pandangan antara mereka mesti ditundukkan. Sebenarnya bukanlah bermaksud berjalan hingga langgar dinding, namun seseorang itu mesti mengawal pandangan syahwatnya apabila berbicara dengan perempuan yang bukan mahram.

Bagi perempuan pula, ada kewajipan khas buat mereka iaitu:
  1. Mestilah menjaga penampilannya dengan menutup aurat..
  2. Tidak berhias berlebih-lebihan..
  3. Tidak keluar daripada rumah melainkan ada keperluan..
Semua ini bagi menutup jalan-jalan yang membawa kepada penzinaan.. Islam bukan sekadar agama yang menghukum.. Namun, islam juga adalah agama yang mendidik..
وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً
Janganlah kamu menghampiri zina kerana ia adalah suatu yang keji ( Isra’ : 32 )

Walaubagaimanapun, bagaimana pula apabila garis panduan itu dilanggar dan akhirnya berakhir dengan penzinaan ( nauzubillah )? Apa yang perlu dilakukan oleh penzina? Adakah sudah tiada harapan?

Tidak, Islam sediakan jalan kembali bagi mereka yang terlanjur..

Satu: Taubat.
Zina adalah perkara yang terkutuk dalam islam. Dosanya cukup besar dan pelakunya dilaknat. Walaubagaimanapun pintu taubat sentiasa terbuka bagi hamba Allah yang menyesali apa yang telah mereka lakukan.

Sesiapa yang terlanjur melakukan dosa mestilah bertaubat dengan taubat nasuha iaitu dengan syarat:

  1. Berazam tak buat lagi.
  2. Benci perkara tersebut.
  3. Sesal apa yang telah dilakukan.
Kesan dari taubat zina, seseorang itu pasti..

  1. Menutup aurat.
  2. Menjaga pergaulannya dengan bukan mahram.
Jika tidak, dia masih belum bertaubat dengan sebenar-benarnya.. Lebih baik pula penzina itu menyembunyikan dosanya berbanding menghebah atau membawa ke mahkamah. Begitu juga saksi yang melihat perbuatan zina, menutupnya lebih baik dari melaporkan kepada pihak berkuasa, selagi tidak berterusan perbuatan tersebut. Moga-moga pelaku itu diberikan hidayah dan jalan taubat oleh Allah SWT.

Dua: Kahwini Penzina.

Terdapat ayat yang jelas tentang hal ini iaitu daripada surah An-Nisa’, ayat ke 3:
الزَّانِي لا يَنْكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لا يَنْكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

Lelaki-lelaki yang berzina tidak akan mengahwini melainkan wanita yang berzina, atau wanita musrik dan wanita yang berzina tidak akan mengahwini lelaki kecuali yang berzina atau musyrik." (Surah An-Nur : 3)

Jika dilihat pada ayat di atas, sangat jelas maksudnya. Namun, ulama berbeza pendapat terhadap penafsiran dan penakwilannya sekaligus membawa kepada perbezaan hukum. Imam Hasan Basri menyatakan haram secara mutlak perkahwinan dengan penzina berdasarkan zahir ayat di atas.

Manakala majoriti ulama berpendapat maksud ayat tersebut merujuk beberapa perkara seperti:-

  1. Nikah itu merujuk kepada bersetubuh.
  2. Ayat tersebut ingin membangkitkan rasa jijik orang beriman kepada perbuatan zina.
  3. Ayat tersebut telah dinasakhkan
Kesimpulannya, mereka tidak mengharamkan perkahwinan dengan penzina secara mutlak samada dengan pasangan penzina itu sendiri ataupun bukan penzina (orang lain), namun meletakkan syarat mestilah bertaubat terlebih dahulu

Walaubagaimanapun, mereka berselisih pendapat adakah perlu bagi penzina perempuan itu memastikan rahimnya bersih? Umpamanya sebelum kahwin dia mesti memastikan dirinya tidak mengandung anak hasil daripada zina.

Mazhab Maliki dan Hanbali mensyaratkan perkahwinan dengan penzina yang bertaubat mestilah disyaratkan iddah. Iaitu perempuan itu mesti menunggu agar datangnya haid bagi memastikan rahimnya bersih.  Manakala mazhab Hanafi dan Syafie tidak mensyaratkannya.  

Bagaimana pula jika perempuan yang dinikahi itu hamil hasil daripada zina? Bagaimana pula dengan nasab anaknya?

Oh, cukup sampai di sini, ada masa yang sesuai sambung lagi. Insya Allah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails