Sunday, November 11, 2018

Tun M/MB K'tan: Produk Daging Lembu Sendiri. Mana L/Raya CSR?


Kelantan eratkan kerjasama dengan Pusat.


AL-HAMDULILLAH, saya telah mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebentar tadi sebagai menghormati dan meraikan lawatan YAB Perdana Menteri ke Negeri Kelantan.
Pelbagai perkara yang dibincangkan dalam pertemuan sebentar tadi terutamanya melibatkan masa depan Negeri Kelantan sendiri. Tun berkongsi cerita pengalaman beliau yang luas sejak zaman sebelum kemerdekaan, selepas kemerdekaan dan sehinggalah pada tahap Malaysia berada sekarang.
Beliau juga menyebut tentang peri pentingnya usaha orang Melayu untuk bekerja kuat dan melipatgandakan usaha dalam membangunkan ekonomi dan masyarakat supaya tidak ketinggalan berbanding dengan bangsa lain.
Tun juga mengakui bahawasanya rakyat Kelantan adalah rakyat yang kuat pegangan agamanya dan sentiasa meletakkan asas agama dalam setiap tindakan dan keputusan.
Daripada perbincangan tadi, saya boleh simpulkan bahawa sikap bekerja keras dan berpegang teguh kepada agama adalah bertepatan dengan seruan Islam sebagaimana kenyataan para salafussoleh:
إعمل لدنياك كأنك تعيش أبداً

واعمل لآخرتك كأنك تموت غداً
"Beramallah untuk dunia kamu seolah-olah kamu hidup selamanya dan beramallah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati pada esok hari".
Dalam pertemuan tadi, Tun telah memberi respon yang baik berkenaan kajian semula bagi pendaratan gas ke pantai di Negeri Kelantan yang melibatkan kawasan Joint Development Area (JDA) dalam perairan Kelantan. Selain daripada itu, Kerajaan Persekutuan diharap dapat menyiapkan sepenuhnya Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) kerana ia adalah sangat mustahak bagi kepentingan rakyat Kelantan dan pembangunan negeri.
Saya juga telah menyatakan tentang pembangunan sektor pertanian di Negeri Kelantan yang boleh diambil perhatian oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri telah mengeluarkan produk daging lembu sendiri yang dijenamakan sebagai Naimbif. Di samping itu, Negeri Kelantan memiliki tanah rizab haiwan yang luas untuk dimanfaatkan bagi kemajuan sektor pertanian.
Saya mengharapkan pertemuan pada hari ini dapat terus mengeratkan lagi kerjasama G to G antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
YAB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
(Dato’ Bentara Kanan)
Menteri Besar Kelantan - HARAKAHDAILY 11/11/2018 
FB IMG 1541891933928

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails