KL: Masyarakat Muslim China Uighur telah ditekan dan ditindas sejak tahun 1920-an lagi di bawah pemerintahan Komunis, demikian menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Katanya, walaupun ada orang Uighur menulis sejarah berkaitan isu tersebut sekitar tahun 1940-an, namun generasi kini hanya baru mendapat tahu isu tersebut sekarang.
Perkara tersebut dinyatakannya pada program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan di syarikat media itu, petang kelmarin.
"Kita kena sedar, untuk membantu Uighur ini bukan mesti terbuka, mungkin negara Islam yang kecil-kecil ini tak mampu menghadapi kuasa besar. Nak lawan kuasa besar, kita tak mampu.
"Kita buatlah secara yang berkesan, ini sangat penting. Yang penting kita selamatkan orang Islam di Uighur, sama ada mereka jadi pelarian ini, beri perlindungan kepada mereka.
"Dan kita kena desak China supaya memberi hak kepada orang Islam. Kalau tak bagi ekonomi pun, tak bagi autonomi pun, beri hak kepada orang Islam," serunya.
Terangnya, dunia masa kini bukan seperti zaman dahulu di mana semakin terbuka dan orang boleh tahu segalanya di mana China harus sedar dan faham terhadap keadaan itu.
Jelasnya, jika tidak, China hanya akan meruntuhkan dirinya sendiri dengan perbuatan tersebut, serta merosakkan imej mereka kerana orang Uighur itu berjumlah berjuta-juta. - HARAKAHDAILY 14/12/2018
Ibnu Hasyim semasa berada di Urumqi.. bersama seorang peniaga Islam Uighur di sana.
Perhatian: Pas mengajak umat Islam di Malaysia melakukan solat hajat selepas Solat Jumaat sebentar lagi bagi memohon bantuan ALLAH menyelamatkan umat Islam Uighur di China dan seluruh dunia amnya.
No comments:
Post a Comment