Tuesday, December 04, 2018

Hero Bola Sepak 90an Jadi Gelandangan? Ini, Tidur Di Kaki Lima..

KAKI lima bangunan di Jalan Hang Lekiu menjadi antara lokasi tumpuan gelandangan untuk melelapkan ma
KAKI lima bangunan di Jalan Hang Lekiu menjadi antara lokasi tumpuan gelandangan untuk melelapkan mata di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR 1 Dis. - Siapa sangka seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan dalam era 90-an yang dahulunya lincah beraksi di padang dan popular di hati ribuan peminat bola sepak tanah air kini terpaksa menjalani kehidupan sebagai gelandangan.
Itulah nasib duka lelaki ber­usia lewat 40-an itu ketika ditemukan Mingguan Malaysia di kaki lima di Jalan Hang Lekiu, dekat sini baru-baru ini.
Lebih memilukan, hanya berbekalkan sebuah beg berisi pa­ka­i­­­an, bekas pemain pertahanan yang turut pernah mewakili beberapa pasukan negeri itu ditemukan sedang menyusun kotak untuk dijadikan alas sebelum melelapkan mata di kawasan berkenaan yang turut menjadi lokasi penginapan gelandangan di ibu kota ini.
Sungguhpun begitu, walaupun kelihatan agak lesu dan keletihan, lelaki tersebut masih mampu mengukir senyuman dan terus berkongsi tentang kisah hidupnya.
Kata bekas pemain posisi pertahanan itu, kisah duka kehidupannya bermula selepas dia disahkan menghidap penyakit jantung sekitar 2009 sebelum dimaklumkan penyakitnya bertambah kronik sejak tiga tahun lalu.
Jelas anak kelahiran Pulau Pinang itu, penyakit tersebut menjadi kekangan kepadanya untuk mencari rezeki, malah mengakui pernah menjadi buruh selama setahun namun tidak dapat bertahan atas faktor kesihatan.
“Simpanan semakin ber­kurangan, sebab itu lebih lapan bulan saya menjalani hidup sebegini setiap kali datang ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), saya tidak mampu menyewa hotel maka terpaksa tidur di kaki lima ini.
“Saya bukanlah penghuni tetap di kaki lima memandangkan saya cuma berehat dan tidur dalam tempoh tertentu sahaja (beberapa minggu dalam sebulan). Sejurus selesai sesi rawatan, saya akan pulang ke kampung, apapun inilah nasib saya sekarang,” katanya.
Ujarnya, dia akan meneruskan kehidupan sebagai ‘gelanda­ngan sementara’ di kawasan itu hingga tiba tarikh pembedahan memasukkan pe­rentak jantung (pacemaker) di dadanya hujung tahun ini.
“Alhamdulillah, sepanjang saya di sini, saya masih mampu menguruskan diri dengan baik termasuk menggunakan kemudahan awam seperti surau dan masjid untuk membersihkan diri (mandi) serta bersolat.
“Setiap hari, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan akan datang menyumbangkan makanan, minuman, pakaian serta wang tunai kepada setiap gelandangan,” ujarnya yang turut memaklumkan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Lebih hiba, ketika ditanya soal keluarga, lelaki itu mengakui sudah bercerai dan memiliki tiga anak yang sedang belajar, terma­suk seorang daripadanya sedang menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Buat masa ini saya tinggal di rumah kakak di kampung, ketiga-tiga anak saya tidak tahu saya hidup begini, saya tidak mahu mereka tahu kesusahan saya, takut mereka susah hati pula,” katanya sebak.
Tambahnya, sebelum ini, beliau pernah mengunjungi Pusat Transit Gelandangan di Jalan Pahang semata-mata untuk tidur dan berlindung namun selepas berlaku kecurian melibatkan beg dan pakaiannya, beliau memilih jalan untuk hidup bergelanda­ngan di kaki lima.
Tahun lalu, bekas penyanyi, Ben Nathan yang popular de­ngan lagu Stanza Sekeping Hati juga ditemukan hidup sebagai gelandangan oleh orang awam di kaki lima sekitar Pasar Seni, Brickfields, Masjid Jamek dan Ampang. (Utusan)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails